Thursday, July 17, 2008

Bertemu Untuk Terajui Perubahan

SALAM ISLAH,

Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menyatakan kesediaan Pemuda UMNO untuk bertemu PAS demi kepentingan Islam & Melayu. Saya tidak terkejut sangat dengan kenyataan ini kerana orang yang sudah tersepit akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka. Cuma yang agak menghairankan saya ialah sejak bila UMNO fakir soal kepentingan Islam dan Melayu kerana setahu saya merekalah yang telah merosakkan Islam dengan Islam Hadhari yang mengelirukan serta bertindak tidak wajar kepada pejuang-pejuang agama dan kebenaran sepanjang mereka memerintah negara. Dalam soal kepentingan bangsa juga, kejayaan UMNO baru banyak dipertikaikan termasuk oleh veteran UMNO dan cerdik pandai melayu yang lain. Bak kata Sdr Anuar Ibrahim semalam, oleh kerana banyak kebocoran dan ketirisan berlaku dalam urus dana negera menyebabkan rakyat terbanyak ‘nganga’.

Dalam kenyataan Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga memuji langkah PAS yang bersetuju mendaftarkan 20 buah sekolah kendalian Kerajaan Kelantan kepada Kementerian Pelajaran. Bagi saya, langkah tersebut dibuat adalah sebagai satu titik mula kepada sesuatu yang lebih besar. Menyedarkan UMNO kepada sikap anak tiri mereka kepada Kelantan selama ini. Selama inipun kerajaan Kelantan mampu mengurus sekolah-sekolah SAR mereka dengan baik. Peruntukan dinaikkan tahun demi tahun. Dalam soal ini, Kelantan hanya mahu menunjukkan sikap terbukanya.

Dalam soal kepentingan Islam dan Melayu, PAS amat jelas dengan perkara ini. Tuan Guru Presiden PAS baru-baru ini menegaskan komitmen PAS dalam mempertahankan ketuanan Islam dan memperkukuhkan bangsa dengan Islam sebagai Ad Dien. Cuma kita risau pisang akan berbuah dua kali. UMNO tidak pernah jujur dengan PAS. Soal muzakarah contohnya, sudah acapkali dibatalkan UMNO dengan pelbagai alasan. Takut sangat UMNO dengan kejatuhan dan kehilangan kuasa. Inilah bilamana aqidah UMNO yang meletakkan kuasa sebagai nyawa dan punca utama meraih pengaruh dan yang paling penting ialah alat menghimpun kekayaan. Jangan lupa kepada apa yang berlaku kepada al marhum Datuk Zakaria Deros ( Datuk Zack). Itulah gambaran kehidupan pimpinan UMNO. Soal dia bertaubat sebelum mati atau tidak kita pulangkan kepada Yang Maha Mengetahui. Tetapi semasa hidupnya, dia memiliki kekayaan yang tidak sepatutnya hanya dengan menjadi Ketua Bahagian UMNO dan membina mahligai yang kalah Istana Raja Perlis!.

Saya setuju dengan kegusaran Tuan Guru al Murshidul ‘Am dalam soal pertemuan dan kerjasama dengan UMNO. TGNA menyebut bahawa sudah beberapa kali PAS mengajak UMNO bermuzakarah tetapi mereka bermain sandiwara. TGNA takut pisang berbuah dua kali sebagaimana UMNO tendang PAS dulu. Namun TGNA menyatakan sedikit panduan dalam perkara ini. Jika PAS mahu bekerjasama dengan UMNO atau bertemu UMNO untuk berbincang maka mesti diperkemaskan betul-betul kata beliau. Saya rasa, jika PAS boleh menjadi nakhoda dalam pertemuannya dengan UMNO maka tiada salahnya pertemuan dan kerjsama ini. PAS mesti berunding untuk jadi tokeh bukan kuli lagi. TGHH mesti bertindak dengan bijak mengambil peluang ini untuk memastikan agar PAS akan mengemudi perubahan ini. Jika tidak tak payahlah. Kita wajib bertemu UMNO untuk nyatakan mesej Islam. Ajak UMNO berubah adalah kewajipan kita. Sedangkan Allah SWT memerintahkan Nabi Musa untuk bertemu Firaun untuk menyampaikan peringatan kepada Firauan tentang ajakan dan misi dakwah Nabi Musa kepada agama Tauhid. Takkan untuk PAS bertemu UMNO tidak boleh pula?. Sedih saya bila ada di kalangan kawan-kawan yang untuk bertemu UMNO pun dia tidak bersetuju. Ini bukan sifat dakwah Islam yang sebenar. Firman Allah SWT.

“Sudah sampaikah kepadamu (Ya Muhammad) kisah Musa. Tatkala Tuhannya memanggilnya di lembah Suci ialah lembah Thuwa; "Pergilah kamu kepada Fir'aun, Sesungguhnya dia Telah melampaui batas,. Dan Katakanlah (kepada Fir'aun): "Adakah keinginan bagimu untuk membersihkan diri (dari kesesatan)". Dan kamu akan kupimpin ke jalan Tuhanmu agar supaya kamu takut kepada-Nya?" Lalu Musa memperlihatkan kepadanya mukjizat yang besar.” Surah An Nazi’at : 15-20

Kesimpulannya :

Islam adalah untuk semua. Rasulullah SAW tidak pernah jemu mendakwahkan Islam kepada seluruh manusia sepanjang hayat Baginda SAW. Setiap pendokong perjuangan Islam tidak seharusnya membataskan dakwah Islam hanya kepada orang tertentu dan ‘mengharamkan’ Islam disampaikan kepada siapa jua. Membawa hidayah kepada seluruh manusia adalah tanggungjawab setiap gerakan Islam dan cintakan Islam. Kalau tidak, masakan Thariq ibn Ziyad mendarat di pantai Andalus lalu terbuka laluan Islam ke barat. Saad ibn Abi Waqqas telah membawa Islam ke China. Siapa yang pernah menyangka bahawa mereka dan kita bersatu di bawah panji Tauhid?

No comments: