Tuesday, July 15, 2008

Antara Terburu-Buru & Longgar


SALAM ISLAH,


Petang semalam adalah masa untuk usrah mingguan Darul Islah yang saya pimpin. Anak-anak muda yang berada di hadapan saya tampak penat dan letih. Mungkin kerana puasa sunat Rejab yang menjadi rutin tarbawi Darul Islah setiap Isnin. Tahun ini, kami berazam untuk puasa 4 hari dalam bulan Rejab yang mulia ini. Mudah-mudahn menjadi satu langkah mula yang akan menatijahkan istiqamah sepanjang hayat. Sewaktu saya katakan kepada ‘anak-anak usrah’ saya bahawa kita akan berpuasa 4 hari, ramai yang tersengih. Tak tahulah pulak saya apa maksud sengihan mereka itu. Mungkin juga kerana terlalu sedikit. Mungkin juga merasa bernasib baik kerana saya putuskan 4 hari sahaja. Namun saya lihat dalam diri anak-anak muda ini ada ‘kesungguhan’ dalam melaksanakan keputusan bersama ini. Semua ini adalah demi untuk upgrade ruhiyyah dan jiwa seorang dai’e. Di dalam hati saya berdoa, moga kami, anak-anak Darul Islah ini akan terpilih untuk menjadi pejuang dan pembela agama. Walaupun kadang-kadang terkantoi jua dalam menjalani program tarbawi, kami beristighfar dan segera memperbaiki.

ANTARA TERBURU-BURU DAN LONGGAR

Teks perbincangan usrah adalah wasiat dan pesanan al Marhum Syeikh Mustafa Masyhur. Beliau mengingatkan semua anak-anak harakah Islamiyah bahawa jangan sekali-kali terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan dalam menggerakkan amal Islamiy. Kerana sifat terburu-buru akan membawa kesan yang buruk dan membahayakan perjuangan dan jamaah. Dr Syed Muhammad Nuh menulis di dalam Afaat ‘alathoriq (halangan sepanjang jalan dakwah), bahawa sifat isti’jaal dalam diri abna’ al harakah akan membawa kepada kecelakaan. Di dalam hadis, Rasulullah SAW berpesan;

“ Tenang itu datangnya dari Allah dan gopoh-gapah itu datangnya dari syaitan”.

Saya pesankan kepada anak-anak muda di hadapan saya, bahawa terburu-buru dalam gerakan Islam boleh dielakkan melalui syura dan meletakkan kepentingan jamaah melebihi kepentingan peribadi. Jangan sekali-kali mendahului keputusan syura dan mesyuarat pimpinan!. Itulah pesan yang selalu saya ulang-ulang kepada anak muda ini. Kita tidak boleh terlalu yakin dengan keputusan yang kita ambil sendiri. Kononya pimpinan lambat, tak cekap, tak tahu mengambil kesempatan, tak bijak dan sebagainya. Wala’ ketaatan kita mesti jelas. Ikrar dan janji setia mesti terang bersuluh. Jangan di hadapan pimpinan kita anggukkan kepala, di belakang mereka kita rujuk kepada ‘pimpinan kita’ yang selain mereka. Ini munafiq namanya. Inilah adab yang berlaku di kalangan para sahabah. Sehingga bila ditanya oleh Sang Rasul SAW soalan yang mereka tahu jawapannya sekalipun, mereka menjawab “ Allah dan RasulNya jua yang mengetahui”. Para sahabat sangat mentaati Rasulullah SAW dalam semua perkara berkait ‘amal Islamiy. Di sinilah letakkan kejayaan para sahabat. Maka syura pimpinanlah yang menggantikan keputusan yang dibuat Rasul SAW di zaman kita.

Saya pesankan kepada anak-anak saya itu, jangan ada hati yang terdetik, takkan sama kerja buat amal islamiy kita dengan apa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Jika perjuangan kita tidak ada kait mengait dengan apa yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW, maka tiada secubit pahala pun yang kita dapat dari penat lelah kita selama ini. Rahmat Allah dan kasihNya akan tercurah kepada kita bila amal Islamiy yang kita gerakkan ini adalam warisan perjuangan nabawi dan mencontohi Baginda dalam setiap gerak geri adalah arahan Ilahi.

“Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” Surah Al Ahzaab : 21

Kemenangan adalah cita-cita perjuangan Islam, namun ia bukan matlamat perjuangan. Matlamat perjuangan adalah mengejar redha Ilahi. Jangan biar nafsu mengambil tempat kesucian qasad dan niat. Jika tidak, kita kalah sebelum berjuang. Jika nafsu dapat dididik supaya tidak terburu-buru maka ini adalah kemenangan yang hakiki. Jika diizinkan menang dalam perjuangan sekalipun tetapi sifat terburu-buru masih lagi kita amalkan maka ini bukan kemenangan hakiki.Renungkanlah.

No comments: