Friday, July 25, 2008

Antara Tarbiyah & Politik

Bismillah,wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala saiyyidil mursalin Nabiyyina Muhammadin, wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’ien, wa ba’du :

Salam ISLAH,

"Di sana ada lagi satu penyelewengan yang boleh menjauhkan kita dari jalan yang sihat iaitu kita memandang ringan terhadap proses tarbiah, pembentukan dan perlunya beriltizam dengan ajaran Islam dalam membentuk dasar dan asas yang teguh. Lantas kita seolah-olah melatah lalu menggunakan cara dan uslub politik menurut sikap dan telatah parti-parti politik. Kita akan mudah terpedaya dengan kuantiti anggota yang kita ambil yang dianggap menguntungkan tanpa mewujudkan iltizam tarbiah. Ini adalah satu jalan dan cara yang sangat merbahaya yang tidak dipercayai akibatnya. Ini mungkin menyediakan anasir yang kukuh yang mampu memikul hasil kemenangan, kekukuhan dan kekuasaan untuk Islam.


Sebenarnya kita tidak kekurangan kuantiti, tetapi kita kekurangan kualiti. Kita kekurangan bentuk dan contoh Islan yang kuat imannya yang membulatkan dirinya untuk dakwah, rela berkorban pada jalan dakwah dan jihad fi-sabilillah dan yang sentiasa istiqamah hinggalah bertemu Tuhannya. Oleh kerana itu marilah kita beriltizam dengan tarbiah dan janganlah kita redha menukarkannya dengan cara yang lain."

Demikianlah bunyinya teks usrah tarbawi Darul Islah yang saya pimpin setiap Isnin saban minggu.Ia adalah terjemahan tulisan ash Sheikh al Mujahid Musthofa Masyhur (mantan Murshid 'Am Ikhwan al Muslimin). Setelah hilang kemalasan saya sari dua ini akibat letih benar otak saya ni dengan isu muzakarah UMNO-PAS, maka malam inilah baru ada kekuatan untuk menulis kembali isi usrah Isnin yang lepas.

Saya katakan kepada pemuda-pemuda di hadapan saya bahawa antara penyelewengan terbesar di dalam sebuah gerakan Islam bilamana diletakkan politik di hadapan tarbiyyah. Hilang agenda tarbiyyah dalam gerak kerja parti dan jamaah. Tidak sepatutnya gerak kerja parti dipisahkan dari tarbiyyah. Hatta bila berpolitik sekalipun, ia adalah satu proses tarbiyyah kepada kita. Dalam isu muzakarah, nampak sangat Allah mahu mentarbiyyah dan menguji kita.

Dalam gerakan Islam, proses pemeliharaan Allah terhadap perjuangan menegakkan agama pasti berlaku. Dalam masa yang sama, proses penapisan juga berlaku. Allah SWT pasti akan membersihkan perjuangan ini dari jiwa-jiwa yang tidak ikhlas. Mereka yang mempunyai matlamat duniawi dan agenda peribadi dalam perjuangan tidak layak duduk dalam perjuangan Islam. Bila Tuan Guru Presiden mengambil keputusan bertemu Pak Lah, ada orang kata Tuan Guru Presiden dan sebahagian pimpinan PAS sudah tertarik dan terpedaya dengan tawaran duniawi Pak Lah. Sebenarnya kita akan melihat siapa yang sebenarnya yang tertarik dengan tawaran duniawi tersebut dan akan dinyahkan oleh Allah SWT dari perjuangan suci ini.

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya” Surah Al Hijr : 9

Kefahaman terhadap nas di atas ialah Al Quran akan dipelihara Allah selama-lamanya. Termasuk dalam maksud pemeliharaan Allah SWT terhadap Al Quran ialah Allah akan memelihara orang-orang yang berjuang menegakkan Al Quran sebagai hukum dan mengangkat kemuliaan Al Quran ditempatnya. Termasuklah jua kumpulan manusia atau jamaah yang berjuang menegakkan hukum Al Quran, mereka akan dipelihara oleh Allah SWT dari segala kejahatan dan unsur-unsur yang tidak baik.

Antara kaedah Allah memelihara perjuangan Islam adalah Allah turunkan ujian, Allah jadikan halangan serta kepayahan menghiasi dan menjadi latar belakang kepada perjuangan suci ini. Dengan sendirinya, ,mereka yang ikhlas dalam perjuangan akan terus istiqamah dengan rahmat Allah SWT dan mereka yang punya niat yang jahat dan kotor tidak akan punya daya ketahanan dan akhirnya akan memilih jalan lain yang jauh lebih senang berbanding jalan perjuangan ini. Maka berlakulah tapisan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang beriman.

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu.” Surah Muhammad : 31

Kalau tarbiyyah tidak dijadikan asas dalam perjuangan, mana mungkin akan terbitnya daya tahan dalam berhadapan dengan ujian Allah SWT. Jangan saudara bayangkan bahawa hanya dikatakan ujian itu ialah bila dipenjarakan, disiksa, dipulau dan sebagainya. Itu semua tidak kita nafikan. Namun terkadang kita lupa bahawa ujian Allah itu boleh berlaku dalam perkara yang kita tidak sangka. Ujian emosi dan perasaan juga boleh berlaku. Rasa mahu berkuasa, mahu cepat jadi menteri, gila pengaruh , mahu menonjolkan diri untuk cepat naik dan perlbagai lagi.

Dalam usrah kita bincangkan teladan hebat Saiyyiduna Khalid Al Walid yang meneruskan perjuangan hingga selesai walau menerima surat pelucutan jawatan dari khalifah. Betapa beliau mengenepikan perasaan dan emosi demi memastikan kejayaan jihad. Namun bila ujian yang sama menimpa kita, belum tentu kita dapat mengambil langkah seperti SaifulLah al Maslul Khalid al Walid rdh.

Di sinilah letaknya kepentingan tarbiyyah yang menjadi tunjang kepada setiap kerja buat gerakan Islam. Menjadikan anggotanya sentiasa segar dan teguh pendirian dalam setiap ehwal dan keadaan. Memburu kemuliaan kemenangan dan syahid di medan juang.




1 comment:

WUZARA said...

Assalamualaikum wbt...

Pentarbiahan adalah tunjang kebangkitan. Kerana dakwah dalam kerangka politik Islam adalah dengan membawa pemikiran2 Islam sebagai penyelesaian masalah kehidupan.

Sebab itu kita boleh lihat pemahaman pejuang yang terlibat dengan pentarbiahan lebih mendalam berbanding emosi ahli gerakan Islam yang sambil lewa dlm pentarbiahan.

Begitu juga tidak sama jemaah Islam yang mantap pentarbiahannya dengan jemaah Islam yang longgar pentarbiahannya. Daei yang dibina oleh jemaah mutakatilah yang solid pentarbiahannya akan mampu membawa pemikiran Islam ketengah2 ummat. Berbeza dengan daei dari jemaah yang longgar pentarbiahan, kebiasaanya menyandarkan kepada ustaz atau pemimpin. ia sangat merbahaya kerana cenderung membawa ketaksuban.

Oleh itu, ana sangat setuju pentarbiahan adalah perkara penting dalam dakwah. Kegagalan kepimpinan sesuatu gerakan menyediakan modul pentarbiahan yang mantap dan tersusun adalah suatu penganiayaan kepada ahli dan perlu dimuhasabah.Kegagalan ahli terlibat dalam pentarbiahan adalah suatu kecuaian dalam dakwah.

Semoga Islam kembalu tertegak.

wuzara
http://jemaah-islam.blogspot.com