Salam ISLAH,
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menegaskan bahawa; “ Sesungguhnya Islam itu bermula dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali menjadi dagang seperti ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang terasing (yakni yang kekal istqamah bersama Islam walaupun ia menjadi asing di tengah-tengah manusia)”
Terasing boleh juga difahami dengan makna keseorangan dan terpencil atau dipencilkan dari manusia sebagaimana yang dapat kita fahami dari petunjuk Sirah Rasul SAW. Baginda memulakan dakwah dalam keadaan terasing dan keseorangan. Kemudian Islam menjadi pelik dan asing di tengah masyarakat Makkah ketika itu.
Di dalam hadis di atas, Rasulullah SAW ingin menegaskan bahawa Islam akan kembali menjadi asing dan pelik di satu ketika. Pejuang-pejuang agama akan menjadi terasing dan akan keseorangan. Begitu jualah kumpulan atau sekelompok manusia yang berjuang menegakkan Islam sebagai Ad Dien, ia akan berhadapan dengan suasana terasing, dilihat pelik dan akhirnya akan menjadi satu-satunya organisasi yang kekal istiqamah dengan prinsip Islam.
Apa yang diperjuangkan oleh PAS, adalah sama dengan apa yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW. Al Quran, As Sunnah, Ijmak dan Qiyas adalah dasar PAS. Maka sudah tentulah senario yang dihadapi oleh Rasulullah SAW akan turut dihadapi oleh PAS. Dalam Pakatan Rakyat, hanya PAS yang tegar mempertahankan prinsip Islam. PAS tidak bersetuju dengan konsert Ella & Mas Idayu yang diadakan sempena Piala Sultan Selangor baru-baru ini. PAS mengutuk perbuatan tunjuk punggung dalam himpunan PROTES baru-baru ini. Dan Presiden PAS telah menegaskan bahawa demonstrasi jalanan adalah lebih berkesan dan lebih baik daripada himpunan dalam dewan tertutup. Di kala amaran dari DAP bahawa PAS jangan sekali-kali bercakap untuk melaksanakan Syariat Islam dalam pemerintahan Negara, PAS kekaldengan sikap tegas untuk memastikan Islam akan tertegak sebagai agama dan kerajaan yang berdaulat. Inilah cita-cita politik PAS yang suci dan murni yang merupakan aspirasi dari wahyu Allah SWT dan politik Rasulullah SAW.
Sudah barang tentu, sikap istiqamah PAS akan mengundang kemarahan dan amarah dari pihak yang tidak pernah bersetuju dengan dasar-dasar syariat Islam. Kita tidak boleh menafikan bahawa dalam PKR dan DAP terdapat pimpinan mereka yang tidak bersetuju dengan dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Anuar Ibrahim sendiri tidak pernah berhasrat untuk kembali kepada Islam dan tidak pernah bercakap pun untuk melaksankan Islam dalam pemerintahan jika dia jadi PM. Macamana kita nak percaya kepada orang yang tidak pernah menyatakan dengan jelas prinsip perjuangan Islam?. DAP sendiri telah meletakkan dinding yang teguh tanpa boleh diruntuhkan lagi antara dia dengan PAS. Sebabnya, Islam yang syumul yang diperjuangkan PAS.
Sebentar tadi, Presiden PAS sekali lagi menegaskan bahawa Islam adalah untuk semua. Kalau PAS boleh menubuhkan Kelab Penyokong PAS untuk menjadi titian PAS kepada bukan Islam, kenapa pula PAS tidak boleh menghampar laluan kepada UMNO untuk kita ajak mereka kepada Islam yang sebenar. Kalau Hindun yang membunuh dan memamah hati Saiyyiduna Hamzah diterima keislamannya oleh Nabi SAW dan dimaafkan inikan pula UMNO yang mahu menerima dasar Islam yang dibawa oleh PAS. Kita berdoa supaya Allah buka hati pimpinan UMNO untuk kembali kepada Islam yang syumul.
Inilah kepelikan-kepelikan yang dibuat oleh PAS. Menyebabkan ia dipandang asing dan menjadi dagang di tengah-tengah manusia. Tidak pelik jika akhirnya PAS kembali berseorangan. Demi Islam, walau pahit sekalipun, kita mesti menerima hakikatnya.
1 comment:
Salam kunjung buat Ustaz saya di SMK Derma sekejap dulu. Saya masih ingat dulu bila balik sekejap ke Perlis, saya pernah ikut sama jemaah tabligh keluar di surau di mana Ustaz jadi imam di situ waktu itu (sekitar tahun 2002-2003, Dr Sam keluar bertabligh di Perlis waktu itu, surau Batu 3 tak silap, jalan ke Batu Pahat).
Rindu nak balik Perlis..tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. InsyaAllah satu hari saya akan balik membela anak negeri saya.
Post a Comment