Friday, July 4, 2008

Fitnah Bermaharajalela - PM Msia



Antara ucapan Nabi SAW di waktu pagi ialah ;

اللهم إنى أصبحت منك فى نعمة وعافية وستر فأتمم نعمتك على فى الدنيا والآخرة

“ Ya Allah,sesungguhnya aku berpagi-pagi daripadaMu dalam nikmatMu dan keselamatan dariMu dan perlindungan dariMu , maka sempurnakanlah nikmatMu atasku di dunia dan di akhirat.”

Allah SWT sahajalah mampu memberikan kita keselamatan dan perlindungan serta segala nikmat zahir batin hanya mampu diberikan oleh Allah SWT. Namun segala yang kita pohon di atas hendaklah berlaku di dunia dan di akhirat. Tidak akan sempurna jika berlaku di dunia sahaja tanpa berlaku di akhirat.

PM Malaysia dalam Utusan Malaysia hari ini telah menyatakan kebimbangan beliau terhadap fitnah yang semakin bermaharajalela. Berikut petikan kenyataan beliau ;

KUALA LUMPUR 3 Julai - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, terlalu banyak fitnah ditaburkan ketika ini sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat malah ia merupakan yang terburuk sepanjang 30 tahun beliau terlibat dalam politik.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya jangan panik dan kelam-kabut ekoran pelbagai perkembangan politik kebelakangan ini kerana negara masih berada dalam keadaan yang terkawal.
‘‘Saya dalam politik sudah 30 tahun, tidak pernah tengok benda (fitnah) macam ini. Hari-hari ada cerita mahu orang berasa susah, cerita nak bagi orang takut, bimbang dan kurang yakin,” katanya.

Saya berdoa agar Allah selamatkan kita dari fitnah dunia dan akhirat sebagaimana yang ditunjukkan dalam doa Nabi SAW di atas.

Fitnah yang dapat difahami di atas ialah tuduhan atau ucapan yang tidak berasas yang dilemparkan kepada seseorang atau dalam sesuatu isu. Dalam Al Quran dan Al Hadith, istilah fitnah dapat difahami dengan banyak makna. Antaranya fitnah dengan makna ujian Allah, fitnah dengan makna pelanggaran terhadap hukum Allah dan fitnah dengan makna kekeliruan terhadap agama.

Dalam sebuah hadith riwayat Imam at Tirmizi Rasulullah SAW bersabda ;

“Bersegeralah kamu kepada amal soleh kerana akan pasti berlaku ‘fitnah’ atas agamamu sebagaimana gelapnya malam. Sehingga seorang lelaki di kalangan kamu bangun pagi dalam keadaan beriman dan petangnya kembali kufur pada Allah. Dan berpetang seorang lelaki di kalangan kamu dalam keadaan beriman lalu berpagi pada keesokannya dalam keadaan kafir. Yang demikian itu adalah kerana mereka menjual agamanya dengan harga yang sedikit.”

Kesimpulannya, fitnah yang berlaku terhadap aqidah dan agama adalah terlebih dahsyat dari fitnah yang disebut PM di atas. Tidak semestinya apa yang tersebar luas dalam negara kita di saat ini adalah perkara yang tidak betul. Masing-masing mengemukakan bukti. Tak nak percaya, macam betul-betul berlaku. Inilah bahananya bila hukum dan peraturan Islam ‘ditong sampahkan’. Tersebarnya fitnah, timbulnya kegelisahan dan tercabutnya keamanan dan ketenangan dari jiwa manusia adalah di antara kesan terhadap pengabaian syariat Allah SWT.

Kemuncak terhadap sebarang bentuk fitnah yang berlaku ialah timbulnya kekeliruan dalam memahami agama. Sehingga diibaratkan oleh Nabi SAW dalam hadith di atas seperti kegelapan malam. Sukarnya membezakan yang benar dan salah. Payahnya untuk menentukan mana satu ISLAM TULEN mana satu ISLAM SOLEKAN. Sehingga berlaku fenomena dahsyat yang diingatkan oleh Nabi SAW ; gejala kegelinciran dari landasan aqidah yang sohih dan berleluasanya kekufuran terhadap Allah SWT.

Kalau fitnah itu diibaratkan seperti kegelapan malam, maka sudah tentu keselamatan dan keamanan darinya adalah memiliki lampu penyuluh agar dapat berjalan di dalam kegelapan ini dengan selamat. Maka sudah barang tentu lampu suluh yang dimaksudkan ialah AL QURAN & AS SUNNAH. Atau ada yang lain selain keduanya??

No comments: