Tuesday, July 15, 2008

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Perlis

Dewan Pemuda PAS Perlis (DPP Perlis) ingin mengalu-alukan dan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kenyataan yang dibuat oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS sebagaimana yang telah dimuatkan dalam Harakah keluaran 13-28 Rejab 1429/ 16-31 Julai 2008 dan dalam ceramahnya di Kedah baru-baru ini. Kami berdiri teguh di belakang kepimpinan beliau yang memberikan penegasan tentang pendirian PAS dalam menangani isu semasa yang wujud di negara ini sejak kebelakangan ini.Maka katanya, “wajib kepada kepimpinan PAS menyatakan hukum Islam, pendirian Islam, ajaran Islam dan bukannya memaksa orang kepada Islam. "Supaya orang bukan Islam tahu apa itu Islam dan supaya mereka tahu apa yang diamalkan oleh Umno itu bukan ajaran Islam. Saya minta supaya pimpinan PAS yang berada dalam Kerajaan Pakatan Rakyat menunjukkan sifat-sifat Islam, akhlak Islam, cara-cara Islam untuk menjadi contoh dan teladan.
Bahawa kita adalah pemimpin yang istiqamah, yang konsisten, yang adil dan baik. Insya-Allah kita akan sama-sama dapat memelihara kerajaan kita dan menambahkan kekuatan kita,". DPP Perlis amat prihatin dengan isu negara yang berlaku dan sentiasa memastikan agar ianya memberi kesan yang baik untuk Islam dan ummahnya. Pemuda Perlis juga berkeyakinan bahawa masyarakat Malaysia pada hari ini menaruh harapan yang tinggi kepada PAS untuk menerajui negara, bahkan telah ramai yang ingin melihat wujudnya Negara Islam atau negara berkebajikan yang sebenar yang memberi jaminan keamanan dan kesejahteraan kepada semua kaum dalam negara.Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS sememangnya menggambarkan bahawa perjuangan PAS adalah jelas iaitu menyeru manusia ke arah yang maaruf dan berusaha menjauhkan manusia dari kemungkaran dan kezaliman.
Semua ahli diajar bahawa Tahaluf Siyaasi adalah satu juzuk yang penting dalam politik Islam. Ia mesti diguna pakai oleh Jamaah Islam seperti PAS agar dasar yang diperjuangkan oleh PAS dapat dihayati dengan lebih dekat oleh rakan-rakan di dalam gagasan tahaluf siyaasi ini. Perlu diingatkan kepada seluruh ahli PAS bermula dari ahli biasa sehinggalah kepada Pimpinan atasan, tujuan penubuhan PAS seperti dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2001), “ BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesame manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA’RUF WAN NAHYU ‘ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan “ PARTI ISLAM SEMALAYSIA”.Selain itu, kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat adalah perlu difahami dalam konteksnya yang luas. Kerjasama yang dibuat oleh PAS amat jelas iaitu untuk menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran dan keadilan (Islam). Kerjasama dan pakatan yang boleh merealisasikan hasrat murni ini sudah pastinya akan terus dijulang oleh PAS. Begitu juga sebaliknya kalau pakatan yang merugikan Islam dan perjuangannya pasti akan ditolak.
PAS bukannya parti melukut di tepian yang boleh diletakkan di mana-mana atau dianggap seperti bola yang boleh ditendang kesana-kemari. Parti-parti lain yang turut mendukung cita-cita membentuk kerajaan baru di Malaysia pula perlu terlebih dahulu menjaga sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia. Isu-isu syiar agama yang menjadi tuntutan dan prinsip kepada orang yang beragama Islam perlu juga difahami tahap sensitivitinya. Wujudnya tuntutan untuk memperlahankan suara azan sebagai contohnya menunjukkan segelintir masyarakat masih tidak memahami urusan penting bagi umat Islam. Perkara ini sepatutnya difahami oleh semua kaum di Malaysia.
Justeru kami menegaskan semula sokongan kami dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Tuan Guru Presiden PAS.
USTAZ YA'KUB BIN ABU SEMAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PERLIS

No comments: