Saturday, July 5, 2008

Dadah Haram.... ARAK ??




Salam Perjuangan Sahabat Sekalian...




Saya menunaikan solat jumaat Masjid Al Mardhiyah Taman Melawati KL. Kebetulan saya diminta untuk menyampaikan tazkirah sebelum masuk waktu solat Jumaat. Dalam tazkirah tersebut saya menyentuh beberapa perkara. Antaranya;

Pertama; Asas kehidupan seorang mukmin adalah Taqwa pada Allah SWT. Kerana itulah setiap hari Jumaat akan berkumandang pesanan supaya kita sekalian bertaqwa dari atas mimbar Jumaat. Di seluruh dunia Islam, di segala ceruk rantau , pesanan supaya bertaqwa ini akan berkumandang setiap jumaat dan senantiasa diulang tanpa rasa jemu. Syara’ pula menjadikan tausiyah supaya bertaqwa ini sebagai salah satu rukun khutbah yang tidak sah khutbah tanpanya. Dengan taqwa (buat yang Allah suruh, tinggal yang Allah tegah) manusia akan berjaya di dunia dan selamat di akhirat. Pekerjaan dunia mendapat berkat, hidup di akhirat mendapat redha dan rahmat. Dengan taqwa setiap permasalahan dunia akan ditunjukkan jalan keluar oleh Allah. Dengan taqwa setiap muslim ada kemampuan untuk menentukan benar dan salah. Dengan taqwa manusia akan diselamatkan ketika meniti titian sirath.

Kedua ; Betapa perlunya seorang Muslim mengikat diri dengan ajaran Islam. Keterikatan dengan setiap inci ajaran Islam adalah syarat menjadi mukmin yang sebenar. Sesungguhnya dustalah dakwaan orang yang mengaku Muslim tetapi tidak melaksanakan tuntutan agama Allah SWT. Ramai pula di zaman ini yang mengaku Islam tetapi langsung tidak mengikat diri dengan ajaran Islam. Inilah munafiq di zaman ini.

Ketiga ; Merasa mulia dengan Islam adalah kemuncak daripada penghayatan ajaran Islam. Dan rasa mulia dengan Islam itu adalah natijah daripada kemanisan Iman yang dirasai di dalam diri setiap Mukmin. Betapa ramai yang diberikan nikmat Islam sejak kecil tetapi malangnya ia tidak merasa manisnya Islam dan Iman di dalam jiwanya.

DADAH HARAM….ARAK?

Khutbah yang dibacakan khatib Jumaat juga amat menarik perhatian saya. Isinya amat mantap, tepat dan padat. Khutbah menyentuh isu najis dadah. Isi khutbah menyebut bahawa pengharaman dadah adalah kerana ianya memabukkan dan memudharatkan. Pengharamannya diqiyaskan dengan arak. Kita semua maklum bahawa arak adalah di antara perkara yang diharamkan oleh Syariat Islam secara terang-terangan. Nasnya adalah tegas dan bersifat qathi’e.

Yang amat menghairankan saya ialah, betapa tegasnya kerajaan kita dalam menangani masalah dadah sehingga mimbar khutbah seluruh negara digunakan untuk memerangi najis dadah sedangkan arak yang terlebih dahulu wajib diharamkan tidak pula diharamkan. Sepatutnya pengharaman arak juga perlu dilaksanakan. Arak dijual secara terang-terangan di sebuah negara yang mengaku negara Islam. Tak cukup dengan itu, diistiharkan pula Islam Hadhari. Inilah yang dikatakan sesat dan mengelirukan. Inilah fitnah yang sebenar dan lebih merbahaya !!.

Islam membenarkan arak dijual kepada non Muslim. Tetapi di tempat yang terkawal dan tidak di kawasan penduduk majoritinya adalah Muslim. Di Langkawai, arak lebih murah dari mineral water. Dijual pula dengan terang dan jelas seperti dijual teh tarik.Untuk penerangan lebih lanjut sila baca artikel sahabat saya Ustaz Wan Ji dalam blognya
al-bakistani.blogspot.com.

Banyak sungguh kepelikan di akhir zaman. Sehingga mengelirukan. Yang berbohong pula, melakukan pembohongan hingga tidak dipercayai orang.



1 comment:

Head Shot said...

Salam ustaz..
Tahniah kepada ustaz yang kini melebarkan dakwah sehingga ke dunia siber. Mudah-mudahan amalan mulia ini ,diterima olah ALLAH. Untuk pengetahuan ustaz juga, saya juga mempunyai blog.-HAZIM-