Buasir
Seorang yang berpenyakit buasir, biasanya apabila ia membuang air besar akan terkeluar duburnya dan setelah dibersihkan ia terpaksa memasukkan kembali duburnya. Orang yang berpenyakit demikian tidak batal puasanya kerana ia termasuk di dalam golongan yang uzur syar’ie.
Jimak Terlupa
Seorang yang melakukan hubungan jenis dengan isteri pada bulan puasa sedangkan ia terlupa behawa ia sedang berpuasa, maka hukumnya batal puasa dan ia wajib mengqadanya dan tidak wajib kifarat (tidak kena denda) kerana ia terlupa. Tetapi kalau ia sengaja, maka puasanya batal dan waib ia mengqada serta bayar kifarat.
Menghisap Rokok
Hukum menghisap rokok di bulan puasa sedangkan seseorang itu berpuasa adalah batal puasanya. Pada hakikatnya asap mengandungi narkotin yang apabila sampai ke dalam rongga (kerongkong) ia melekat di bahagian tersebut.
Oleh yang demikianlah, para fuqaha` (ahli perundangan Islam) menghukumkan asap rokok yang masuk ke dalam rongga boleh membatalkan puasa.
Telah disebut di dalam Hasyiah Al-Baijuri juz 1 halaman 290: “Asap rokok mengikut pendapat masyhur dikira seperti benda dan yang seumpama seperti tembakau, kalau menghisap (semasa berpuasa) membatalkan puasa, kerana asap rokok menghasilkan benda yang dapat dilihat di dalam batang kayu (api).
Main Catur
Biasanya di dalam puasa, sementara menanti waktu berbuka puasa, menjelang maghrib, ramai orang yang mengisi masa dengan bermain sesuatu yang melupakan ingatan kepada makan dan minum, seperti bermain catur, dam, dan sebagainya.
Timbul persoalan, apa hukumnya bermain dengan permainan tersebut di dalam bulan puasa dan adakah ia membatalkan puasa atau tidak.
Adapun hukum bermain catur dan yang seumpamanya hukumnya adalah haram mengikut Mazhab Maliki, Hanafi dan Hambali dan makruh hukumnya mengikut Mazhab Al-Syafie dengan syarat tidak bercampur dengan judi, yakni berupa pertaruhan dua belah pihak atau sebelah pihak atau dengan permainan itu tidak melengahkan solat dan lain-lain yang diwajibkan. Kalau bercampur dengan judi atau melengahkan solat, maka menurut mazhab Al-Syafie hukumnya haram, demikian apa yang tersebut di dalam Fathul Mu’in pada nota kaki (tepi) La’natut Talibin juz, halaman 285.
Walaupun menurut pendapat mazhab As-Syafie hukumnya makruh, tetapi kalau ia dimainkan pada bulan puasa ia boleh menghapuskan pahala puasa, kerana permainan itu digolongkan ke dalam perkara yang dilarang seperti berseronok dengan sesuatu yang harus sepertimana yang tersebut di dalam Syarah Bafadhal pada nota kaki kitab Al-Hawashil Madaniah juz2, halaman 122.
Daripada hukum catur, maka bolehlah dikiaskan kepada permainan lain yang juga termasuk dalam permainan yang melalaikan daripada mengingati Allah s.w.t. pada bulan puasa.
No comments:
Post a Comment