Friday, July 11, 2008

Syabas Presiden PAS

Salam ISLAH,

Saya masih berada di Kuala Lumpur mengisi beberapa program anjuran sahabat-sahabat di sini. Dalam masa terluang sebelum bertolak ke Shah Alam sekejap lagi saya sempat menatap beberapa berita penting yang saya sendiri sebenarnya rasa tak sabar mahu melihat dan membacanya khususnya mengenai perkembangan terkini PAS & Pakatan Rakyat. Sebenarnya semalam saya sendiri dihubungi beberapa teman rapat bertanya khabar dan berbincan serba sedikit tentang perkembangan mutakhir PAS. Sebelum solat Jumaat tadi pun saya sempat menghubungi Ayahanda Ustaz Hj Hashim Jasin untuk berbincang satu dua perkara dan bertukar-tukar maklumat terkini jamaah yang kita dokong ini.

Dalam menatap temuramah khas Tuan Guru Hj Abd Hadi dengan HARAKAH, saya rasa saya membacanya dengan dada yang penuh debaran. Saya dapati dalam temuramah tersebut ada 3 perkara penting yang TG Presiden PAS telah nyatakan dengan jelas :

1. Menegaskan bahawa kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat adalah bukannya menumpang tuah mana-mana parti dalam PR. Sebaliknya PAS mempunyai sikap dan pendirian yang jelas dalam kebersamaanya dengan PR.
2. Bahawa isu-isu peribadi yang melibatkan Dato’ Seri Anuar Ibrahim tidak boleh menjejaskan PR dan bukannya isu Pakatan Rakyat. Bahkan TGHH bersedih dengan apa yang berlaku kepada DSAI telah sedikit sebanyak member impak buruk kepada PR. TGHH menegaskan bahawa isu liwat DSAI perlu diselesaikan di mahkamah yang adil.
3. Tidak ada sebab yang boleh menghalang PAS untuk membuka pintu pertemuan dan perbincangan dengan UMNO demi kepentingan Islam dan Melayu. Kalau PAS boleh bersama DAP dalam PR, adalah tidak mustahil untuk PAS menemui UMNO bagi mengajak UMNO kepada landasan yang benar. Sikap politik kekampungan ditolak sama sekali oleh TGHH dalam hal ini.

Saya secara peribadi, amat berharap sikap yang tegas dalam mempertahankan prinsip dan uslub dakwah seperti yang ditunjukkan oleh TGHH akan berterusan selamanya. PAS tetap akan menjadi sebuah gerakan Islam yang berjuang untuk mempertahankan aqidah dan agama serta memperteguhkan bangsa dengan keduanya. Sejak kepimpinan ulama’ diperkenalkan, PAS telah mengubah cara dan uslub pergerakannya daripada parti politik yang menggunakan wajah Islam dalam bergerak kepada sebuah gerakan Islam yang tidak pernah jemu mengajak manusia taat kepada Allah dengan menjadikan politik sebagai cabang kecil aktivitinya.

Syura dalam PAS adalah asas yang paling teguh. Keanggotaan Majlis Syura dalam PAS adalah sedaya upaya diikhtiarkan menepati syarat yang diletakkan oleh para ulama’. Majlis syura adalah penjaga kepada asolah dan ketulinan perjuangan PAS. Majlis Syura adalah penentu dasar PAS. Saya amat mengharapkan agar, Majlis Syura benar-benar memainkan peranan dalam memantau setiap pergerakan dalam PAS. Jangan biarkan pihak-pihak tertentu mempermainkan dan memperbudakkan sebarang ketetapan dan keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura. Saya amat yakin percaya bahawa perjuangan PAS akan terus terpelihara dengan berkat menyerahkan keputusan perjalanan PAS kepada syura Ulama’. Inilah Sunnah Rasul dalam perjuangan. Kita tidak akan sampai membenarkan tunjuk punggung dalam program yang kita ketuai jika apa yang kita susun dirujuk kepada syura ulama’.

Inilah adab dalam sebuah gerakan Islam. Jika ini tidak berlaku maka sahlah PAS bukan gerakan Islam. Tidak mustahilkan PAS ditinggalkan?

No comments: