Sunday, August 23, 2009

Thaqafah : Fiqh as Siyam ~ 6,7&8

Suntikan dan derma darah

Adapun orang yang disuntik ubat darah ke dalam badannya melalui kulit atau dagingnya, sedangkan ia berpuasa, hukumnya tidak membatalkan puasa. Sepertimana yang dibahaskan pada perkara memasukkan cecair ke dalam mata bahawa yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu melalui rongga yang terbuka.

Sedangkan suntikan melalui kulit atau daging untuk memasukkan cecair atau darah, tidak dianggap memasukkan sesuatu melalui rongga.

Demikian juga sekiranya seseorang itu disuntik untuk menyedut darahnya untuk tujuan menderma darah atau lainnya, tidak membatalkan puasanya.

Berbekam

Berbekam ialah menyedut darah yang kotor daripada tubuh kita. Biasanya berbekam itu dilakukan di bahagian belakang kepala. Ada juga sesetangah berbekam di bahagian belakang, di pinggang, kaki dan lain-lain anggota badan yang menghidapi penyakit.

Perbuatan berbekam adalah salah satu cara perubatan di dalam Islam dan Rasulullah s.a.w. sendiri diriwayatkan pernah berbekam.

Adapun hukum berbekam di bulan puasa tidak membatalkan puasa, kerana ada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berbekam sedang ia berpuasa.

Masuk Debu ke dalam Rongga Badan

Adapun hukum memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka membatalkan puasa. Timbul masalah kepada kita sekarang ialah tentang debu-debu jalan raya, binatang-binatang kecil umpama lalat, agas-agas, tepung yang diayak atau lain-lain benda yang kecil, apakah membatalkan puasa sekiranya masuk ke dalam rongga seperti lubang hidung atau mulut hingga ke dalam perut. Jawabnya tidak, membatalkan puasa, kerana benda-benda tersebut kecil.

Thursday, August 6, 2009

Jangan Prejudis Terhadap Islam ~Tantawi

Oleh: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat - Sdr Ustaz Hj Nasrudin Hasan Tantawi

1. Saya perlu memberi teguran dan sekaligus memberi peringatan kepada Yb. Jeff Ooi berkaitan kenyataannya di Sunday Star .


2. Saya merujuk kepada kenyataan Yb Jeff Ooi [ Ahli Parlimen Jelutong - DAP ] merangkap Ketua Staf YAB Ketua Menteri Pulau Pinang yang disiarkan di dalam akhbar The Sunday Star bertarikh 02. 08. 2009 muka surat N.12 .


3. Yb. Jeff Ooi telah mempertikai Mohd Razali bin Abdullah , Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang dengan menuduh dan menggelarkannya sebagai "Muslim Extremist" kerana menjadi ahli Jamaah Islam Malaysia [ JIM ] yang mempunyai misi " to develop Malaysia into a country which fully adopted Syariah law by 2020 "


4. [ Membentuk Malaysia sebagai negara yang menerima pakai undang - undang Syariah sepenuhnya menjelang tahun 2020 ] bukan sahaja menjadi cita - cita JIM tetapi ianya menjadi cita - cita setiap muslim yang mukmin dan muttaqin [ muslim yang benar - benar beriman dan tunduk kepada perintah Allah swt ]


5. Yb. Jeff Ooi dinasihat dan diperingatkan agar TIDAK keterlaluan dalam kenyataan dan tindakan yang boleh menyinggung perasaan ummat Islam dan TIDAK bersikap prejudis terhadap Islam .


6. Saya tegaskan sekali lagi , bahawa menjadi asas dan prinsip seorang muslim dan pergerakkan Islam membentuk cita - cita untuk melaksanakan syariat Islam dan sememangnya Islam itu adil untuk semua . Justeru itu , cita - cita atau prinsip tersebut tidak membawa maksud ia ekstrim sebagaimana yang didakwa.


7. Islam adalah agama yang adil , toleransi dan damai sifatnya . Jangan lihat Islam pada wajah manusia yang ingkar terhadap perintah Allah swt tetapi lihat Islam pada wajah mereka yang berilmu , bertaqwa dan soleh perilakunya . lantaran itu Islam adalah agama yang suci , maka dimanakah tidak kenanya cita - cita untuk melaksanakan suatu yang suci , adil dan toleransi .


8. Jika Islam tidak benar , sila buktikan dimana tidak benarnya ? jika berpegang dengan ajaran Islam itu adalah ekstrim , maka apakah implikasinya ? apalagi yang menghantui pemikiran beliau mengenai Islam ? atau beliau masih mengalami Islamophobia hasil dari propaganda barat dan kuncu - kuncunya ?


9. Sewajarnya beliau tidak memahami Islam dari perspektif musuh - musuh Islam seperti barat , golongan Islam Liberal dan pelampau tetapi sebaliknya merujuk terlebih dahulu berkait dengan dasar dan prinsip Islam melalui para alim ulama' yang memperjuangkan Islam .


10. Saya mendesak dan menyeru supaya Yb. Jeff Ooi memohon maaf kepada ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang tersebut dan kepada semua umm

Wednesday, August 5, 2009

Thaqafah : Fiqh as Siyam ~ 4 & 5

Bercelak mata

Hukum memakai celak mata semasa berpuasa walaupun termasuk debu-debu celak ke dalam lubang mata tidak membatalkan puasa, Rasulullah s.a.w. sendiri diriwayatkan memakai celak di bulan puasa. Mata tidak termasuk anggota yang dianggap berongga terbuka, maka sebab itu kalau termasuk debu-debu celak ke dalam mata tidak membatalkan puasa.

Memasukkan ubat mata ke dalam mata

Seorang yang sakit mata, lalu dimasukkan cecair ubat ke dalam matanya, sedangkan ia berpuasa, maka hukumnya tidak membatalkan puasa, walaupun pada kebiasaannya apabila dititikkan ubat ke dalam mata, maka ubat itu akan meresap melalui urat seni hingga ke dalam kerongkong.

Sepertimana yang dijelaskan di dalam kitab Al-Baijuri juz 1, halaman 231, Qalyubi Wa ‘Umairah juz 11, halaman 56, halaman 74-75 dan lain-lain semuanya menyebut bahawa tidak mengapa (tidak membatalkan puasa) cecair yang dimasukkan ke dalam mata dan walaupun ia meresap ke dalam kerongkong melalui urat seni, kerana mata dan urat seni tidak dikira rongga yang terbuka.

Takrif rongga yang terbuka menurut yang disebut di dalam Al-Baijuri ialah rongga yang terbuka yang dapat dilihat dan dirasa dengan pancaindera zahir.

Monday, July 27, 2009

Imam Akhir Zaman

Akhbar internet Malaysiakini 24 Julai telah melaporkan bahawa YB Dato’ Jamil Khir Menteri JPM telah menegur sikap sesetengah masjid ‘kaya’ yang lupa tanggungjawab sosial bahkan berbangga kerana mempunyai simpanan tetap di bank.

Beliau telah menyampaikan teguran tersebut semasa merasmikan Seminar Pengurusan Masjid Peringkat ASEAN 2009 di UUM Sintok,Kedah.

Seingat saya, entah berapa ratus kali seminar, bengkel, kursus dan entah apa nama program lagi yang dianjurkan untuk mendedahkan ilmu pengurusan masjid seperti ini telah dilakukan. Masa pun dah banyak habis, wang ringgit tak payah ceritalah. Ada kawan saya di Jabatan Agama yang bagitau bahawa seminar atau kursus seperti ini hanya diadakan untuk menghabiskan peruntukan tahunan. Hakikatnya masjid dalam negara kita kebanyakannya masih di takuk lama.

Baru-baru ini, akhbar Sinar Harian telah mendedahkan bahawa terdapat 14 pesakit AIDS yang sedang mendapat perlindungan dan layanan kebajikan di sebuah gereja di Selangor!. Keesokkannya Mufti Selangor jawab dalam akhbar yang sama , “kita takda peruntukan yang cukup serta tiada dana dan keluarga pesakit itu sendiri tak pedulikan mereka”.

Bagi saya, kalau gereja mampu berperanan serta meluaskan pengaruh serta dakyah mereka dengan cara yang saya kata sangat diragui dan jahat ini, kenapa masjid tidak boleh mendahului gereja dalam memainkan peranan. Yang paling saya risaukan ialah siapakah yang akan mentalqinkan pesakit AIDS tersebut ketika mereka berdepan dengan sakaratul maut?. Mohon perlindungan Allah jika mereka di Kristiaankan di saat mereka dihujung usia. Kewajipan kita mejaga aqidah saudara kita itu dari dirosakkan. Saya ada bukti yang kedapatan masjid yang mempunyai simpanan wang jutaan ringgit di bank!. Hasilnya, bendahari masjid itu akan berbangga dengan pembentangan kewangan dalam mesyuarat agung tahunan. Bijaknya bendahari masjid jaga duit!.

Yang berlaku dan selalu berlaku, masjid akan dikunci hingga tiada ruang yang ada untuk para musafir atau mereka yang berhajat pada tumpangan dan perlindungan.Ada kawan yang bagitau saya, muslimat yang terpaksa berteduh kerana hujan lebat di ‘pinggir’ ruangan muslimin pun dihalau ke ruang muslimat di tengah hujan yang sangat lebat sedangkan waktu itu bukan waktu solat.

Lagi satu, saya rasa Jamil Khir kena buat kajian juga dalam satu hal. Antara sebab masjid gagal berperanan adalah kerana program-program masjid selalu dihalang dan selalu dihurungi dengan buruk sangka serta hasad dengki orang-orang UMNO terutamanya JKKK. Yang ni tak payah bukti kerana saya sendiri dah banyak kali terkena. Saya pernah jadi Timbalan Pengerusi masjid dengan sokongan anak jamaah dan kariah tapi puak UMNO khianati saya dan ‘kais’ saya senyap-senyap.

Dato’ Harun Din cerita dalam kuliah beliau di Perlis 25/7 yang lepas bahawa ada Imam Masjid di Langkawi yang halang ceramah dan kuliah agama dilaksanakan di masjid beliau. Imam tu kata buat ceramah banyak tak dapat apa-apa faedah!. Pening oiii….

Benar kata Rasulullah ; di akhir zaman, ,masjid-masjid dibina hebat dan indah, akan tetapi ia kosong dari hidayah.

Sunday, July 26, 2009

Thaqafah : Fiqh as Siyam ~ 2&3


Mandi junub pada siang hari

Seorang yang berpuasa di bulan puasa disunatkan mandi hadas besar sebelum fajar (sebelum masuk waktu Subuh). Adapun mandi setelah masuk waktu Subuh hukumnya makruh. Puasanya masih lagi sah. Perkara demikian pernah berlaku pada Rasulullah s.a.w di mana baginda pernah mandi junub setelah masuk waktu subuh.

Mandi kerana terlalu panas

Khususnya bagi orang yang tinggal di kampung yang serba kekurangan kemudahan alat teknologi atau di daerah beriklim panas atau orang yang bekerja sebagai buruh atau bertani di tengah panas terik di dalam bulan puasa tentu sekali bahang panas itu menyebabkan tekak menjadi kering dan tubuh terasa bahang(panas). Untuk menghilangkan panas tentulah dengan mandi atau membasahkan badan dengan air atau berendam di dalam sungai.

Bagi orang yang menhadapi masalah demikian, syariat mengharuskan berbuat demikian dengan syarat ketika menyiram atau menyelam atau berendam itu tidak termasuk air ke dalam salah satu rongga badan, kalau termasuk air ke dalam salah satu rongga badan, maka batallah puasanya.

Mandi untuk menghilangkan rasa panas tentunya memakan masa yang lama dan mandi tersebut tidak termasuk mandi yang dituntut oleh syariat (mandi wajib atau mandi sunat).

Perbuatan mandi kerana kepanasan pada bulan puasa itu pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sepertimana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud. Daripada hadith tersebutlah, para ulama’ menghukum harus berbuat demikian di bulan puasa.