Saturday, July 26, 2008

RM60 juta Urus Sekolah Agama di Kelantan


KETEREH, 24 Julai (Hrkh) : Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak lebih RM60 juta tahun ini bagi pengurusan dan pembangunan sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri setiap tahun menyediakan peruntukan yang besar bagi sektor pendidikan agama.
Sebab itulah kita mengambil keputusan mendaftar 20 buah sekolah agama rakyat dengan Kementerian Pelajaran di bawah skim sekolah agama bantuan kerajaan.
Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri setiap tahun, katanya pada perasmian masjid Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqaddumi Ilmi Ketereh, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mohd Amar berkata, kerajaan negeri mendaftar sekolah terbabit bagi membolehkan bantuan perkapita yang pernah diterima sebelum ini diperolehi kembali.

"Kita akan menandatangani perjanjian di antara Yik dengan Kementerian pada 12 Ogos depan yang akan disaksikan Menteri Besar dan Menteri Pelajaran Malaysia," ujar beliau.
Menurutnya sebelum ini ramai yang keliru dengan mengatakan kerajaan negeri mahu menyerahkan sekolah terbabit, sedangkan ia sebenarnya sekadar mendaftar dengan kementerian.

Beliau juga berharap pembinaan masjid di sekolah tersebut menjadi satu mercu tanda bagi melahirkan generasi yang berilmu dan bertaqwa.
Katanya, masjid merupakan tapak pertama bagi pelajar untuk menimba ilmu.
Menteri Besar pula berharap ibu bapa mendidik anak-anak dengan menjadikan solat sebagai asas utama dalam memberi pendidikan kepada anak-anak.

"Anak-anak bagaikan tepung yang diuli oleh ibu bapa dan terpulanglah kepada mereka untuk menjadikan jenis-jenis kuihnya begitu juga dengan anak-anak.
Kalau ibu bapa suka anak mereka menjadi liar atau tidak bermoral maka anak tersebut akan membesar dalam keadaan begitulah," ujarnya.

Mudir sekolah terbabit, Ustaz Mat Yaacob Mat Amin, 50 berkata, masjid yang dibina melibatkan kos RM300,000 hasil sumbangan orang ramai dan tokoh-tokoh korporat. Katanya, sebelum ini pelajar terpaksa bersesak-sesak dalam kelas yang dijadikan sebagai musalla.

Menurutnya masjid merupakan kilang untuk mengeluarkan manusia yang beriman dan beramal soleh.

No comments: