"Apabila mendengar azan bangun serta-merta walau dalam keadaan bagaimana sekali pun," kata asy-Syahid Imam Hasan al-Banna lewat wasiatnya yang pertama. Di dalam 10 wasiat asy-Syahid Imam Hasan al-Banna, beliau mengingatkan ikhwan berhubung solat. Solat terletak di tempat yang pertama, mengatasi segala yang lain. Hal ini sesuai sekali dengan kisah bagaimana pendirian baginda Rasulullah s.a.w tentang solat. Solat adalah antara ucapan terakhir yang kerap disebut oleh baginda menjelang hari terakhir kewafatannya. "Apabila mendengar azan bangunlah serta-merta walau bagaimana keadaan sekalipun," demikian pesan al-Banna. Kenapa sang mujaddid ini meletakkan ungkapan sebegitu? Solat adalah benteng yang mengeluarkan manusia daripada garis-garis kesesatan. Dalam solat itu, terkandung kewajipan membaca surah al-Fatihah dan dalam surah itu kita telah diwajibkan untuk membaca doa ihdina as-Siratal Mustaqim. "Berilah kami petunjuk ke arah jalan yang diluruskan," itulah doa teragung yang wujud di dalam surah tersebut. Maka, jika manusia tidak menunaikan solat, mereka akan terhalang daripada rahmat Tuhan dan terdedah kepada jalan-jalan kesesatan. Iblis akan menipu manusia melalui bisikan kata-kata bahawa kedudukan mereka itu telah tinggi dan mencapai kedudukan tertentu. Lalu, mereka tidak perlu lagi menunaikan solat. Helah ini berguna untuk memusnahkan jiwa manusia. Dengan sikap enggan menunaikan solat itu tadi, manusia akan semakin mudah disesatkan kerana lidah mereka terasa asing daripada menyebut doa, "Berilah kami petunjuk ke arah jalan yang diluruskan." Solat inilah satu-satunya amalan yang perlu dilakukan setiap hari bertujuan agar manusia itu sentiasa terjalin hubungannya dengan Tuhan setiap masa. Ada amalan yang dibuat setahun sekali seperti berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan menunaikan fardhu haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dunia tidak sunyi daripada solat Dengan peredaran matahari dan bulan, dunia kita ini tidak pernah sunyi daripada laungan azan yang menyeru manusia agar bingkas menunaikan solat. Ertinya, dunia ini akan sentiasa bergema dengan kalimah Tauhid. Dengan sebab itu, siapa yang bersolat, maka dia telah menegakkan Islam di dalam dirinya dan negaranya. Sabda Rasulullah s.a.w, "Solat itu tiang agama. Sesiapa yang menunaikan solat, maka dia menegakkan tiang agama. Dan sesiapa yang yang tidak menunaikan solat bererti dia telah meruntuhkan agamanya." Dengan menunaikan solat, jiwa terasa tenang, hati terasa lapang. Hati terang, tenang serta jiwa yang lapang inilah yang menumbuhkan kekuatan jiwa dalam diri seseorang Muslim itu untuk terus hidup dalam keimanan dan ketaqwaan. Sebaik-baiknya solat itu perlu segera ditunaikan pada awal waktu, pada ketika mendengar azan. Menurut Hasan al-Banna, solat itu hendaklah diusahakan semampu yang terdaya. Ini membuktikan kesungguhan kita. Hasan al-Banna mengaitkan azan dengan solat dalam wasiatnya yang pertama ini. Di situ ada sumber kejayaan. Di situ ada sumber pertolongan. Di situlah akar taufik. Perhatikan juga, banyak perintah dalam al-Quran dimulakan dengan menyebut solat di awalnya. Perhatikan bagaimana Tuhan mensyariatkan solat. Solat juga di medan perang. Walaupun pada saat genting, darurat dan kecemasan. sumber : harakahdaily.net
|
Tuesday, February 17, 2009
Wasiat Pertama Asy Syahid Imam Hasan Al Banna 'alaihi rahmatullah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment