Tuesday, July 15, 2008

Arak : Pemuda PAS Harap Kerajaan Selangor Tidak Ulangi Kesilapan


Arak: Pemuda PAS harap kerajaan Selangor tidak ulangi kesilapan

SHAH ALAM, 14 Julai (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor perlu menilai serta meneliti kehadiran pasukan Kelab Bola Sepak Chelsea pada majlis tajaan syarikat arak, Heineken sempena kunjungannya ke Malaysia.

Penganjur ProEvents International Sdn Bhd akan mengadakan perlawanan persahabatan antara Kelab Chelsea dengan pasukan bola sepak Malaysia di Stadium Shah Alam pada 29 Julai nanti.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap kerajaan negeri meneliti dan mengkaji terlebih dahulu program sampingan yang akan dijalankan sebelum membenarkan kehadiran Kelab Bola Sepak Chelsea.
Ketuanya, Ustaz Sallehen Mokhyi berkata, sama ada kerajaan negeri sudah maklum atau belum, ketegasan untuk membenarkan perlawanan itu diadakan perlu dilaksanakan.
Menurut beliau, jika benar berlaku bukan saja premis negeri Selangor terlibat bahkan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat serta rakyat Selangor.

"Kita akan mendesak kerajaan negeri melakukan sesuatu untuk membatalkan beberapa program yang akan dijalankan oleh penganjur yang bertentangan dengan Islam," tegasnya.
Beliau yang ditemui di SUK menegaskan, soal perlawanan bola sepak itu tidak menjadi masalah kerana sejak dahulu lagi PAS melihat ia merupakan kegiatan yang menyihatkan.
Apatah lagi katanya, pelawanan bola sepak yang diadakan dengan kelab antarabangsa sudah tentu dapat menjalin hubungan baik di peringkat global termasuk hubungan diplomatik.

"Kita tidak mahu antara program yang dijalankan sebelum pertandingan, diadakan majlis dengan menghidangkan minuman keras," tegasnya.
Jika perkara itu berlaku tambah beliau, ia perlu dibatalkan sebab amat tidak wajar dalam kerajaan Pakatan Rakyat yang mana rakyat Selangor sudah tentu mahu melihat perbezaan pentadbiran di bawah pimpinan Umno-BN dengan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, ia juga amat tidak sesuai dengan konteks adanya PAS dalam Pakatan Rakyat yang ada komitmen dan komited dengan perjuangan daripada dulu hingga sekarang.
Katanya, jika ada majlis makan dengan hidangan minuman keras ia amat bertentangan bukan saja dalam Islam tetapi budaya Melayu.

Beliau yang sebelum ini menghantar memorandum kepada Menteri Besar terhadap kehadiran artis dangdut Mas Idayu dan ratu rock, Ella berharap pihak penganjur mempunyai sensitiviti terhadap kerajaan negeri Selangor sekarang.

"Jika pihak penganjur mengambil kesempatan di peringkat awal penyusunan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat sudah tentu ia akan mengganggu proses pentadbiran negeri," tegasnya.
Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS Selangor tidak akan teragak-agak menghantar memorandum bantahan secara rasmi kepada kerajaan negeri Selangor jika perkara itu berlaku. -lanh

No comments: