Daripada Abdullah Ibn Busr radhiyallahu ‘anhu seorang lelaki bertanya : “ Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya syariat Islam (perkara wajib dan sunat) terlalu banyak ke atasku, beritahulah kepadaku sesuatu yang dapat kubergantung dengannya.” Lalu Rasulullah SAW bersabda : “ Hendaklah lidah kamu sentiasa dibasahi dengan zikir mengingati Allah SWT” (riwayat Imam at Tirmizi)
Mutiara Hadis :
1-Menurut ulama’, zikir dapat difahami dengan dua makna. Makna yang pertama ialah zikir dengan erti “menyebut” . Makna yang kedua ialah zikir dengan erti “ingat”. Maka dapat difahami bahawa berzikir mengingati Allah SWT ialah dengan makna selalu menyebut nama Allah dengan lidah kita atau mengingati Allah di hati kita.
2-Disamping mematuhi setiap arahan syariat Islam serta menyusun kehidupan agar selari dengan kehendak syara’,seorang mukmin seharusnya mendidik diri supaya senantiasa berada di dalam keadaan mengingati Allah dalam setiap hal dan keadaan.
3-Di dalam hadis di atas, secara khususnya Rasulullah SAW berpesan supaya lidah seorang mukmin itu sewajarnya senantiasa basah dengan zikrullah (menyebut nama-nama Allah serta berzikir dengan kalimah-kalimah zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW, contohnya ;
Daripada Saiyyiduna Abu Zar radhiyallahu ‘anhu bahawa ia berkata, telah berkata Rasulullah SAW : “ Mahukah aku khabarkan kepada kamu tentang perkataan yang paling dicintai oleh Allah SWT?” , lalu aku berkata : “ Ya Rasulullah, beritahu kepadaku akan ucapan yang paling dicintai oleh Allah SWT”. Lalu Baginda SAW bersabda : “ Sesungguhnya ucapan yang paling dicintai Allah SWT adalah : “Subhanallahi wa Bihamdihi” (hadis riwayat Imam Muslim, an Nasaie dan Imam at Tirmizi)
4-Ketahuilah bahawa ‘mujahadah’ diperlukan untuk melatih diri supaya senantiasa berada di dalam zikrullah. Mujahadah ialah bersungguh-sungguh memaksa diri dan mendisiplinkan jiwa supaya dapat senantiasa berada di dalam zikrullah. Ini adalah kerana setiap kebaikan, ibadah dan amal soleh mempunyai musuh tradisi zaman berzaman iaitu SYAITAN dan NAFSU syahwat. Syaitan membisikkan keraguan, kealpaan dan kelekaan sedang nafsu lebih cenderung untuk berseronok dan bersantai.
5-Zikrullah yang paling utama adalah jihad menegakkan Islam serta memerangi musuh Allah dan Rasul termasuk nafsu sendiri demi mengajak diri dan manusia sekaliannya tunduk mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT semata.
5-Yakinilah bahawa harta benda, wang ringgit, masa, tenaga, buah fikiran, peluh yang mengalir serta mata yang berjaga malam demi menjulang Islam serta menundukkan setiap jiwa kepada mengingati Allah serta mengabdikan diri hanya padaNya adalah merupakan zikrullah yang paling utama.
6-Mengembalikan manusia ke jalan Allah serta menegakkan ‘Izzah (kemuliaan) buat Islam adalah sebaik-baik pekerjaan seorang mukmin dalam rangka zikirnya kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment