Tuesday, July 8, 2008

Bila Ada Agenda Peribadi Dalam Perjuangan


Al ‘Allamah Al Mujahid Ash Sheikh Sa’id Hawwa RahimahulLah telah menegaskan di dalam satu tulisan beliau ‘ Duruusun fil ‘Amal Al Islamiy’ dalam pelajaran yang ke 5 bahawa betapa perlunya mewujudkan pemikiran jama’ie dan menafikan kepentingan peribadi dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah dan membangunkan Islam. Dalam kata lain, meletakkan kepentingan jamaah yang didokong melebihi kepentingan peribadi. Kepentingannya adalah sangat besar demi mencapai dan merealisasi cita-cita dakwah Islam untuk menyuburkan makruf dan menyekat segala mungkar.

Al Ustaz Fathi Yakan pula pernah menyebut dalam tulisannya ‘Maaza Yakni Intimaie Lil Islam’ bahawa di antara sifat-sifat mereka yang hidup untuk Islam adalah mereka yang meletakkan kepentingan Islam melebihi kepentingan peribadi. Al Quran apabila berkata-kata mengenai jihad dan perjuangan, ia senantiasa mengungkapkan jihad harta terlebih dahulu sebelum menyebut tentang jihad dengan jiwa raga. Ini menunjukkan bahawa menafikan kepentingan peribadi dengan mengorbankan harta benda dunia yang dimiliki adalah asas penting sebelum terjadinya pengorbanan nyawa lalu beroleh syahid di medan juang. Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya Allah Telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu Telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang Telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar.” At Taubah : 111

Sirah mencatatkan betapa para sahabah telah mengorbankan kepentingan peribadi mereka
Serta membelanjakan harta benda mereka demi Islam dan menolong Nabi SAW. Perang Tabuk telah mencatatkan satu bukti besar bahawa generasi para sahabat adalah sebaik-baik contoh dalam menafikan kepentingan peribadi demi perjuangan. Mereka sanggup meninggalkan kurma yang sedang masak di tandannya dan menunggu masa untuk dituai hasilnya demi berangkat ke medan Tabuk bersama-sama Rasulullah SAW. Saiyyiduna Abu Bakr telah menafaqahkan seluruh hartanya untuk menjayakan cita-cita jihad begitu juga sahabat- sahabat Rasulullah SAW yang lain. Merekalah generasi yang patah takkan tumbuh lagi dan hilang takkan berganti lagi.

KHIANAT

Satu peringatan penting bagi mereka yang berjuang dan mengaku diri sebagai pejuang Islam pada hari ini adalah betapa pentingnya mereka memahami pelajaran di atas. Selagi mana mereka mempunyai ‘agenda peribadi’ dalam perjuangan, mereka tidak layak dinamakan pejuang apatah lagi memimpin sebuah jamaah yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan. Agenda peribadi dan mementingkan peribadi dalam jamaah akan merosakkan jamaah dan meletakkan jamaah dalam situasi yang sangat bahaya. Kemuncak daripada agenda peribadi dalam jamaah ini ialah akan berlakunya pengkhianatan kepada jamaah. Mereka yang jenis ini akan sampai kepada peringkat akan melakukan apa sahaja walau terpaksa menggadai prinsip sekalipun demi mencapai agenda kepentingan peribadi mereka. Cuba saudara bayangkan jika sikap ini wujud dalam diri mereka yang dilantik sebagai pemimpin dalam sebuah organisasi perjuangan Islam.


Dengan kerana itulah, setiap pejuang mesti melalui anak tangga tarbiyyah yang betul sebelum diberikan amanah dan kepercayaan yang lebih besar tanggungjawabnya dalam jamaah. Jangan main tangkap muat sahaja dalam melantik pemimpin. Kadang-kadang kita sibuk bercakap kepada orang ramai agar jangan sampai silap melantik kepimpinan yang tidak mahu berjalan di atas manhaj Allah SWT sedangkan dalam masa yang sama kita juga telah tidak mengikut manhaj Allah dalam melantik kepimpinan jamaah yang mendokong cita-cita dakwah Islam.

Pengkhianatan pada prinsip perjuangan adalah DOSA BESAR yang wajib ada pertanggungjawabannya.



No comments: