Thursday, July 24, 2008

Selesai


BismilLah,wassolatu wassalamu ‘ala saiyyidina Rasulillah,wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man nasarahu wa walahu, amma ba’du;

Salam ISLAH,

Saya kira hiruk pikuk yang berlaku dengan isu muzakarah telah mendapat kata putus untuk ditaati dan diberikan wala’ oleh semua anggota gerakan Islam seumpama PAS. Bila Majlis Syura Ulama’ telah membuat ketetapan bahawa pertemuan UMNO-PAS handaklah diteruskan maka tiada boleh ada lagi suara-suara di belakang yang berbunyi. Jika masih berbunyi juga pun maka itu sudah tentu datangnya dari bukan ahli PAS dari ahli yang tidak pernah mengikuti tarbiyah PAS dan kemungkinan juga dari Pimpinan yang naik tanpa melalui proses pentarbiyah (hanya kerana suka tonjolkan diri atau pandai bersyarah).

Majlis Syura Ulama’ yang bersidang di Kota Bharu pada 23 Julai 2008 telah bersetuju dengan pertemuan atau muqabalah PAS dengan UMNO atas beberapa kepentingan tertentu yang ada di antaranya sudah tentulah boleh didedahkan kepada ahli dan ada yang perlu dirahsiakan. Tentu juga ada di kalangan pihak-pihak yang cuba nak jadi hero akan mendesak supaya apa yang tak patut diceritakan itu didedahkan segera kepada umum atas dasar ketelusan. Bagi saya, inilah sikap munafiqun sepanjang zaman, menyuburkan keraguan dan membangkitkan rasa tidak percaya kepada pimpinan serta mencetuskan perbalahan di kalangan ummah. Kita diajar oleh Al Quran dan Al Hadith supaya memberikan thiqah kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada apa jua keputusan kepimpinan. Di sinilah asas kesatuan dan kekuatan serta perpaduan di kalangan umat ini. Setelah mereka disatukan dengan tauhid, mereka diperkukuhkan pula dengan pimpinan yang mengajak kepada bersatu di bawah naungan wahyu Allah dan petunjuk nabawi. Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya (agama Tauhid) Ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, Maka sembahlah Aku.” Surah Al Anbiya’ : 92

Ketaatan dan memberikan wala kepada pimpinan adalah asas kesatuan. Dengan keduanyalah dapat disatukan pelbagai pandangan dan kecenderungan di bawah panji ketaatan yang tinggi serta membuahkah kesatuan tindakan. Dengan wala’ ketaatan juga dapat diseimbangkan kepelbagaian dalam tindakan, yang laju,sederhana dan perlahan dalam gerak kerja dapat disatukan serta ‘dikawal’ dengan ketaatan. Saya sebutkan dalam posting terdahulu bahawa, kita selalu diuji dengan keputusan pimpinan. Namun sekarang, tibalah waktunya kita memberikan wala’ sepenuhnya tanpa banyak bicara lagi. Mungkin ada yang berkata, kenapa Syura lambat sangat bertindak?. Kenapa sebelum ini ada percanggahan antara kenyataan Mursyid Am dan Presiden.?. Jawapannya adalah kerana isu ini telah dibocorkan dan disebarkan kepada umum dengan mendahului tindakan pimpinan. Atau dengan kata lain, pengkhianatan yang berlaku dalam PAS yang menyebabkab berlakunya kebocoran perkara yang tak patut bocor. Di sinilah letaknya kepentingan tarbiyyah dalam PAS. Sayangnya semua ini terabai. Belum pernah saya dengar berlakunya program tamrin atau apa jua bentuk program tarbawi di kalangan pimpinan ‘atas’ dalam PAS. Mungkin usrah juga telah lama ditinggalkan. Kalau adapun , apa yang dinamakan usrah tepi jalan atau usrah sambil-sambilan yang langsung tidak ada keseriusan. Maafkan saya dalam hal ini. Kita kekurangan anggota yang suka berterus terang, maka saya gagahkan diri saya untuk berterus terang. Inilah hakikatnya, apa yang nak di kata. Kalau markaz tarbiyyah PAS Pusat pun terabai agak lama atas alasan baik pulih, maka kalau karkaz tarbiyyah di peringkat cawangan beku pun , apa yang nak kita kata lagi?.

Dalam hal beberapa pimpinan yang telah mendahului dengan bertemu Pak Lah, ini soal beberapa kuasa veto pimpinan atas yang kita kena akui. Kalau besar taik kuku pun takdak kuasa veto dalam membuat keputusan, pimpinan apa namanya tu. Berilah kepercayaan kemudian berlapang dadalah. Waktu al Marhum Ustaz Fadhil segera bertemu Dato’ Seri Anwar sewaktu di awal pemecatan Anwar dahulu pun Ustaz Fadhil dihentam kerana telah mendahului parti. Namun beliau minta supaya parti kena beri kepercayaan kepada dia dan sudah tentu katanya dia ada sedikit kuasa untuk buat keputusan yang diyakini menguntungkan parti di waktu itu. Banyak sungguh suara hentaman pada waktu itu, namun akhirnya?. Kesemuanya pakat akui manafaatnya pertemuan dan ziarah awal tersebut kepada survival politik PAS. Tak gitu?

Saya sangat bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa kita kena bersedia untuk menerima kelemahan pimpinan kita. Dengan itu, apa jua yang berlaku kita akan tetap terus kekal istiqamah. Lainlah jika sekiranya, berlaku pengkhianatan dalam perkara dasar. Manusia selain Nabi tidak ma’sum. Tetapi jika pimpinan memimpin dengan wahyu dan nasihat syura ulama’ maka yakinlah dengan kebenaran mereka dan berlapang dadalah.

Dan yang pasti menyentuh jiwa dan membetulkan semua perkataan jahat mana-mana pihak sekalipun termasuk kenyataan sebahagian pimpinan PAS sendiri ialah apa yang diperjelaskan oleh Tuan Guru al Mursyidul 'Am PAS mengenai muqabalah/pertemuan PAS-UMNO. Kata TGNA :

"Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS. "Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"

Selesai!

No comments: