Friday, August 28, 2009

Tabahkan Kami Seperti Para NabiMu Ya Allah


Dalam rangka mengisi masa terluang di waktu petang sejak awal Ramadhan yang lalu di samping menunggu masuknya waktu berbuka, saya jadikan rancangan Jejak Rasul di saluran TV3 sebagai tontonan. Terdetik dalam hati, alangkah baiknya jika rancangan-rancangan TV yang mempunyai nilai ilmu, motivasi dan pendidikan yang tinggi seperti ini dapat diperbanyakkan dalam senarai rancangan dan program televisyen negara kita.

Kita mesti mengakui hakikat bahawasanya rancangan televisyen yang negatif lebih banyak daripada positifnya. Media masa seharusnya membantu dalam mendidik dan mencorak wajah masyarakat yang bersih dari penyelewengan akhlak dan moral. Melahirkan masyarakat yang berpendidikan dan berilmu juga harus dibantu oleh media. Namun perkara ini adalah terletak kepada acuan yang ditetapkan oleh pemerintah. Jika acuannya rosak dan tidak baik, maka akan lahirlah kerosakan dan kebobrokan. Masyarakat akan hancur. Manusia adalah mengikut agama pemerintah mereka.

Kembali kita pada rancangan Jejak Rasul. Jiwa dai’e yang dimiliki oleh para anbiya’, adalah diibaratkan seteguh gunung. Mereka tidak pernah mengenal erti lemah dan putus asa. Keazaman yang jitu telah menjadikan mereka tabah dalam dakwah. Saya dapati bagaimana ditunjukkan bahawa medan yang menjadi gelanggang dakwah para Rasul ‘alaihimussolatu wassalam, adalah padang pasir yang kering kontang serta dikelilingi gunung ganang yang bisu dan kaku. Namun kegigihan perjuangan mereka tiada tolak bandingnya.

Dengan penuh kesedaran dan keinsafan kita akui bahawa cabaran yang dihadapi oleh para da’ie dan muslim dewasa ini tidak seterik apa yang dialami oleh para anbiya’. Kita masih boleh berehat dalam suasana sejuk dan dingin penghawa dingin. Penentangan masyarakat terhadap kita tidak sekurang ajar penentangan yang diberikan oleh kaum sasaran dakwah para anbiya’ terdahulu. Apa yang dialami oleh Nabi Nuh, Hud, Saleh, Luth dan selain mereka telah menjadikan kita kecut perut mengenangkannya.

Yang menjadi cabaran kita di zaman ini adalah kasih saying kita pada harta benda kekayaan serta pangkat darjat dan kedudukan. Keselesaan kita telah meragut kesungguhan, istiqamah da kesanggupan untuk berkorban demi menjulang izzah Islam. Dan jangan lupa, malas juga satu cabaran buat kita dek kerana dibuai dan didodoi dengan kesenangan hidup penuh santai buat sekian lama. Kita hebat dalam bercakap dan menulis tentang kesederhanaan Rasulullah SAW dalam kehidupan, namun untuk meneladani Baginda adalah jauh sekali.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan dan memilih kita untuk menelusuri jalan tinggalan, warisan dan pusaka para Anbiya’. Allahumma, bangkitkan kami di akhirat kelak bersama Anbiya’Mu.



No comments: