Monday, July 14, 2008

Sepahit Jadam


Alhamdulillah,walaupun masih setahun jagung saya menyertai sahabat-sahabat bloggers dalam dunia yang cukup luas ini, nampaknya penyertaan saya ‘disambut baik’ dan menerima ‘ucapan selamat datang’ yang sangat ‘menggerunkan’ saya. Saya sertai dunia ini dengan niat untuk tumpang belajar dan mahu menjadikan ianya sebagai medan dakwah dan menyalurkan fikrah-fikrah yang boleh dikongsi bersama. Saya bukanlah seorang ulama’ dan tidak layak dipanggil ulama’ pun, namun saya mahu menumpang nama baik para ulama’ dan keberkatan hidup serta perjuangan mereka. Harapan saya, moga tinta para ulama’ ditimbang dengan darah para syuhada’. Akan terus berkata benar walau sepahit jadam sekalipun kerana akhirnya ia akan menjadi semanis madu di akhirat kelak.

Dua artikel saya tentang perlunya merujuk kepada ulama’ dalam gerakan Islam dan mengenai PAS akan kembali berseorangan mendapat sambutan baik dari sahabat-sahabat. Memuji dan mengeji adalah resam manusia. Adakala kita akan mendapat pujian dan adakalanya kita akan mendapat kejian manusia. Namun semua itu bukanlah penentu kepada perjuangan yang berterusan atau terhentinya perjuangan ini. Saya pernah membaca tentang Imam Sufyan Ibn ‘Uyainah rahimahulLah yang suatu hari dia ditegur kerana butang bajunya yang tidak betul dan senget sebelah. Ketika mahu membetulkannya dia tiba-tiba membatalkan hasrat tersebut sambil berkata “Aku memakainya tadi kerana Allah, mengapa aku harus membetulkannya kerana mahu sesuai dengan pandangan mata manusia”. Fuh ! Memang hebat para salaf umat ini dan memang tak terkejar dek kita semua. Saya berterima kasih kepada yang memberikan nasihat dengan apa cara sekalipun dan saya memohon maaf atas kekhilafan saya dan ketelanjuran bahasa tulisan saya. Saya budak baru belajar.

Namun berkata benar selari dengan kehendak Kitab Allah dan Sunnah RasulNya SAW adalah satu kewajipan dan menjadi kayu ukur kepada aqidah yang cemerlang. Inilah tuntutan aqidah seorang Muslim. Berjuang mencari keredhaan Ilahi adalah matlamat kehidupan yang paling suci. Kerananya para pejuang sentiasa gigih berjuang menegakkan syariat Allah walau tidak mendapat kuasa dan memerintah negara sekalipun. Dan jika berjaya memerintah sekalipun, berjuang untuk mencapai keredhaan Allah tidak akan terhenti atau disembunyikan matlamatnya untuk menegakkan Syariat Allah kerana tidak mahu hilang kuasa dan mengambil hati manusia. Perjuangan Islam ada matlamatnya. Ia tidak akan terhenti kerana mahu memenuhi kehendak manusia. Ia akan berterusan walau terpaksa membayar dengan harga yang mahal. Strategi tetap akan dirai namun tidak akan sampai menggadai prinsip perjuangan. Jika sudah mendapat kuasa pemerintahan pun, tidak bermakna perjuangan Islam akan terhenti kerana sudah mendapat kekuasan. Perjuangan Islam akan diteruskan dan hakikatnya ia menjadi lebih mencabar dan amat besar pula amanah dan tanggungjawabnya.



No comments: