Wednesday, July 9, 2008

ULAMA' ; Buatlah Perubahan...


Menulis dari hati adalah amat payah. Perlu benar-benar menjiwai apa yang hendak dikatakan. Agar yang ditulis benar-benar dapat dihayati terlebih dahulu oleh si penulis sebelum si pembacanya. Hendak meniru para ulamak mukhlisin dahulu dalam menulis memang payah. Keikhlasan mereka dalam menulis menyebabkan umur tulisan mereka bertahan lama, merentas zaman dan massa. Muwathha’ Imam Malik, Al Umm Imam Muhammad Idris Ash Shafi’e dan yang lain-lainnya seakan-akan hidup di tengah-tengah jiwa ummah sepanjang zaman. Segar, sesuai., mudah dan menyelesaikan masalah ummah. Tulisan mereka memecah kebuntuan, melapangkan dada, menyatukan dan tidak memecah belahkan. Mereka meninggalkan lautan yang tenang tanpa ombak dan gelora. Kitalah yang mengeruhkannya dengan khilaf yang penuh permusuhan.

Ulamak sepanjang zaman, menerangi ummah dengan membakar diri sendiri. Berkorban demi agama. Mereka berjaga malam, membelanjakan harta, mengurangkan masa bersama keluarga dan kadang-kadang mengabaikan masa untuk diri sendiri demi berbuat apa sahaja yang mendatangkan manfaat kepada ummah. Mereka bersengkang mata bagi memastikan ummah hidup bersendikan kitab Allah dan Sunnah Rasul SAW.

Ulama’ mukhlisin yang dikenal ummah sebagai benteng terkuat mempertahankan kebenaran kerana mereka sedar mereka adalah ikutan ummah sepanjang zaman. Kesilapan mereka akan menjadi ummah silap dan berpegang teguh mereka dengan kebenaran akan menjadikan ummah yakin dengan kebenaran yang mereka bawa. Lihat sikap Imam Ahlil Haq Imam Ahmad ibn Hanbal RahimahulLah, sanggup dipenjarakan, di sebat, disakiti hanya kerana mempertahankan aqidah yang sahih bahawa Al Quran itu kalamulLah bukannya makhluk seperti faham mu’tazilah di zamannya. Imam Malik diarak keliling Madinah dalam keadaan mengaibkan kerana fatwanya yang tidak disukai pemerintah di zamannya.

Dan jangan lupa sahabat, ciri-ciri yang tidak pernah ‘lekang’ dan terpisah dari ulama’ mukhlisin sepanjang zaman adalah hubungan yang kental dengan Allah Azza Wa Jalla. Mereka sujud di hadapan Allah Ar Rahman memohon kemurahan Allah untuk sekalian umat. Mereka menangis dalam sujud mereka di hadapan Allah Ar Rahim memohon kasih sayang Allah untuk umat. Mereka bersungguh-sungguh menadah tangan di hadapan Allah Al Haadi memohon hidayah untuk mereka dan sekalian umat. Mereka berguling-guling di dalam mehrab di tengah malam yang sunyi di hadapan Allah Al Ghaffar memohon ampun dari Allah atas dosa-dosa mereka dan dosa umat. Inilah ciri-ciri khas mereka yang mereka warisi dari Saiyyidil Anbiya’ Rasulillah SAW.

Kita rindukan mereka di zaman ini. Di saat ini,kita dambakan kedatangan dan kelahiran ulama’ seumpama ini. Bagi menyelamatkan kita dari kebinasaan dan penyelewengan. Mereka yang kita harapkan untuk memimpin tangan kita kepada hidayah Allah. Ayuh bersuaralah para ulama’ . Jangan hingga prinsip sudah nak tergadai kita masih mendiamkan diri. Sekurang-kurangnya keluarkanlah sepatah kata untuk menyokong anak-anak muda yang sedang berjuang mempertahankan dasar perjuangan. Kepentingan apakah yang hendak dipertahankan?. Apakah jawatan yang dijanjikan?. Ahli Majlis Perbandaran mana yang kerusinya ditawarkan?.

Kadang terasa apa yang sedang diperjuangkan ada salah dan silapnya kerana ulama’ membisu seribu bahasa. Jangan pun tidak, ya pun tidak, menyokong pun tidak, membantah pun tidak.

Saya masih teringat ucapan Kekanda saya Ustaz Nasrudi Tantawi mewakili dewan Pemuda PAS Pusat dalam ucapannya di Muktamar PAS Pusat tahun lepas di PUTIK KELANTAN. Beliau memohon agar Ulama’ mahu memberikan teguran dan nasihat kepada Pemuda agar terus istiqamah dan sentiasa berdiri di atas kebenaran dalam menggerakkan bahtera perjuangan. Dato’ Ustaz Muhammad Daud Iraqi mengiyakan akan senantiasa ‘pantau’ Pemuda, begitulah lebih kurangnya. Namun bila Pemuda sedang bersabung nyawa kerana mempertahankan prinsip jamaah dan dasar perjuangan, janji hanya tinggal janji. Tiada tangan yang dihulurkan untuk menyelamatkan walaupun dari sahabat seperjuangan. Nampaknya perlu ada perubahan dan ‘pertukaran’.

No comments: