Salam Islah,
Memperbaiki diri adalah asas kebaikan yang tiada tolak bandingnya. Rasulullah SAW ketika ditanya tentang siapakah orang yang bijak, maka Baginda menegaskan bahawa mereka adalah orang yang senantiasa memuhasabah diri serta menahannya dari menjadi pengikut kejahatan nafsu.
Imam Ibn ‘Athoillah di dalam Hikamnya telah menyebutkan bahawasanya cinta dunia adalah sebab manusia itu tidak sampai kepada maqam salihin yang mengabdikan dirinya hanya untuk Allah SWT. Kekeliruan terhadap hakikat kehidupan dunia juga adalah sebab mengapa tidak berlakunya peningkatan di dalam soal ketaatan dan ibadah.
Para sahabah radhiyallahu ‘anhum adalah qudwah unggul buat kita semua. Rasulullah SAW memeberi jaminan bahawa sesiapa sahaja di kalangan sahabat Baginda yang dijadikan qudwah pasti kita akan mendapat petunjuk. Lihatlah bagaimana para sahabah yang keluar ke medan Badar di bulan Ramadhan, walaupun menyedari bilangan mereka sedikit, persenjataan mereka tidak cukup serta keluar dalam keadaan lemah dan letih kerana menjalani ibadah puasa buat kali pertama, namu kerana mata hari yang cerah dan jernih serta tidak terikat dengan belenggu nafsu menjadikan mereka yakin dengan kemenangan dan pertolongan Allah. Lalu Allah membuktikan penjagaanNya serta pemeliharaanNya kepada hamba-hambaNya yang muttaqin.
BIJAK AMBIL PELUANG
Pakar-pakar motivasi mengatakan bahawa orang yang bijak adalah orang yang pandai mencari dan mengambil peluang. Mengintai segala peluang yang ada serta segera memanfaatkannya untuk Berjaya dalam hidup adalah sesuatu yang sangat digalakkan. Ramai yang telah berjaya dan menjadi kaya raya dengan kaedah ini. Yang paling bijak adalah Yahudi seluruh dunia. Dicelah-celah kelemahan umat Islam serta hancurnya kesatuan ummah ini, mereka segera mengambil peluang untuk memperkukuhkan negara haram mereka. Amerika pula mengambil peluang dari peristiwa letupan WTC untuk memerangi Islam atas nama ‘Perang Terhadap Keganasan’.
Saya kira, tidak ada kebodohan yang paling menyedihkan selain dari tidak mengambil peluang dengan kurniaan Ramadhan dari Allah yang Amat Pengasih dan Penyayang. Bak kata Ustaz Hasrizal Jamil, pasaraya sedang mengadakan jualan beli 1 barang dapat free 10 barang, kita duduk di rumah buat tak tahu, pekakkan telinga serta butakan mata, tiada perasaan dan ‘mati pucuk iman’.
INGAT MATI ~ SUMBER MOTIVASI IBADAH DAN PERJUANGAN
Imam Qurthubi menyebut dalam Tazkirahnya bahawa Ad Daqqaq rahimahullah telah menyebutkan 3 faedah mengingati mati. Pertama ; lekas bertaubat. Kedua; qana’ah dalam kehidupan dunia. Ketiga; bersemangat dalam ibadah.
Imam Qurthubi juga mengingatkan bahawa melupai mati itu adalah musibah yang terlebih besar dari kematian itu sendiri. Manusia melupakan mati dengan tidak mengingati mati walau sedikitpun, tidak pernah memikirkan kematian serta tidak beramal untuk berhadapan dengan saat kematiannya.
Jika kita selalu ingat mati dan merenung kematian yang kita bakal hadapi, nescaya ia akan menjadi motivasi terbaik dalam melakukan ‘pecutan’ dalam ibadah serta perjuangan. Mujahadah dalam ibadah akan menjadi bekalan paling penting ketika mati. Segala ujian, fitnah, mehnah, caci maki serta celaan manusia di sepanjang liku-liku perjalanan jihad serta perjuangan turut akan menjadi bekalan selepas mati. Semakin besar ujian dalam perjuangan , semakin besar janji pahalanya di sisi Allah SWT.
Sangat sedikit yang bersyukur. Sangat sedikit yang memahami. Sayang seribu kali sayang !
No comments:
Post a Comment