Salam ukhuwwah fillah buat saudara-saudara seaqidahku sekalian,
Ramadhan mendidik kita menjadi hamba Allah yang hakiki. Antara rasa hati seorang hamba ialah pemerhatian dan intipan Allah SWT ke atas setiap gerak gerinya. Dalam kata lain, ia senantiasa merasai kebersamaan Allah di dalam setiap detik kehidupan. Tidak ada sesaat pun yang terlepas dari pandangan Allah SWT. Ia adalah ibarat seperti kita yang senantiasa di pantau oleh polis atau SB. Walaupun kita tidak buat sebarang kesalahan, namun kita pasti tertanya-tanya dan gedebar perut bila SB selalu telefon kita, kereta polis pagi petang ada di hadapan rumah kita dan selalu mengekori kita. Kita dengan sendirinya akan menjaga tingkah laku dan memerhatikan dengan sungguh-sungguh segala tindakan kita agar tidak melanggar undang-undang. Saudaraku, pemerhatian Allah jauh lebih halus dan lebih detail dari pemerhatian Polis atau SB.
Polis atau SB akan tidur sedang Allah tidak pernah tidur dan suci dari semua sifat makhluk. Polis akan berhenti rehat untuk makan minum dan sebagainya sedang Allah tidak makan, tidak minum dan tidak perlukan rehat macam kita. Pemerhatian Allah tiada batasan sedangkan pemerhatian Polis ada batas dan hadnya. Allah SWT mengetahui segala keadaan kita bahkan mengetahui apa yang kita bisikkan di hati sekalipun.
Justeru berwaspadalah dengan segala tindakan dan pertuturan bahkan gerak hati sepanjang kehidupan berbaki di dunia ini, kerana semuanya dalam pemerhatian Allah SWT.
Satu lagi, di samping merasai pemerhatian Allah kita juga harus merasakan setiap yang diperhatikan Allah SWT tidak juga akan terlepas dari perhitungan. Tidak ada yang kecil mahupun yang besar melainkan semuanya dalam hitungan Allah SWT sebagaimana yang telah Allah peringatkan di dalam surah az Zalzalah bahawa yang baik mahupun yang jahat walau sebesar atom sekalipun, pasti akan diperlihatkan dan dibalas di akhirat kelak.
Meyakini perhitungan Allah SWT ini adalah merupakan penawar jiwa bagi setiap Mukmin. Yakinlah mereka bahawa ketaatan dan kemaksiatan akan dib alas. Imam al Ghazali ‘alaihi rahmatullah menyebutkan di dalam Minhajul ‘Abidin bahawa apabila seorang hamba ingin melakukan dosa maka hendaklah ia segera mengingati akibat dari dosa tersebut iaitu neraka Allah, maka segera ia tertahan dari bermaksiat kepada Allah SWT.
Buat para da’ie dan pejuang agama serta penggerak amal islami, yakinlah bahawa segala kesusahan dan kepayahan demi perjuangan menegakkan syari’atullah dalam diri dan negara pasti diperhatikan dan dihitung dengan seadil-adilnya oleh Allah SWT yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Di dalam kitab-kita sahih Hadis Rasulullah SAW, direkodkan bahawa debu-debu yang melekat di betis para mujahid akan menyebabkan betis tersebut tidak akan dimamah api neraka Allah SWT.
Yakinilah jua bahawa pengkhianatan pemerintah thaghut yang zalim serta munafiqin pengikut mereka sepanjang zaman pasti di dalam pemerhatian Allah serta perhitunganNya dan akan dibalas di akhirat kelak dengan seadil-adilnya di hadapan mahkamah Allah SWT.
Akhirnya, Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa HATI adalah tempat jatuhnya pandangan Allah SWT. Perbaikilah hati dengan mujahadah yang bersungguh-sungguh. Hiasilah ia dengan ikhlas dan taqwa. Isilah ia dengan ilmu dan makrifah. Nescaya ia akan jernih, bening, tenang serta bahagia menantikan janji-jani Rabnya tertunai di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment