Tuesday, July 15, 2008

Jatidiri Pembela Agama 2


Kesan tarbiyyah aqidah yang mantap dan masak di dalam jiwa pendokong agama Allah SWT sepanjang zaman ialah mereka senantiasa meletakkan kepentingan Islam lebih dari segalanya. Mereka sanggup mengorbankan kepentingan peribadi mereka dan keluarga mereka sehingga akhirnya nyawa dan darah mereka persembahkan kepada Allah SWT.

Ibn Al Mubarak meriwayatkan daripada Ma’mar, daripada Az Zuhri dia berkata ; “AbdurRahman bin Auf pernah menginfaqkan separuh harta miliknya pada zaman Rasulullah SAW , lalu dia menambahi lagi dengan 40 000 dinar, lalu ditambah lagi dengan menyerahkan 500 ekor kuda dan 500 ekor unta yang majority hartanya ini diperolehi daripada hasil perdagangan” Al Ishabah 2/416

Apa yang dapat dilihat dari sikap AbdurRahman tadi adalah hasil dari didikan Rasulullah SAW dan keyakinan beliau kepada janji Allah di akhirat. Kerana itulah mereka senantiasa mengutamakan kepentingan Islam walau dengan menginfaqkan separuh dari harta mereka demi menegakkan agama Allah SWT. Kesedaran bahawa dunia adalah barang pinjaman dan amanah dari Allah adalah menjadi sebab utama mereka tidak terpengaruh dengan dunia lalu mengutamakan Islam. Umum mengetahui bahawa penghalang utama bagi para dai’e adalah nafsu dan jiwa kebendaan. Jika kedua musuh ini berjaya mengalahkan para dai’e,nescaya mereka akan gugur di pertengahan jalan dakwah.

Allah SWT telah menegaskan bahawa balasan bagi mereka yang sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi Islam adalah SYURGA. Firman Allah SWT ;

“Sesungguhnya Allah Telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu Telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang Telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar.” At Taubah : 111

Inilah yang dikejar dan ingin direbut oleh Mukmin yang yakin dengan janji Allah sehingga mereka sanggup tinggal berseorangan, dipenjara, dipisah dari anak isteri dan pelbagai penderitaan lagi. Janji Allah inilah yang menjadi penawar kepada susah payah mereka dalam menelusuri jalan dakwah

BERILTIZAM DENGAN KERJA-KERJA ISLAM

Kata Ustaz Fathi Yakan “ Bila saya mengaku sebagai Muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jamaah , bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mewujudkan individu Muslim, rumahtangga Muslim, masyarakat Muslim dan negara yang benar-benar Islam” - Maaza Yakni Intimaaie Lil Islam.

Inilah resam hidup seorang pejuang. Kemana pun ia pergi, walau dimana ia berada, Islam akan dijunjung dan disampaikan. Dia akan beristiqamah dengan jamaah kaum Muslimin dan menjauhi keseorangan dan bersendirian dalam melaksanakan kerja-kerja Islam. Seluruh masa dan tenaga dicurahkannya untuk menjayakan cita-cita Islam di atas. Terutamanya dalam memastikan tertegak dan terlaksananya sebuah negara yang benar-benar Islam. Dia akan memastikan ‘ada masa’ untuk kerja Islam. Dia tidak akan jadikan kerja-kerja Islam ini adalah kerja ‘jika ada masa’. Dan ketahuilah bahawa kesungguhan ini adalah milik hati yang mendapat hidayah dari Allah dan dipilih Allah. Banyak yang tidak pernah lupa hadir usrah, jaarang ketinggalan tamrin, sampai ke peringkat menjadi pemimpin jamaah sekalipun telah mencatat sejarah dengan menjadi manusia yang lari dari perjuangan!. Kemana dia pergi, kemana ia lari, sampai bila dia akan bersembunyi. Hanya Allah jua yang tahu.

No comments: