Monday, July 7, 2008

Matlamat Tidak Halalkan Cara






Salam Perjuangan,

Semalam saya menerima panggilan dari seorang sahabat ‘melaporkan’ tragedi dan insiden yang berlaku di Himpunan Sejuta Rakyat anjuran PROTES. Sebenarnya saya mengikuti perkembangan hari demi hari program hebat ini. Bertanya kepada sahabat-sahabat yang secara langsung terlibat dengan program ini, Dewan Pemuda PAS Pusat terutamanya. Beberapa hari sebelum berlangsungnya himpunan ini, saya telah dikejutkan dengan pendedahan Ustaz Hj Nasrudin Hassan Tantawi dalam blognya berkenaan wujudnya beberapa acara songsang akhlak dan syara’ di dalam program tersebut. Saya juga menghubungi Tantawi untuk maklumat lanjut dan saya dimaklumkan bahawa PROTES telah bersetuju menggugurkan acara-acara songsang tersebut.

Kali terakhir saya bertemu dengan Tantawi ialah pada 5 Julai 2008 (Sabtu) di rumah seorang sahabat di Subang Jaya. Sempat juga saya bertanya khabar tentang program ini dan berbincang mengenainya. Sekali lagi saya dimaklumkan bahawa Dewan Pemuda PAS Pusat mendapat jaminan bahawa acara songsang akhlak dan syarak seperti yang berlaku jua akhirnya semalam sama sekali tidak akan berlaku. Sila lihat petikan berita di bawah :

KUALA LUMPUR 6 Julai _ Perhimpunan `protes sejuta rakyat-protes sampai turun' yang mencetuskan insiden memalukan apabila seorang penyanyi jemputan bertindak liar membuka seluar di hadapan pengunjung yang hadir tatkala waktu solat maghrib sudah hampir. (illustrasi - malaysiakini)
Insiden itu seterusnya membawa kepada pergaduhan antara hadirin apabila mereka cuba menyerbu ke arah penyanyi dan rakan-rakan kumpulannya gara-gara tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku.
Penyanyi berkenaan sedang membawa lagu bertajuk Jilat itu bertindak membuka seluarnya dan membelakangkan dirinya ke arah hadirin sambil menjerit jilat berkali-kali.
Penyanyi berkenaan kemudiannya dibelasah oleh segelintir hadirin walaupun pekara itu cuba disembunyikan oleh pihak penganjur.
Penyanyi sekitar seusia awal 20 tahun itu merupakan penyanyi utama kumpulan Karburetor Dung yang ditampilkan oleh pihak penganjur sebagai selingan antara ucapan.

Saya tertanya-tanya dan agak bingung dengan apa yang telah mewarnai persada perjuangan PAS mutakhir ini. Bagi saya, semua ini telah mencemarkan kesucian perjuangan murni ini. Lebih mengecewakan saya ialah Dr Hatta Ramli yang mewakili PAS dalam PROTES (jika disahkan), sikap tidak bersungguh-sungguh dalam memantau perjalanan program ini adalah sangat mengecewakan. Berhimpunnya rakyat semalam adalah untuk membantah dan bersatu hati memprotes kenaikan harga minyak yang membebankan, bukannya untuk berseronok apatah lagi untuk dihidangkan dengan ‘pungkoq’ (dengan maaf) penyanyi gila-gila yang dijemput untuk ‘menghiburkan’ penonton. Dengan alasan apakah semua perbuatan haram ini boleh dihalalkan. Mereka yang mengikuti perjalanan tarbiyah PAS yang ‘tulen’ takkan sama sekali bersekongkol dengan kemungkaran durjana ini.

Himpunan BERSIH yang lalu bagi saya telah mendapat keberkatan dari Allah SWT. Allah telah menggerakkan 200,000 rakyat dari pelbagai latar belakang dan agama untuk sama-sama juga berhimpun dan bersatu hati melaksanakan satu agenda yang sama. Mereka tetap datang walaupun tidak ada hiburan. Dan mereka sanggup datang walaupun mereka tahu risikonya. Hairan saya dengan orang yang berani pada awalnya tapi menjadi pengecut pada akhirnya.

PROTES telah mungkir janji dengan Dewan Pemuda PAS Pusat. Apa lagi yang diharapkan dari orang yang tidak berpegang dengan janji. Matlamat suci perjuangan takkan boleh dicapai dengan cara yang diharamkan oleh syara’. Kita khuatir kalau selama ini kta mengatakan bahawa UMNO telah ‘mentongsampahkan’ syariat Allah dan hukumNya, maka pada saat ini kita juga berbuat perkara yang sama.

Apa kalau tiada persembahan songsang seperti semalam dalam Himpunan PROTES tidak akan ada yang datang? Kita mahu menggerakkan kesedaran rakyat dengan perjuangan kita. Kita mahu menghidupkan dhamir dan jiwa mereka agar membenci kezaliman dan kemungkaran. Kita mahu suburkan jiwa mereka dengan nilai-nilai kebaikan. Bukannya kita yang mengikut rentak mereka sehingga matlamat menghalalkan cara.

Saya juga tahu bahawa bila perkara ini dibangkitkan di dalam Muktamar PAS Pusat Ogos nanti, pimpinan PAS (Dr Hatta terutamanya) akan berhempas pulas memberikan jawapan yang boleh diterima ahli (jangan sampai berbohong) dan jawapan itu akan diberikan di hujung muktamar tanpa ada peluang lagi untuk pertanyaan semula. Tetapi saya ingin ingatkan semua, jangan lupa untuk menyediakan jawapan di hadapan Allah SWT di mahsyar kelak. Hishamudin Rais takkan dapat menolong kamu dengan free thinker nya. Jika perjuangan yang suci ini kamu khianati, apa lagi yang akan dapat mensyafaatkan kamu di hari akhirat??.

Sunday, July 6, 2008

Selamat Datang Bulan AhlulLah


Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar.Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.


Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.


Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”


Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.


Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.
Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)


Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.


Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”


Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”


Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.


Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.Dalil yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.


Sempena Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?
Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.


Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.

Saturday, July 5, 2008

Dadah Haram.... ARAK ??




Salam Perjuangan Sahabat Sekalian...




Saya menunaikan solat jumaat Masjid Al Mardhiyah Taman Melawati KL. Kebetulan saya diminta untuk menyampaikan tazkirah sebelum masuk waktu solat Jumaat. Dalam tazkirah tersebut saya menyentuh beberapa perkara. Antaranya;

Pertama; Asas kehidupan seorang mukmin adalah Taqwa pada Allah SWT. Kerana itulah setiap hari Jumaat akan berkumandang pesanan supaya kita sekalian bertaqwa dari atas mimbar Jumaat. Di seluruh dunia Islam, di segala ceruk rantau , pesanan supaya bertaqwa ini akan berkumandang setiap jumaat dan senantiasa diulang tanpa rasa jemu. Syara’ pula menjadikan tausiyah supaya bertaqwa ini sebagai salah satu rukun khutbah yang tidak sah khutbah tanpanya. Dengan taqwa (buat yang Allah suruh, tinggal yang Allah tegah) manusia akan berjaya di dunia dan selamat di akhirat. Pekerjaan dunia mendapat berkat, hidup di akhirat mendapat redha dan rahmat. Dengan taqwa setiap permasalahan dunia akan ditunjukkan jalan keluar oleh Allah. Dengan taqwa setiap muslim ada kemampuan untuk menentukan benar dan salah. Dengan taqwa manusia akan diselamatkan ketika meniti titian sirath.

Kedua ; Betapa perlunya seorang Muslim mengikat diri dengan ajaran Islam. Keterikatan dengan setiap inci ajaran Islam adalah syarat menjadi mukmin yang sebenar. Sesungguhnya dustalah dakwaan orang yang mengaku Muslim tetapi tidak melaksanakan tuntutan agama Allah SWT. Ramai pula di zaman ini yang mengaku Islam tetapi langsung tidak mengikat diri dengan ajaran Islam. Inilah munafiq di zaman ini.

Ketiga ; Merasa mulia dengan Islam adalah kemuncak daripada penghayatan ajaran Islam. Dan rasa mulia dengan Islam itu adalah natijah daripada kemanisan Iman yang dirasai di dalam diri setiap Mukmin. Betapa ramai yang diberikan nikmat Islam sejak kecil tetapi malangnya ia tidak merasa manisnya Islam dan Iman di dalam jiwanya.

DADAH HARAM….ARAK?

Khutbah yang dibacakan khatib Jumaat juga amat menarik perhatian saya. Isinya amat mantap, tepat dan padat. Khutbah menyentuh isu najis dadah. Isi khutbah menyebut bahawa pengharaman dadah adalah kerana ianya memabukkan dan memudharatkan. Pengharamannya diqiyaskan dengan arak. Kita semua maklum bahawa arak adalah di antara perkara yang diharamkan oleh Syariat Islam secara terang-terangan. Nasnya adalah tegas dan bersifat qathi’e.

Yang amat menghairankan saya ialah, betapa tegasnya kerajaan kita dalam menangani masalah dadah sehingga mimbar khutbah seluruh negara digunakan untuk memerangi najis dadah sedangkan arak yang terlebih dahulu wajib diharamkan tidak pula diharamkan. Sepatutnya pengharaman arak juga perlu dilaksanakan. Arak dijual secara terang-terangan di sebuah negara yang mengaku negara Islam. Tak cukup dengan itu, diistiharkan pula Islam Hadhari. Inilah yang dikatakan sesat dan mengelirukan. Inilah fitnah yang sebenar dan lebih merbahaya !!.

Islam membenarkan arak dijual kepada non Muslim. Tetapi di tempat yang terkawal dan tidak di kawasan penduduk majoritinya adalah Muslim. Di Langkawai, arak lebih murah dari mineral water. Dijual pula dengan terang dan jelas seperti dijual teh tarik.Untuk penerangan lebih lanjut sila baca artikel sahabat saya Ustaz Wan Ji dalam blognya
al-bakistani.blogspot.com.

Banyak sungguh kepelikan di akhir zaman. Sehingga mengelirukan. Yang berbohong pula, melakukan pembohongan hingga tidak dipercayai orang.



Friday, July 4, 2008

PAS Tidak Akan Gadai Prinsipnya


Oleh ROSLAN SMS


Nampaknya konsert yang membariskan ratu rock Ella dan artis dangdut Mas Idayu akan diteruskan juga Ahad ini di Stadium Shah Alam sempena kejohanan bolasepak persahabatan Piala Sultan antara Selangor dan Singapura. Kerajaan negeri yang sepatutnya mengaturkan pertemuan antara Pemuda PAS Selangor (yang menghantar memorandum bantahan) dengan pihak istana berkenaan isu ini rupanya sehingga hari ini gagal mengaturkan pertemuan tersebut.


Menurut kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi: Kami bersedia untuk merafak sembah Tuanku Sultan bagi memberi pandangan dan menjelaskan keadaan sebenar, tetapi tidak diuruskan oleh pihak kerajaan Negeri.


Sebagai jalan terakhir beliau telah mengarahkan semua Pemuda PAS Kawasan dan Negeri supaya menunaikan solat Hajat selama dua malam supaya Allah menghindarkan bala atau kemurkaan terhadap seluruh rakyat negeri Selangor.


Adalah difahamkan Pemuda PAS tidak akan berdemo pada hari berkenaan sebaliknya akan hadir mengedarkan risalah bagi menyedarkan anak-anak muda yang hadir di Stadium Shah Alam bermula petang Ahad, 6 Julai ini.


Saya secara peribadi mahu mengucapkan syabas kepada Pemuda PAS Selangor kerana konsisten di dalam kerja-kerja amar makruf nahi mungkar mereka. Walaupun kita parti politik tetapi hakikatnya kita sebuah jemaah dan gerakan Islam, prinsip perjuangan tidak boleh sekali-kali digadaikan dalam apa siatuasi sekalipun, samada dalam keadaan senang mahupun susah. Saya mengharapkan selepas ini PAS Selangor mengemukakan cadangan yang menggariskan perkara-perkara yang PAS rasakan perlu diterima pakai dan dilaksana oleh kerajaan negeri khasnya yang membabitkan masyarakat Islam di Selangor.


Benar kita bukan dominan di Selangor, tetapi pakatan bersama antara PAS, PKR dan DAP lah yang menyokong penubuhan kerajaan negeri ini. Oleh itu pandangan dan sikap PAS perlu juga dihormati dan diraikan khasnya yang berkenaan dan berkaitan urusan umat Islam.


PAS adalah parti yang berpegang teguh pada prinsipnya kerana matlamat perjuangannya jelas digariskan dalam perlembagaannya. Tiada siapa berhak mengarahkan PAS diam dan senyap dalam perkara-perkara pokok hatta Presidennya sekalipun (dan saya tahu Presiden tidak pernah begitu), apa yang ditunjukkan oleh Pemuda PAS Selangor dalam kes ini adalah satu contoh sikap PAS yang jelas dan tegas. Kita boleh kendur dan berunding dalam perkara-perkara cabang dan yang dibenarkan, tetapi atas bab prinsip, as syahid Ibrahim Libya adalah contohnya...........

Fitnah Bermaharajalela - PM Msia



Antara ucapan Nabi SAW di waktu pagi ialah ;

اللهم إنى أصبحت منك فى نعمة وعافية وستر فأتمم نعمتك على فى الدنيا والآخرة

“ Ya Allah,sesungguhnya aku berpagi-pagi daripadaMu dalam nikmatMu dan keselamatan dariMu dan perlindungan dariMu , maka sempurnakanlah nikmatMu atasku di dunia dan di akhirat.”

Allah SWT sahajalah mampu memberikan kita keselamatan dan perlindungan serta segala nikmat zahir batin hanya mampu diberikan oleh Allah SWT. Namun segala yang kita pohon di atas hendaklah berlaku di dunia dan di akhirat. Tidak akan sempurna jika berlaku di dunia sahaja tanpa berlaku di akhirat.

PM Malaysia dalam Utusan Malaysia hari ini telah menyatakan kebimbangan beliau terhadap fitnah yang semakin bermaharajalela. Berikut petikan kenyataan beliau ;

KUALA LUMPUR 3 Julai - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, terlalu banyak fitnah ditaburkan ketika ini sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat malah ia merupakan yang terburuk sepanjang 30 tahun beliau terlibat dalam politik.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya jangan panik dan kelam-kabut ekoran pelbagai perkembangan politik kebelakangan ini kerana negara masih berada dalam keadaan yang terkawal.
‘‘Saya dalam politik sudah 30 tahun, tidak pernah tengok benda (fitnah) macam ini. Hari-hari ada cerita mahu orang berasa susah, cerita nak bagi orang takut, bimbang dan kurang yakin,” katanya.

Saya berdoa agar Allah selamatkan kita dari fitnah dunia dan akhirat sebagaimana yang ditunjukkan dalam doa Nabi SAW di atas.

Fitnah yang dapat difahami di atas ialah tuduhan atau ucapan yang tidak berasas yang dilemparkan kepada seseorang atau dalam sesuatu isu. Dalam Al Quran dan Al Hadith, istilah fitnah dapat difahami dengan banyak makna. Antaranya fitnah dengan makna ujian Allah, fitnah dengan makna pelanggaran terhadap hukum Allah dan fitnah dengan makna kekeliruan terhadap agama.

Dalam sebuah hadith riwayat Imam at Tirmizi Rasulullah SAW bersabda ;

“Bersegeralah kamu kepada amal soleh kerana akan pasti berlaku ‘fitnah’ atas agamamu sebagaimana gelapnya malam. Sehingga seorang lelaki di kalangan kamu bangun pagi dalam keadaan beriman dan petangnya kembali kufur pada Allah. Dan berpetang seorang lelaki di kalangan kamu dalam keadaan beriman lalu berpagi pada keesokannya dalam keadaan kafir. Yang demikian itu adalah kerana mereka menjual agamanya dengan harga yang sedikit.”

Kesimpulannya, fitnah yang berlaku terhadap aqidah dan agama adalah terlebih dahsyat dari fitnah yang disebut PM di atas. Tidak semestinya apa yang tersebar luas dalam negara kita di saat ini adalah perkara yang tidak betul. Masing-masing mengemukakan bukti. Tak nak percaya, macam betul-betul berlaku. Inilah bahananya bila hukum dan peraturan Islam ‘ditong sampahkan’. Tersebarnya fitnah, timbulnya kegelisahan dan tercabutnya keamanan dan ketenangan dari jiwa manusia adalah di antara kesan terhadap pengabaian syariat Allah SWT.

Kemuncak terhadap sebarang bentuk fitnah yang berlaku ialah timbulnya kekeliruan dalam memahami agama. Sehingga diibaratkan oleh Nabi SAW dalam hadith di atas seperti kegelapan malam. Sukarnya membezakan yang benar dan salah. Payahnya untuk menentukan mana satu ISLAM TULEN mana satu ISLAM SOLEKAN. Sehingga berlaku fenomena dahsyat yang diingatkan oleh Nabi SAW ; gejala kegelinciran dari landasan aqidah yang sohih dan berleluasanya kekufuran terhadap Allah SWT.

Kalau fitnah itu diibaratkan seperti kegelapan malam, maka sudah tentu keselamatan dan keamanan darinya adalah memiliki lampu penyuluh agar dapat berjalan di dalam kegelapan ini dengan selamat. Maka sudah barang tentu lampu suluh yang dimaksudkan ialah AL QURAN & AS SUNNAH. Atau ada yang lain selain keduanya??

Betulkah Dato Rahman Palil??


Sedang saya membelek Utusan Malaysia Online petang tadi sebelum ‘berlepas’ ke Markaz Tarbiyyah Kg Kubu Gajah,Sg Buloh untuk Kuliah Kitab Apa Ertinya Saya Menganut Islam, mata saya tertarik kepada berita terkini dari BERNAMA iaitu, 100 NGO hantar memorandum kepada Tuanku Sultan Selangor. Saya terus klik dan dapati bahawa cerita sebenarnya adalah Dato Rahman Palil (bekas Exco Agama Selangor Kerajaan BN) ketuai 100 NGO hantar memorandum minta Sultan Selangor ambil tindakan sebagai Ketua Agama Negeri terhadap kerajaan yang memerintah sekarang kerana biarkan masjid-masjid dipolitikkan. Masjid dipenuhi ustaz-ustaz dan penceramah tiada tauliah.

Inilah perangai orang yang tidak faham Islam, menjadi alat musuh Islam dan diperalatkan untuk menyekat perkembangan agama.

Rasulullah SAW dalam usaha dakwah Baginda selama 23 tahun tidak hanya menekankan persoalan aqidah , ibadah, kekeluargaan (nikah kahwin dan sebagainya) sahaja tetapi juga menekankan hal ehwal politik dan pemerintahan negara.

Dalam pengertian yang lain dapat dikatakan bahawa Rasulullah SAW bekan sekadar mengajar umatnya bagaimana beraqidah dengan benar,beribadah dan membina keluarga muslim tetapi juga mengajar mereka berkenaan dengan politik dan pemerintahan secara Islam. Baginda bukan hanya meninggalkan kepada umatnya sunnah-sunnah tentang ibadah dan hal ehwal kekeluargaan, tetapi juga sunnah-sunnah tentang politik dan pemerintahan negara.

Baginda Rasulullah SAW merupakan ketua pemerintah, pentadbir dan pelaksana bagi Kerajaan Islam yang pertama di Madinah. Pada masa yang sama ketua bagi institusi kehakiman Islam. Sebagai ketua pemerintah, Rasulullah SAW telah bertindak melaksanakan cita-cita politik Islam di bumi Madinah iaitu menegakkan sebuah kerajaan atau pemerintahan yang mendaulatkan agama Allah dan menjalankan undang-undang Islam. Antara isi perlembagaan Madinah yang digubal oleh Baginda ialah :

“ Bahawa apa jua peristiwa arau perbalahan yang ditakuti keburukannya yang berlaku di kalangan ahli sahifah ini maka tempat rujukannya ialah Allah dan Rasulullah SAW”

Inilah cita-cita politik Islam yang amat juah berbeza dengan politik sekular. Maka ia wajib diterangkan kepada masyarakat agar difahami kepentingannya. Maka di manakah tenpat yang lebih sesuai untuk penerangan ini melainkan Masjid?

Rasulullah SAW sendiri berpolitik di dalam masjid. Menguruskan negara di dalam masjid. Masjid menjadi pejabat urusan dan pentadbiran negara. Masjid adalah sumber hidayah dan nur yang menerangi seluruh alam. Nur inilah yang cuba disekat dan dihalang oleh musuh-musuh Islam dan anak-anak murid mereka sepanjang zaman.

Rasulullah SAW bersabda : “ Akan datang ke atas umatku suatu zaman,yang di kala itu Islam hanya tinggal pada namanya sahaja, Al Quran hanya tinggal tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka hebat namun kosong dari hidayah Allah SWT….”


Mengupas persoalan politik dalam masjid adalah kewajipan para ulama’ di zaman ini, supaya umat tidak silap membuat pilihan. Melantik pemimpin yang tidak mahu melaksanakan kandungan KitabulLah dan menyuburkan Sunnah Rasulillah SAW. Nabi mengumpamakan orang yang diam dari menerangkan kebenaran adalah ibarat yaitan bisu. Adalah lebih berat lagi yang bercakap mendokong kebatilan.

Pemerintah hari ini sudah melampaui batas yang telah ditetapkan Allah SWT. Menjadi tanggungjawab umat membetulkan dengan kaedah yang dibenarkan. Antaranya memberi penerangan kepada umat agar kebatilan perintah tidak dituruti dan wajib disanggah dengan kaedah undi dalam pilihanraya. Mufti Perlis amat bersetuju dengan saya dalam hal ini. Bahkan dalam tulisan beliau yang diedarkan dalam masa PRU ke 12 baru-baru ini beliau dengan jelas memfatwakan haram mengundi pemimpin yang zalim yang tidak melaksanakan hukum Allah. Mufti Perlis juga menyarankan agar mesti memilih pemimpin yang mahu menjalankan hukum Allah. Nah, kalau begitu adakah tindakan Rahman Palil di atas merupakan tindakan yang tepat?

Thursday, July 3, 2008

Brek Dalam Kehidupan...


Saya amat meminati tazkirah yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kerana isinya yang tepat dan padat. Walaupun dalam nada suara yang lemah lembut tapi amat menyentuh hatu nurani. Yang palin istimewa ialah kiasan-kiasan yang digunakan oleh TGNA dalam ucapan beliau. Bahasa kiasan yang beliau gunakan amat indah sekali dan memudahkan kefahaman terhadap isu yang dibincangkan.

Antara ciri-ciri khas ucapan TGNA adalah sering kedengaran beliau menyebut soal mati,akhirat, mahsyar, mizan, sirath , syafaat dan lain-lain lagi. Pada saya,seolah-olah tazkirah tentang zikrul maut ini menjadi ‘rukun’ ucapan TGNA.

Saya pernah membaca satu tulisan TGNA tentang pentingnya zikrul maut. Beliau menyebut bahawa ;

“Seorang pemandu kenderaan yang cermat pasti menjaga ciri-ciri keselamatan, bukan sekadar memandu dengan berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya, malah dia juga tidak lupa meneliti kenderaan sebelum memandunya. Sekalipun enjin dalam keadaan baik, namun mereka belum boleh berpuas hati sebelum meneliti lain-lain peralatan penting. Di antara perkara utama ialah mempastikan samada brek dalam keadaan baik, kerana brek merupakan perkara utama untuk menjaim keselamatan di jalan raya.

Begitulah juga dalam kehidupan manusia memerlukan ciri-ciri keselamatan, bagi menjamin keselamatan hidup manusia di dunia dan terutamanya ialah keselamatan di akhirat. Seperti kenderaan tadi, manusia juga selain dari tidak lalai dan sentiasa waspada dalam mengharungi liku-liku hidup yang penuh pancaroba, dia juga mesti mempunyai brek bagi mempastikan dirinya tidak terbabas sehingga melampaui batas Allah SWT. Maka brek dalam kehidupan kita adalah ingat mati. Bila kita selalu ingat mati maka kita akan ‘tekan brek’ di hadapan maksiat dan perkara yang Allah larang”

Dunia hari ini mewah dengan maksiat dan dosa serta jenayah yang berlaku di kalangan manusia termasuk di kalangan muslimin. Baru-baru ini PDRM mengeluarkan kenyataan bahawa 8 kes rogol berlaku dalam sehari di Malaysia.Semua ini kerana rosaknya iman di dalam jiwa manusia.

Bila kita mengingati mati, kita akan sentiasa memelihara diri dari kemurkaan Allah SWT. Pemimpin akan beramanah, rakyat akan berakhlak dengan baik, orang miskin akan redha dengan kemiskinannya dan mahu mengambil pahala sabar. Masing-masing akan berhati-hati dengan ucapan dan tindakan kerana semuanya sedar bahawa mereka akan bertanggungjawab di hadapan Qadhi Rabbil Jalil.

Wednesday, July 2, 2008

Makan Malam Dana PASTI Perlis


Dua sahabat....dunia akhirat insya Allah..



Yang tengah tu Cikgu Zairi Pengarah PASTI Perlis...yang sebelah kanan tu Wartawan Harakah, Bashir (masih solo)


Sedang meninggalkan kenangan manis....





Hidangan istimewa...keli goreng Anjung Keli



Ustaz Nik Muhammad Abduh sedang menyampaikan ucapan...







Tuesday, July 1, 2008

Liwat Paksaan..?


Setiap kali menatap wajah dan mendengar ucapan Dato’ Seri Anuar Ibrahim maka saya kan teringat ucapan keramat beliau ; “Kalau takut dengan ujian , jangan bicara soal perjuangan”. Sememangnya ujian, mehnah, tribulasi, risiko yang tinggi adalah ‘sunnah’ orang berjuang. Soal siapa betul siapa salah dalam tuduhan liwat terbaru DSAI biarlah siasatan yang menentukan, namun ujian dan cubaan tetap asam garam perjuangan. Rasulullah SAW, ketika datang seorang pemuda membaiah Baginda, maka dipesankan kepada pemuda itu agar bersedia untuk menjadikan miskin dan kesusahan sebagai pakaian hidup orang yang beriman. Rasulullah SAW juga menyebut di dalam Hadith Baginda SAW ;

“Seorang mukmin itu akan berada di antara 5 ujian, mukmin yang hasad kepadanya, kafir yang akan membunuhnya, munafiq yang akan marah padanya, hawa nafsu yang akan sentiasa memerangkapnya dan syaitan yang akan menyesatkannya”

NUR AL QURAN

Sejak 1500 tahun yang lalu Al Quran telah menyebut soal ujian dan cubaan terutamanya bagi orang berjuang. Jalan perjuangan tidak pernah sunyi dari ujian. Firman Allah SWT ;

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, Pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa Sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” At Taubah : 42

Perjuangan ini sahabat sekalian, perjalanannya jauh, penuh kepayahan dan tiada jalan pintas dan singkat. Kerana onak duri perjuangan akan dinilai hebat di sisi Allah SWT dan menjadi kaffarah kepada dosa serta mengangkat darjat.

“Dan Sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu.” Muhammad : 31

Perjuangan ini akan menjadi medan kayu ukur sejauh mana keikhlasan kita dalam perjuangan dan sejauhmana kesabaran dan jihad kita dalam perjuangan ini.

Saya sendiri meremang bulu roma bila bercakap soal perjuangan. Kerana ujian Allah tidak mengenal siapa. Abid yang 60 tahun sujud rukuk pada Allah pun akhirnya tersungkur dengan ujian, apatah lagi kita yang kerdil.

BILA HUJJAH TIDAK DAPAT DIKALAHKAN DENGAN HUJJAH

Firman Allah SWT ;

“Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami bernasib malang Karena kamu, Sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), niscaya kami akan merajam kamu dan kamu pasti akan mendapat siksa yang pedih dari kami". Yaasin : 18

Al Quran telah menjelaskan dalam cerita Rasul yang telah diutuskan ke sebuah tempat bahawa apabila hujjah, dakwah dan seruan mereka tidak dapat dipatahkan oleh sasaran dakwah mereka maka akhirnya pasti kekerasan akan digunakan dalam segala bentuk dan versinya.

Kalaulah benar apa yang akan didedahkan oleh DSAI itu adalah tidak benar dan fitnah, mengapa takut?. Mengapa cuba menggunakan cara kotor dan tidak bermoral. Berdepanlah dengan hakikat kebenaran walaupun pahit. Inilah taktik kotor penguasa zalim sepanjang zaman dan di dalam setiap sejarah perjuangan yang dilakarkan.

Jangan takut dan risau, mereka yang ikhlas dan benar akan mendapat pertolongan Allah jua akhirnya dan jangan sekali-kali lupa, begitulah jua jika sebaliknya.

Saya sedang berfikir, bagaimana lelaki berusia 60 tahun menonggeng anak muda seusia 23 tahun untuk diliwat dalam keadaan PAKSA?


Taubat Yang Rosak


BismilLah,wal hamdulilLah, assolaatu wassalaamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah wa ba’du ;

Salam perjuangan sahabat sekalian,

Menjauhi dosa, tidak kira kecil atau besar adalah tanggungjawab setiap kita. Lebih-lebih lagi para mujahid dan pendakwah. Menjauhi dosa adalah sebab kepada nusratilLah (pertolongan Allah SWT). Dosa pula adalah sebab yang mendinding dan menjauhkan kita dari rahmah, maghfirah dan nusrah dari Allah SWT.

Yang menjadi permasalahannya ialah, banyak di antara kita yang diberi taufiq dan hidayah dari Allah SWT untuk bertaubat dan berinabah (kembali) kepada Allah, namun amat malangnya taubat kita tak mampu bertahan lama.Terkadang, setelah 10 tahun bertaubat, kita kembali membuat dosa. Lebih malang, pagi bertaubat, belum sempat segalah matahari naik, kita kembali berbuat dosa !.

ROSAKNYA TAUBAT

Pertama ; Lemahnya tekad.

Kelemahan tekad untuk terus berbuat taat adalah penyebab kepada rosaknya taubat. Kekuatan tekad pula datang dan bermula dari kekuatan jiwa dan hati. Hati yang terdidik dengan mujahadah, ikhlas, dan shidq (benar) dalam perbuatan dan perkataan adalah hati yang kental untuk terus tegak berdiri dengan kebaikan dan menjauhi maksiat dan dosa. Seorang yang bertaubat dari dosa tidak boleh sama sekali mengabaikan kefardhuan Allah. Mustahil air yang sangat dingin akan menghalangnya dari banguan berdiri di hadapan Allah ketika panggilan subuh berkumandang.

Firman Allah SWT :

“Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Ali Imran : 31

Kedua ; Kecenderungan hati dan kasih pada dosa

Inilah yang paling susah dan sulit. Kata Imam Al Ghazali, anak tangga halangan yang paling susah. Bila hati sudah sedap dan manis berbuat maksiat, maka sememangnya susah meninggalkannya. Orang yang sudah berpuluh tahun merokok, berbuih mulut kita beritahu dia mudharatnya merokok pun dia takkan dengar kerana sudah sedap dengan rokok. Begitulah dengan dosa, jika sudah manis terasa berbuat dosa sememangnya jika tidak berhati-hati dan berjaga-jaga dengan hasutan Iblis maka satu hari kita akan kembali berbuat dosa. Imam Al Ghazali mengajar kita supaya selalu mengingati di dalam hati ‘aqibah atau natijah bila ingin berbuat dosa. Bila kita sedar noktah akhir berbuat dosa adalah NERAKA , maka kita akan terhenti untuk melakukan maksiat. Timbul persoalan lain pula, bagaimana nak tanam keimanan dan ketakutan terhadap siksa Allah SWT??.

Ketiga ; Over confident.

Jangan terlalu yakin dengan diri sendiri. Nanti sedar tak sedar, terjerumus kembali ke dalam dosa dan maksiat. Selalu mohon pertolongan Allah untuk teguh dan thabat dengan taat.

“Dan orang Mesir yang membelinya Berkata kepada isterinya[748]: "Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita pungut dia sebagai anak." dan demikian pulalah kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir), dan agar kami ajarkan kepadanya ta'bir mimpi. dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.” Yusuf : 21

Allah dengan mudah mengubah keadaan NabiNya Yusuf. Siapa yang pernah menyangka? . Dibuang dalam telaga tapi dapat teruskan hidup. Dari hamba lalu merdeka. Dari penjara sehingga menjadi raja. Allah jua yang berkuasa.

Kita mohon pada Allah SWT agar ‘tuangkan’ kesabaran dalam hati kita untuk terus taat padaNya. Tanpa kasih sayang Allah pada kita, manakan boleh kita berdiri teguh melaksanakan ketaatan. Bersambung insya Allah….