Friday, July 11, 2008

Takut Menggantikan Aman

Salam Perubahan,

Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur tadi,saya membeli senaskhah akhbar METRO untuk tatapan mengisi masa yang terluang menunggu waktu berlepas. Tengah menyelak helai demi helai akhbar tersebut mata terpaku pada berita ‘USTAZAH DITANGKAP KHALWAT’. Darah menyirap ke kepala, hati tersentak, betulkah apa yang sedang ditatap.

Fakta penting ; ustazah ni bakal dinaikkan pangkat sebagai pengetua sebuah sekolah. Pasangannya pula adalah seorang pegawai kanan pusat latihan terkenal. Saya mengurut dada dan tertanya-tanya apakah yang akan terjadi dengan Negara ini. Muka hadapan METRO 10 Julai pula menyiarkan berita ‘ISTERI BAWA MAYAT SUAMI KE BALAI POLIS’. Kisahnya, suami ditembak mati dalam kereta di hadapan orang ramai. Negara ini dah nak jadi Negara MAFIA gamaknya. Na’uzubilLah.

Inilah diantara bala Allah SWT yang berlaku akibat keengkaran dan kedegilan manusia untuk kembali kepada syariat Allah SWT. Ustazah yang sememangnya dimaklumi dari lulusan agama melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya. Tragedi pembunuhan berlaku sewenang-wenangnya. Inilah nikmat keamanan yang dicabut Allah daripada umat ini lalu diganti dengan ketakutan dan kerisauan. Kalau masa dulu tempat yang paling selamat bagi anak dara adalah di rumah mereka, namun hari ini tempat yang paling tidak selamat adalah di rumah mereka sendiri. Berita dalam akhbar hari ini (10 Julai), seorang remaja perempuan dirogol ayah dan abang kandungnya sendiri.

Demikian Allah membala dan mengazab umat ini. Dan azab ini dirasakan Allah sebelum kita berangkat ke akhirat lagi. Semuanya akibat perbuatan tangan kita sendiri. Supaya kita rasakan pedihnya.

Kita semua bertanggungjawab menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Bebanan dakwah terpikul di atas bahu kita. Walau kita berpolitik dan menyertai parti politik sekalipun, kita tidak boleh lari dari asas ini. Kita berpolitik adalah untuk mencapai cita-cita dakwah untuk mendidik diri dan rakyat supaya taat kepada Allah. Benarlah bahawa kuasa politik sangat perlu di zaman ini untuk laksanakan perintah Allah. Ulama’ mesti diangkat sebagai pemimpin. Ulama’ mesti berperanan. Ulama’ mesti didokong. Ini adalah kerana merekalah yang paling takut pada Allah SWT.

No comments: