Segala puji bagi Allah Rabbul ‘Alamien, Segala puja dan puji buat Rasulullah Muhammad ibn Abdillah,ahli keluarga Baginda dan para Sahabat serta Tabi’in. Wa Ba’du ;
Menurut bahasa, hayaa’ bererti “rasa malu”. Adapun menurut istilah, al Junaid rahimahullah berkata, “Kerana melihat berbagai macam kurnia dan melihat keterbatasan diri maka di antara keduanya muncul suatu keadaan yang disebut rasa malu.” Pada hakikatnya, hayaa’ adalah akhlak yang mendorong untuk meninggalkan keburukan dan mencegah pengabaian terhadap memenuhi hak-hak Allah SWT.
Di dalam Sahih Imam al Bukhari disebutkan dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW pernah melewati seseorang yang sedang menasihati saudaranya tentang rasa malu, Rasulullah SAW berkata kepada orang tersebut, “Biarkan sahaja dia, kerana rasa malu itu sebahagian dari iman.”
Rasulullah SAW juga bersabda , “Rasa malu tidak mendatangkan kecuali kebaikan”. (al Bukhari & Muslim)
Baginda SAW juga bersabda , “Iman itu ada tujuh puluh atau enam puluh cabang lebih. Yang paling utama adalah perkataan “Laailaha Ilallah”, dan yang paling rendah ialah menyingkirkan gangguan dari jalan, dan rasa malu itu cabang dari iman.” ( al Bukhari & Muslim)
Sabda Baginda SAW lagi ,
“Sesungguhnya di antara perkataan Nubuwwah pertama yang diketahui manusia adalah jika engkau tidak malu maka berbuatlah sesukamu.” (al Bukhari)
Di dalam hadis Qudsi disebutkan bahawa Allah SWT berfirman, “HambaKu benar-benar tidak adil terhadapKu, dia berdoa kepadaKu dan Aku malu untuk tidak mengkabulkannya, namun ketika dia derhaka kepadaKu, dia tidak malu kepadaKu.”
Ada sepuluh macama rasa malu :
Pertama ; Rasa malu kerana berbuat salah, seperti rasa malu Nabi Adam ‘alaihissalam yang melarikan diri dari Allah saat di syurga. Ketika di Tanya oleh Allah SWT, “Kenapa kamu lari dariKu wahai Adam?” Adam lalu menjawab, “Tidak wahai Tuhanku, tapi kerana malu terhadap Engkau “ (atas kesalahan yang dilakukan).
Rasa malu inilah yang mendorong kita bertaubat dan beristighfar kepada Allah dan semakin menekuni ibadah dan taat demi meraih semula rahmat Allah SWT. Rasa malu seperti ini juga menjauhkan diri kita dari sombong dan takabbur kerana hakikatnya kita tidak sunyi dari kesalahan dan dosa. Namun sebaik-baik hamba yang berdosa adalah yang bertaubat serta mengakui kesalahan. Imam al Faqih Abi Laith as Samarqandi meriwayatkan bahawa antara sebab Iblis terlempar dari syurga adalah kerana enggan mengakui kesalahannya.
Bersambung….
No comments:
Post a Comment