Saturday, July 12, 2008

Rujuklah Kepada Ulama'

Salam ISLAH,

Saya sekali lagi menegaskan bahawa semua perkara yang melibatkan dasar PAS mestilah dirujuk terlebih dahulu kepada Syura Ulama’. Apa jua perkara termasuklah pendekatan dan sebarang perubahan dasar dalam PAS. Di sinilah kelainan PAS sebagai sebuah gerakan ISLAM di Malaysia.

Saya sempat menatap SIASAH yang baru sebentar tadi, saya dapati ada dua perkara penting yang cuba diketengahkan olrh SIASAH terbaru. Pertama, DR Hatta memohon maaf. Saya ingin katakana bahawa setiap pemimpin terutamanya pimpinan dalam gerakan ISLAM wajib berjiwa besar.Saya tidak bersetuju dengan ungkapan bahawa perkataan yang paling berat diungkapkan adalah ‘maaf’, lebih-lebih lagi ia dicedok dari rangkap lagu nyanyian Elton John ( ‘sorry seems to be the hardest word’ )bukannya dari sumber wahyu. Ungkapan mohon maaf adalah ungkapan yang pasti datang dari jiwa mukmin sejati. Ucapan maaf seharusnya senantiasa membasahi bibir setiap manusia beriman. Islam amat menggalakkan umatnya senantiasa memohon kemaafan jika berbuat silap.

Kenapa terasa berat benar untuk memohon maaf?. Adakah kerana merasakan bahawa tidak wajar memohon maaf dan merasakan juga bahawa tindakan salah tersebut sebenarnya betul?. Salahkah memohon maaf jika kita merasakan kita betul sekalipun?. Adakah akan mengurangkan darjat dan merendahkan kemuliaan kita hanya dengan memohon maaf?.

Hidup berjamaah ada adab dan tatasusilanya. Jika kita bertindak dengan restu jamaah dan dengan persetujuan ulama’ maka sudah tentu seluruh ‘keluarga’ ini akan bersama-sama bertanggungjawab. Inilah akibat pandai-pandai sendiri dengan tidak merujuk terlebih dahulu kepada yang sepatutnya. Perbuatan membelakangi jamaah ini adalah perbuatan yang wajar mendapat pengajaran sepatutnya. Majlis Syura wajar membuat keputusan dan ketetapan tentang akhlak buruk dalam berjamaah seperti ini.

Kedua, mengenai keahlian bukan Islam dalam PAS. Saya ingin memetik apa yang disebut oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa sebagai berkata ;

“ Saya lebih cenderung untuk membuka keahlian bukan Islam ini sebagai ahli bersekutu buat permulaan ini. Ini amalan biasa mana-mana persatuan. Lepas itu kita lihatlah perkembangannya”

Beliau juga mencadangkan agar mereka akan berada dalam satu dewan setaraf dengan dewan-dewan yang berada di dalam PAS sekarang.

Saya juga ingin memetik kata-kata pengasas perubahan kearah kepimpinan ulama’ dalam PAS , Datuk Hj Mustafa Ali sebagai berkata ;

“ Jika kita menerima orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu sahaja, ini bermakna kita meletakkan mereka sebagai ahli kelas kedua. Jika begitu, lebih baik tidak payah”.

Di sinilah perlunya kerasikhan dan kedalam ilmu ulama’ dan pengalaman para penggerak perjuangan Islam sepanjang zaman. Di sinilah jua harus diputuskan terlebih dahulu di aman kedudukan PAS dan bezanya dengan Parti Politik lain di Malaysia. PAS adalah sebuah gerakan Islam yang berjuang atas landasan mahu menegakkan Daulah Islamiyah dan Islam sebagai Ad Dien dalam kehidupan umat manusia. Bila ada non muslim mahu bersama dengan PAS dengan menyertai Kelab Penyokong, ia sudah mencukupi. Jika mereka sayang benar pada PAS mereka kena menjadi Muslim terlebih dahulu. Kerana PAS adalah wadah Islam di Malaysia. Mungkin ada yang tidak bersetuju.Pandangan dua orang di atas pun ada bezanya. Di sinilah yang dikatakan letaknya peranan syura ulama’.Merekalah pemutus.

Inilah yang dikatakan kebebasan memberikan pandangan dan pendapat. Namun segalanya hendaklah diserahkan kepada syura ulama’. Inilah yang berlaku sejak zaman Rasulullah SAW hingga hari kiamat. Syura ulama’ adalah pemutus sepertimana Rasulullah SAW sebagai pemutus di kalangan sahabah. Jangan sampai nafsu mendahului wahyu dalam menggerakkan PAS. Jika tidak,tiada bezanya ia dengan yang lain.Sama sahaja.

Saya belum pernah mendengar mana-mana gerakan Islam di dunia yang membuka keahlian kepada non Muslim. Kenapa pula PAS yang mendakwa ia adalah sebuah gerakan Islam mahu membenarkannya. Nampaknya ada yang sedang cuba memperalatkan PAS untuk kepentingan agenda mereka. Syura Ulama',putuskanlah dengan Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah serta ijtihad kalian.

No comments: