Monday, July 21, 2008

Pesan Orang Lama

SALAM ISLAH,

Memang susah dan payah bila terlibat dengan kerja-kerja perjuangan Islam. Sememangnya syurga itu mahal harga yang ditawarkan oleh Allah SWT. Bercakap lebih mudah daripada pelaksanaan. Memberikan cadangan memang jauh lebih mudah berbanding menterjemahkan cadangan tersebut.

Semalam,saya bersama dengan Ybhg Ustaz Hj Abu Kassim bin Abdullah, Pengerusi Tetap PAS Pusat dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kangar ke 33. Kagum saya dengan karisma dan istiqamah beliau dengan perjuangan menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi. Beliau orang lama dalam PAS, kata beliau “ Saya sudah 46 tahun berjuang bersama PAS”. Inilah yang membuatkan generasi muda PAS macam saya terasa kerdil dan kecil bilamana berhadapan dengan generasi awal dalam PAS yang masih segar dengan perjuangan PAS hingga kini. Benarlah apa yang disebut oleh para murabbi ummah bahawa untuk menjadi insan yang bersama-sama dengan perjuangan Islam dan jihad menegakkan agama Allah di atas muka bumi, sememangnya hanya kerana dipilih oleh Allah. Para pejuang agama adalah manusia pilihan Allah SWT.

Manusia pilihan Allah SWT juga, tidak akan dapat berjalan di atas jalan yang diredhai oleh Allah SWT melainkan jalan yang dipilihnya adalah dihiasi dengan onak dan duri. Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya Allah SWT apabila mencintai seorang hambaNya, maka nescaya diuji hamba itu dengan ujian yang tiada penawarnya (melainkan sabar dan redha). Apabila ia sabar maka ia menjadi hamba pilihan Allah dan jika ia redha, maka ia diangkat darjatnya oleh Allah SWT”Jauharul Mauhub Wa Munabbihaatul Qulub bagi Sheikh Ali Abdul Rahman Al Kelantani

PEMIMPIN YANG HEBAT

Dalam ucapan perasmian Ustaz Abu Kassim menyatakan bahawa beruntungnya PAS kerana mempunyai pemimpin yang hebat silih berganti datang dan pergi yang dihantar oleh Allah SWT untuk mengemudi perjuangan PAS. Semangat pengorbanan dan perjuangan yang tinggi serta keikhlasan dalam perjuangan terpancar dalam setiap gerak geri para pemimpin PAS. Beliau menceritakan kekaguman beliau kepada al Marhum Ustaz Abu Bakar Hamzah yang ketika dipecat dari PAS oleh Dato Asri Muda telah melafazkan satu ucapan yang menggambarkan kekentalan aqidah dan keyakinan perjuangannya. Ketika Ustaz Abu Bakar Hamzah dikerumuni oleh wartawan setelah dipecat dari PAS, 2 soalan dikemukakan kepada beliau. Pertama, beliau ditanya adakah beliau akan menubuhkan parti baru dan yang keduanya adakah beliau akan masuk UMNO. Ustaz Abu Bakar menjawab, “mana mungkin saya menubuhkan parti baru apatah lagi untuk masuk UMNO sedangkan perjuangan saya dengan PASlah yang telah mematangkan saya, mendewasakan saya dan meyakinkan saya kepada kebolehan dan kemampuan Islam”.

BERJUANG SATU KEMULIAAN

Ustaz Abu Kassim memperingatkan generasi muda PAS supaya yakinlah dengan perjuangan Islam bersama PAS. PAS akan terus berjuang menegakkan hukum Allah di atas muka bumi dan berkorban apa sahaja demi kepentingan Islam. Yakinlah kata beliau bahawa orang yang bekerja mendaulatkan agama tidak akan susah dan miskin. Samada dia mendapat kemuliaan atau anak-anak zuriat keturunannya akan mendapat keberkatan dari Allah SWT.

PERCAYA DAN YAKIN DENGAN KEPUTUSAN PIMPINAN

Antara pesan beliau yang sangat menyentuh hati saya ialah; agar seluruh pendokong PAS terus yakin dan memberikan kepercayaan kepada kepimpinan PAS (Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang) yang sedang memimpin PAS di saat ini. Sokong dan dokonglah sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan PAS. Dalam soal muzakarah dengan UMNO beliau yakin percaya bahawa pimpinan pasti akan membuat keputusan yang terbaik, penuh hati-hati dan dalam rangka memelihara kepentingan Islam dan dasar perjuangan PAS.

Bersyukurlah jika sekiranya Allah mengekalkan nikmat Islam dan iman dalam hati dan jiwa kita. Itulah harta yang paling bernilai yang saya miliki kata Ustaz Abu Kassim. Ramai dari pejuang-pejuang awal PAS dahulu yang akhirnya masuk UMNO dan mati dalam UMNO. Bahkan kata beliau, ada 2 orang tok guru besar di Kedah, ada ribuan murid, ada pondok besar tapi akhirnya keluar PAS masuk UMNO dan mati dalam UMNO. Beliau mengakhiri pesanan dan taujihatnya kepada kami sidang muktamirin dengan madah pujangga HAMKA supaya kita tetap menjadi seperti rumput. Terus tumbuh menghijau walau dalam apa jua keadaan. Jangan sekali-kali termenung memikirkan nasib masa hadapan kerana orang budiman tidak akan kecewa dalam perjuangan. Istiqamahlah!.

No comments: