Friday, February 12, 2010

Memahami Fitnah (Cabaran) Dalam Dakwah & Jamaah (2)


Oleh : Al Fadhil Ustaz Mohd Hazmi Dibok

2. Penimbul fitnah (perpecahan) dalam jamaah seringkali menggunakan alasan yang indah untuk menjustifikasi tindakan

Sikap menjustifikasikan tindakan sumbang dengan alasan yang indah (cth : kerana sayangkan jamaah) ini adalah merupakan syiar golongan kafir yang menjangkiti penimbul fitnah dalam jamaah Islam.

"Kemudian ada pemimpin yang dituduh tidak memahami permainan politik. Qiaskan apa yang berlaku sekarang dengan apa yang telah berlaku dahulu. Al-Quran telah memberi amaran kepada kita daripada terlibat dengan tuduhan-tuduhan tersebut kerana ia merupakan syiar golongan kafir. Firaun (dan menteri-menterinya) telah berkata tentang Nabi Musa a.s ;

{dan Firaun berkata ; Biarkan aku membunuh Musa dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya kerana aku bimbang dia akan menukar agama kamu atau dia akan menimbulkan kerosakan di muka bumi} - Surah Al-Ghafir ayat 26

{Dan berkata pula ketua-ketua dari kaum Firaun ; Adakah kamu (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir)} - Surah Al-A'raf ayat 127

Bukankah inilah perkataan yang turut digunakan oleh setiap thagut yang melakukan kerosakan di atas muka bumi dan mendakwa yang yang mereka melakukan pembaikan? Bukankah ia merupakan perkataan batil yang hodoh dan digunakan bagi berhadapan dengan kebenaran yang indah? Bukankah ia juga perkataan yang digunakan oleh si penjahat bagi membangkitkan keraguan dan syak wasangka di sisi seorang yang beriman lagi tenang? Logik yang digunakan adalah sama. Ia berulang ketika bertembung di antara kebenaran dan kebatilan, iman dan kufur, kebaikan dan keburukan di sepanjang zaman dan setiap tempat. Kisah ini sentiasa berulang dari masa ke semasa" [Fi Zilal Al-Qur'an, 5/3078]

Oleh itu para daie hendaklah sentiasa berwaspada daripada menyerupai golongan kafir, iaitu dengan mengadakan alasan ;

- bahawa fitnah yang digembar-gemburkan bertujuan untuk membaiki,

- bahawa mereka keluar dari jamaah demi melakukan pembetulan,

- bahawa bisikan yang dilakukan di kalangan mereka bertujuan untuk berbincang (wacana),

- bahawa umpatan yang dilakukan bertujuan untuk mewujudkan suasana dialog,

- bahawa percanggahan dengan pemimpin atas alasan kebenaran bukannya satu,

- bahawa ketidak tegasan (dengan Islam-pen) dengan hujjah untuk mendapatkan sokongan,

- bahawa tidak taat kepada dakwah atas alasan mempermudahkan (dinamik)

- bahawa mengkritik golongan yang membawa kebaikan dengan alasan (kebaikan) itu subjektif,

- bahawa meninggalkan dasar-dasar syarak dengan hujjah maslahah,........

Tetapi, kerosakan adalah tetap kerosakan, tidak boleh diubah oleh ibarat dan lafaz yang digunakan untuk menggambarkannya. Tetap teguh di atas manhaj adalah lebih utama daripada mendapat sokongan yang cepat. Kesatuan jamaah adalah daripada lebih utamamendapat sokongan di dalam satu-satu situasi. Kemaslahatan umum mengatasi kepentingan individu.


* Petikan dari buku Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah - Muhammad Ahmad Ar-Rashid m.s. 55-57

1 comment:

Muhammad said...

Assalamu ala man ittaba'a' al-huda

Salam dakwah, Al-Hamdulillah, banyak ilmu dan maklumat dalam blog ini. Semoga kita semua mendapat keredhaan Allah swt jua, amin.

Setiap sesuatu yang ujud di dunia ini merupakan ujian dari Allah swt, dan setiap sesuatu itu ada hikmahnya.

Terpulanglah bagi kita untuk belajar mengatasinya dengan Ilmu-ilmu yang Allah swt berikan dari al-Qur'an dan juga Hadis serta pandangan ulama-ulama.

Apa-apapun dengan rendah hati, saya telah follow blog saudara ini, dan dengan rendah hati jua saya menjemput dan mempelawa saudara serta pengunjung-pengunjung saudara mengunjungi dan follow bolg saya di:

http://surah-al-kahfi.blogspot.com/

dan

http://rahsia-rahsiabesardalamal-quran.blogspot.com/

Semoga ada manfaatnya. Terima kasih