Friday, March 7, 2008

Brek.....


Saya amat meminati tazkirah yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kerana isinya yang tepat dan padat. Walaupun dalam nada suara yang lemah lembut tapi amat menyentuh hatu nurani. Yang palin istimewa ialah kiasan-kiasan yang digunakan oleh TGNA dalam ucapan beliau. Bahasa kiasan yang beliau gunakan amat indah sekali dan memudahkan kefahaman terhadap isu yang dibincangkan.

Antara cirri-ciri khas ucapan TGNA adalah sering kedengaran beliau menyebut soal mati,akhirat, mahsyar, mizan, sirath , syafaat dan lain-lain lagi. Pada saya,seolah-olah tazkirah tentang zikrul maut ini menjadi ‘rukun’ ucapan TGNA.

Saya pernah membaca satu tulisan TGNA tentang pentingnya zikrul maut. Beliau menyebut bahawa ;

“Seorang pemandu kenderaan yang cermat pasti menjaga ciri-ciri keselamatan, bukan sekadar memandu dengan berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya, malah dia juga tidak lupa meneliti kenderaan sebelum memandunya. Sekalipun enjin dalam keadaan baik, namun mereka belum boleh berpuas hati sebelum meneliti lain-lain peralatan penting. Di antara perkara utama ialah mempastikan samada brek dalam keadaan baik, kerana brek merupakan perkara utama untuk menjaim keselamatan di jalan raya.

Begitulah juga dalam kehidupan manusia memerlukan ciri-ciri keselamatan, bagi menjamin keselamatan hidup manusia di dunia dan terutamanya ialah keselamatan di akhirat. Seperti kenderaan tadi, manusia juga selain dari tidak lalai dan sentiasa waspada dalam mengharungi liku-liku hidup yang penuh pancaroba, dia juga mesti mempunyai brek bagi mempastikan dirinya tidak terbabas sehingga melampaui batas Allah SWT. Maka brek dalam kehidupan kita adalah ingat mati. Bila kita selalu ingat mati maka kita akan ‘tekan brek’ di hadapan maksiat dan perkara yang Allah larang”

Dunia hari ini mewah dengan maksiat dan dosa serta jenayah yang berlaku di kalangan manusia termasuk di kalangan muslimin. Baru-baru ini PDRM mengeluarkan kenyataan bahawa 8 kes rogol berlaku dalam sehari di Malaysia.Semua ini kerana rosaknya iman di dalam jiwa manusia.

Bila kita mengingati mati, kita akan sentiasa memelihara diri dari kemurkaan Allah SWT. Pemimpin akan beramanah, rakyat akan berakhlak dengan baik, orang miskin akan redha dengan kemiskinannya dan mahu mengambil pahala sabar. Masing-masing akan berhati-hati dengan ucapan dan tindakan kerana semuanya sedar bahawa mereka akan bertanggungjawab di hadapan Qadhi Rabbil Jalil.

No comments: