Friday, December 11, 2009

Dalil Solat Sunat Taubat

Penulis : Ustaz Mohd Khafidz

Soalan:

Ada seorang "ustaz" mengatakan bahawa solat sunat taubah tiada dalilnya. Dan taubat dapat dilakukan dengan hanya bertaubat memohon ampun kepada Allah SWT serta menyesal terhadap apa yang dilakukan sahaja tanpa perlu bersolat. Beliau juga mengatakan hadith solat taubat adalah hadith yang direka. Benarkah demikian?

Jawapan:

Ada solat sunat yang bersandarkan kepada hadith-hadith yang sabit (sahih dan hasan), maka ini hukumnya sunat diamalkan, dan ada solat sunat yang bersandarkan kepada hadith-hadith yang tidak sabit (daif dan palsu), maka ini hukumnya tidak harus diamalkan. Adapun solat sunat taubah ianya bersandarkan kepada hadith yang sahih. Dalilnya:

عن أبي بكر رضي الله عنه أنه قال: "سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " ما من عبد يذنب ذنباً فيُحسِنُ الطهور ثم يقوم فيصلي ركعتين ثم يستغفر الله إلا غفر الله له " ثم قرأ هذه الآية {وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ} آل عمران: الآية 135 . رواه أبو داود (1521) وهو حديث حسن.

Daripada Abu Bakar RA katanya : Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang hamba itu melakukan suatu dosa, lalu dia mengelokkan bersucinya (berwuduk) kemudian dia berdiri dan bersolat dua rakaat, kemudian dia beristighfar kepada Allah, melainkan Allah akan mengampunkan dosanya”. Kemudian baginda membaca ayat ini: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.

(Riwayat Abu Dawud - hadith hasan)

عن عبد الله بن بريدة عن أبيه رضي الله عنه قال: أصبح رسول الله يوماً فدعا بلالاً، فقال: "يا بلال بم سبقتني إلى الجنة؟ إني دخلت البارحة الجنة فسمعت خشخشتك أمامي" فقال بلال: "يا رسول الله ما أذنبت قط إلا صليت ركعتين، وما أصابني حدث قط إلا توضأت عندها". وفي رواية : وَرَأَيْتُ أَنَّ لِلَّهِ عَلَيَّ رَكْعَتَيْنِ. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "بهذا". رواه أحمد والترمذي (3622) وقال: وَفِي ‏ ‏الْبَاب ‏ ‏عَنْ ‏ ‏جَابِرٍ ‏ ‏وَمُعَاذٍ ‏ ‏وَأَنَسٍ ‏ ‏وَأَبِي هُرَيْرَةَ و ‏قَالَ : ‏ ‏هَذَا ‏ ‏حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ.

Daripada ‘Abdullah bin Buraidah daripada bapanya Buraidah RA katanya: Suatu pagi Rasulullah memanggil Bilal dan bertanya: “Wahai Bilal, dengan amalan apa yang menyebabkan engkau mendahuluiku ke syurga? Sesungguhnya semalam aku memasuki syurga lalu aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku”. Jawab Bilal: “Wahai Rasulullah, tiadalah aku melakukan suatu dosa melainkan aku akan bersolat dua rakaat, dan tiadalah aku mengalami suatu hadas melainkan aku akan berwuduk kerananya”. Dalam satu riwayat: “…dan aku lihat bahawa wajib ke atasku kerana Allah bersolat dua rakaat”. Maka jawab Rasulullah SAW: ”Dengan amalan inilah”.

(Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, katanya: Hadith hasan sahih gharib)

Berdasarkan dua hadith ini, maka jelaslah bahawa solat sunat taubah itu ada asalnya dan bukan direka-reka. Ada beberapa buku yang disusun oleh ahli ilmu bagi menjelaskan mengenainya, antaranya;

1. (ثلاث صلوات عظيمة مهجورة فاحيها يا عبد الله : صلاة الاستخارة ، ، صلاة التوبة ، صلاة التسبيح والغفران ) oleh 'Adnan 'Ar'ur (1991).
2. (غسل الحوبة في صلاة التوبة ) oleh Majdi Fathi as-Sayyid Ibrahim (1996).
3. (صلاة التوبة والاحكام المتعلقة بها في الفقه الاسلامي ) oleh 'Abdullah bin 'Abdul 'Aziz al-Jibrin (2001).
4. Lihat juga sini (Arab).

Sumber : Http://Sawanih.Blogspot.Com rujuk juga jomfaham.blogspot.com

2 comments:

Fizul Al-Mempelami said...

salam ziarah dan salam perjuangan ustaz

Fizul Al-Mempelami said...

salam ziarah dan salam perjuangan ustaz