Wednesday, July 16, 2008

TAQWA Sebagai Asas Disiplin


BismilLah,wal hamdulilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah, wa ba’du;

SALAM ISLAH,

Disiplin dan kesungguhan adalah asas kejayaan dalam semua perkara. Tanpa keduanya tiada matlamat yanag akan dapat dicapai. Orang yang profesionnya merompak menyamun sekalipun, merancang dengan penuh teliti dan bersungguh-sungguh sebelum ‘berjaya’ melakukan operasi rompakan mereka. Organisasi mereka cukup tersusun seperti kita lihat dalam filem Penyamun Tarbus yang Ibrahim Pendek menjadi ‘Sarjannya’ dan P Ramlee ‘Jenaralnya’.

Taqwa adalah asas kepada disiplin yang tinggi dalam Islam. Taqwa menatijahkan sifat amanah, wara’ (menjauhi yang haram), niat yang ikhlas dalam melaksanakan tugas dan pelbagai nilai murni yang lain. Islam menjaga dan mengawal manusia dengan taqwa. Sementara secular mengawal manusia dengan ‘polis’. Akhirnya polis yang miskin taqwa serta faqir iman telah menjadi musang berbulu ayam. Harapkan pagar, pagar makan padi. Polis makan rasuah, pecah amanah, bersubahat dengan penjenayah dan pelbagai perkara negatif yang lainnya. Suatu ketika dulu, kita terkejut mendengar cadangan penubuhan Jawatankuasa Penilai/Pemantau Polis dalam negara kita. Semua ini tidak akan selesai melainkan dengan menyubur dan membaja sifat taqwa (buat yang Allah suruh dan tinggal yang Allah tegah) dalam diri setiap manusia mukmin. Nanti kita terpaksa tubuh pula Jawatankuasa yang memantau ‘Jawatankuasa Pemantua Polis’ sebab mereka jua rosak akhlak. Jadikanlah sifat taqwa sebagai sebaik-baik disiplin tugas.

“Hai orang-orang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, kami akan memberikan kepadamu Furqaan[607]. dan kami akan jauhkan dirimu dari kesalahan-kesalahanmu, dan mengampuni (dosa-dosa)mu. dan Allah mempunyai karunia yang besar.” Surah al Anfal : 29

[607] artinya: petunjuk yang dapat membedakan antara yang haq dan yang batil, dapat juga diartikan disini sebagai pertolongan.


Sabda Rasulullah SAW ;

“Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana jua kamu berada, dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan (bertaubat selepas berbuat dosa)”

Kedua-dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa TAQWA mampu menjana disiplin yang tinggi dalam apa jua perkara. Lebih-lebih lagi saudara, sifat taqwa ini akan melahirkan rasa malu kepada Allah SWT. Rasa malu pada Allah inilah yang akan mendorong seseorang untuk bekerja dengan amanah dan sebagai menunaikan rasa syukur kepada Allah SWT yang memilihnya untuk berada di atas jalan yang benar dan pekerjaan yang baik lagi halal.

TAQWA : SYARAT KEMENANGAN


Ketahuilah bahawasanya taqwalah yang telah memenangkan pejuang Islam sepanjang zaman. Ketika Allah SWT menangguhkan kemenangan ke atas Pejuang Qadisiyah, Umar al Khattab telah memperingatkan mereka dengan taqwa. Setiap kali keluar ke medan jihad, Rasul SAW telah memperingati para sahabat dengan taqwa. Bahkan setiap Jumaat, wasiat supaya bertaqwa senantiasa berkumandang di atas mimbar saban minggu demi memperingati umat bahawa syarat kemenangan dan keterbilangan adalah dengan taqwa kepada Allah SWT.

Umar pernah mengingatkan tentera muslimin bahawa betapa perlunya memelihara diri dari dosa dengan bertaqwa pada Allah SWT kerana katanya “ Sesungguhnya kita dimenangkan oleh Allah dek kerana dosa yang dilakukan oleh musuh kita”. Jika kita sama seperti musuh dalam melakukan dosa pada Allah, bagaimana boleh kita dimenangkan oleh Allah SWT. Apa yang boleh difahami dari kata hikmah Syeikh Ibn ‘Athoillah ialah, kita akan menang di saat yang dikehendaki oleh Allah bukannya di saat kita mahukan kemenangan.

Jika para pembela agama dan petugas amal Islami di zaman ini mengetahui rahsia besar ini serta mengamalkan sepenuhnya di kalangan mereka, nescaya Allah akan mengangkat hijab kemenangan, lalu kita dimahkotakan dengan kemenangan yang besar seperti yang dijanjikan Allah SWT. Berjaya dalam perjuangan di dunia dan selamat dari neraka di akhirat kelak.

No comments: