Saturday, October 11, 2008

Penglibatan Pelajar ISLAM Dalam Perarakan BUDDHA Dibantah..

KANGAR, 10 Okt (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) hari ini menghantar memorandum membantah penglibatan pelajar-pelajar Muslim yang menyertai pancaragam sekolah mengiringi perarakan patung berhala Baddha yang diadakan Selasa lalu.
Iklan


Dalam insiden 7 Oktober lalu, seramai lapan orang pelajar Muslim Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis (SMKPs) yang terlibat sebagai ahli pancaragam telah bersama-sama mengiringi perarakan upacara keagamaan tersebut bermula dari Tokong Sayur di hadapan bangunan KWSP ke tokong di Jalan Jubli Emas antara jam 9.00 hingga 9.30 malam.


Memorandum tersebut dihantar kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perlis, Pengetua SMKPs, Exco Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah Negeri Perlis, Jafperi Othman serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Abdul malik Hussin.


Keempat-empat memorandum tersebut telah diserahkan sendiri oleh Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman dengan diiringi Exco DPPPs dan kawasan.


Dalam memorandum tersebut, DPPPs melahirkankan rasa kesal terhadap pengetua SMKPs yang melibatkan lapan orang pelajar Muslim sebagai ahli pancaragam sekolah mengiringi upacara keagamaan tersebut.


DPPPs juga memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan soal aqidah umat Islam.
"Dan pihak kami terkilan dengan ketidakprihatinan ini serta kurangnya sensitiviti pihak sekolah dalam memahami dan membezakan perkara umum dan perkara keagamaan.


"Kami membantah sekeras-kerasnya penglibatan pelajar Muslim kerana perkara ini boleh menjejaskan aqidah mereka dan telah mengguris hati ibu bapa mereka serta umat Islam yang menyaksikan perarakan itu khasnya dan seluruh penduduk Perlis yang meletakkan dasar negeri ini yang menjunjung tinggi al-Quran dan As-sunnah," kata Ustaz Ya'akub ketika membacakan intipati memrandum tersebut.
Selain itu, DPPPs turut menuntut pihak sekolah memohon maaf kepada ibu bapa atau waris para pelajar yang terlibat.


Di SMKPs, memorandum diserahkan kepada Penolong Kanan, Eniom a/l Endin kerana Pengetua sedang bercuti.


Eniom bagaimanapun menerima baik memorandum ini dan sedar akan kesilapan yang berlaku kerana membiarkan pelajar Muslim menyertai upacara terbabit.


Begitu juga, memorandum yang diserahkan kepada Timbalan Pengarah Pelajaran, Abdul Hadi Harun serta Exco Agama diterima baik dan masing-masing berjanji untuk mengambil berat tentang hal ini.
Dalam pada itu, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga telah mengeluarkan surat bantahan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis berkaitan perkara yang sama.


Beliau turut membantah sekeras-kerasnya penglibatan pelajar Muslim tersebut dan berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera memperbetulkan keadaan ini.


Iklan Teks

Berubahlah Jika Inginkan PERUBAHAN....


Salam ISLAH buat sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,
Artikel ini saya ambil dan pindahkan dari laman paksi.net....sebagai bukti bahawa kita tidak pernah merasakan bahawa kita sahaja yang terbaik dan paling berilmu...kita ambil yang baik dan kita tolak yang salah, jahat dan ada unsur penipuan!...nikmatilah keluasan ilmu Allah SWT....

“…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka…”(Ar-Ra’d, 13:11)
PERUBAHAN…ayat ini menyebut tentang perubahan. Manusia sentiasa menginginkan perubahan daripada yang kurang baik kepada lebih baik. Dalam pelayaran merealisasikan perubahan tersebut, kita sering hanya mengharapkan perubahan itu berlaku berbanding berusaha keras merealisasikannya. Jika itu benar, maka ayat ini seharusnya dianalisis untuk menyedarkan kita bahawa perubahan memerlukan tindakan daripada kita sebelum Allah mengubahnya dengan kuasa-Nya.
Dalam Surah Muhammad, 47:7, Allah berfirman:“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah, Allah akan menolong kamu dan menetapkan kedudukanmu”(Muhammad, 47:7) Jika kita meneliti ayat ini, kita akan memahami bahawa sebelum datangnya pertolongan Allah, kita terlebih dahulu harus bekerja keras menolong agama Allah. Walaupun sebenarnya Allah tidak memerlukan pertolongan kita untuk memenangkan agama-Nya, namun usaha kita menjadi salah satu sebab turunnya pertolongan Allah.
Jika dikaitkan dengan ayat ke 11 surah Ar-Ra’d tadi, kita seharusnya memahami bahawa untuk mencapai sesuatu perubahan yang baik dan disertai dengan pertolongan Allah, kita terlebih dahulu harus berusaha ke arahnya dan tidak hanya menunggu bulan jatuh ke riba. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Frasa-frasa ini cukup baik dalam menggambarkan kesungguhan kita untuk mencapai sesuatu secara serius.Jadi, selepas ini kita tidak harus hanya berkata-kata tentang perubahan dan mengharapkan sesuatu yang luar biasa terjadi tanpa diduga bahkan tanpa usaha.
Namun, kita harus bekerja keras jika inginkan perubahan itu berlaku. Perubahan yang bagaimana?Ya! Apa sahaja perubahan ke arah yang lebih baik. Meningkatkan keputusan peperiksaan, menambahbaik keadaan umat dan masyarakat, meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan, menambah ilmu pengetahuan dan macam-macam lagi.
Ingatlah sebuah hadith Nabi SAW yang mengatakan tentang seseorang yang mengatakan “Umat hari ini telah rosak”, padahal orang yang mengatakannya itulah yang paling rosak. Maka janganlah kita menjadi salah seorang daripadanya yang hanya duduk santai dan bercerita tentang kerosakan sedangkan tiada usaha langsung memperbaiki kerosakan tersebut.Wallahua’lam…

Thursday, October 9, 2008

Usrah Tarbawi Darul Islah ( sambungan) - Cintailah Perjuangan Ini !


Bismillah, walhamdulillah , wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah, wa ba’du ;


Salam ISLAH ;


Yang ketiganya, saya katakan kepada anak-anak buah Darul Islah bahawasanya sebagai seorang Mukmin, kita mesti mencintai setiap perkara yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Sufyan ibn ‘Uyainah pernah mengatakan bahawa; “Seseorang yang mendakwa dia mencintai Allah SWT, sudah barang pasti dia akan mencintai apa yang dicintai Allah SWT”.


Ketahuilah dengan yakin bahawasanya tiada yang lebih dicintai oleh Allah SWT melainkan ibadah kepada Allah SWT. Justeru Allah SWT menjadikan kita supaya kita beribadah kepadaNya. Tidak kita diciptakan melainkan untuk beribadah dan menjadikan setiap gerak geri dan turun naik nafas kita adalah kerana mengabdikan diri kepada Allah SWT.


Menjadi kewajipan kita mencintai jihad, pengorbanan dan perjuangan menegakkan agama kerana ianya adalah taqarrub kita kepada Allah SWT. Bahkan sebahagian daripada ulama’ kita menyebutkan bahawasanya pekerjaan jihad dan segala yang berkaitan dengan jihad itu adalah sebaik-baik taqarrub kepada Allah SWT. Bermula daripada jihad melawan nafsu sehinggalah jihad qital melawan musuh Islam dan musuh Allah SWT.


Para sahabah radhiyalLahu ‘anhum telah menunjukkan qudwah dan ikutan kepada sekalian ummah bahawa mereka telah menghabiskan sebahagian besar daripada kehidupan mereka dengan jihad dan pengorbanan mendidik jiwa kehambaan dan jihad melawan musuh Islam dan meluaskan rahmat Islam kepada seluruh alam. Itulah taqarrub para sahabah kepada Allah SWT melalui tarbiyyah Rasulullah SAW.


Ketahuilah sebaik-baik ma’ruf di zaman ini adalah mengajak manusia kembali kepada Allah SWT melalui al amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil munkar. Allah SWT memerintahkan kita di dalam Al Quran supaya menjadi umat yang senantiasa menjadikan kerja di atas sebagai tugas utama kehidupan kita.


“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” Surah Ali ‘Imran : 104


Kita yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi anggota kepada sebuah jamaah yang memperjuangkan Islam harus mensyukuri nikmat ini. Salah satu cara mensyukuri nikmat ini adalah mencintai perjuangan Islam dan jamaah ini dengan sepenuh hati dan jiwa raga. Di sinilah letaknya keikhlasan dalam perjuangan. Sebagaimana tuntutan keikhlasan dalam kecintaan kepada Allah dengan memberikan sepenuh perhatian dan ketaatan kepada Allah, maka begitulah jua kecintaan kepada perjuangan. Sudah pasti kita akan mencurahkan sepenuh pengorbanan dan penat lelah untuk menjayakan matlamat suci perjuangan ini.


Kita juga akan berusaha untuk mempertahankan kesatuan, keutuhan dan perpaduan di dalam jamaah yang mendokong cita-cita perjuangan mengajak manusia kepada Allah SWT. Kita akan mengelakkan perpecahan. Kita akan memberikan sepenuh wala’, kepercayaan dan ketaatan kepada pimpinan perjuangan ini kerana kecintaan kita kepada jihad dan pengorbanan.


Antara ciri-ciri golongan munafiq yang disebut Allah SWT di dalam Al Quran ialah menjual hidayah untuk membeli kesesatan. Firman Allah SWT ;


“Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.” Al Baqarah : 16


Ringkas ceritanya, mereka yang telah diberi Allah nikmat berada di dalam saf perjuangan ini, tidak seharusnya menukar ganti nikmat tersebut dengan tawaran dan habuan keduniaan yang ditawarkan kepada mereka.


Mencintai perjuangan ini bererti mencintai mereka yang telah menunjukkan kepada kita jalan kepada perjuangan ini. Mencintainya jua adalah dengan mencintai perpaduan dan kesatuan dan membenci segala anasir perpecahan yang dibawa oleh golongan yang bertuhankan akal dan nafsu serakah yang cuba memporak perandakan serta mengkucar kacirkan saf perjuangan.


Hanya dengan berdiri teguh di belakang kepimpinan ulama’ mukhlisin yang memandu jamaah dengan Al Quran dan As Sunnah adalah bukti kecintaan kepada perjuangan yang merupakan seafdhal-afdhal ibadah dan taqarrub. Jangan sama sekali menuduh mereka tanpa bukti yang terang dan sahih apatah lagi hanya dengan sangkaan jahat semata. Jika ada bukti, kemukakan bukti itu jika kamu orang yang benar.



Pengunduran YAB Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi

Oleh Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang

 PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia. Walaubagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Saya berharap agar dalam tempuh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melakasanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahaknnya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Disamping itu inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara dan tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat.

9 Oktober, 2008

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Zakat Secara Online ( Internet Banking)

Soalan; Ustaz, saya ingin bertanya mengenai hukum seseorang muslim yang membayar zakat pendapatan secara online (Internet banking)? Semoga ustaz dapat menjawab soalan saya dan semoga Allah melimpahkan rahmatnya kpd ustaz..

Jawapan;

Ada dua syarat yang disepakati ulamak yang wajib dipenuhi oleh pembayar zakat agar zakat yang dikeluarkannya sah;

Pertama; Berniat di dalam hati ketika mengeluarkan zakat bahawa harta/wang yang dikeluarkan itu adalah zakat.

Kedua; Memberi milik harta/wang zakat itu kepada orang yang berhak menerimanya secara lansung atau melalui wakil yang dipercayai dapat menyampaikan harta itu kepada orang yang berhak menerimanya. Maksud memberi milik ialah ia memisahkan harta itu dari pemilikannya dan menyerahkan harta itu untuk dimiliki oleh orang-orang yang berhak menerima zakat mengikut yang ditetapkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 60.

Melihat kepada syarat-syarat di atas, tidak menjadi halangan untuk membayar zakat secara online (Internet banking) dengan syarat hendaklah dipastikan akaun penerima adalah milik orang yang layak menerima zakat atau milik wakil yang dipercayai dapat menyalurkan zakat kepada orang yang berhak menerimanya. Selain itu, hendaklah diniatkan zakat ketika pemindahan dilakukan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 1, hlm. 363.

TG Presiden Kekal di MARANG & RHU RENDANG

Salam ISLAH,

Mahkamah Pilihanraya di Kuala Terengganu semalam menolak dengan kos petisyen pilihanraya untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kerusi parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang yang dimenangi kedua-duanya oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Alasan bahawa terdapat kekacauan semasa proses pilihan raya kononnya oleh orang-orang PAS tidak dapat meyakinkan mahkamah.

Kekallah rakyat Marang dan Rhu Rendang terus diwakili oleh ulamak. Allahu Akbar.

Wednesday, October 8, 2008

Pak Lah Undur Mac 2009 - Tidak Pertahan Presiden UMNO



Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan penting yang ditunggu-tunggu - melepaskan jawatan nombor satu Umno enam bulan lagi apabila tidak bersedia bertanding dalam pemilihan parti itu Mac tahun depan.


Beliau juga akan melepaskan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada Mac apabila Datuk Seri Najib Razak dijangka dipilih sebagai presiden baru parti itu.


Keputusan perdana menteri itu yang diumumkan dalam taklimat Dewan Tertinggi BN petang ini sudah dijangka sejak keputusan terbaru mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) bulan lepas.


Abdullah pada awalnya dijadual meninggalkan jawatan nombor teratas Umno, dan perdana menteri, pada pertengahan 2010.


Mesyuarat BN itu yang bermula selepas jam 3.30 petang masih lagi berlangsung ketika ini.


Sementara itu, sekumpulan penyokong Abdullah berhimpun di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, tempat berlangsung mesyuarat berkenaan.


Mereka membawa kain rentang yang menggesa Abdullah untuk terus memegang jawatan berkenaan sehingga 2010 seperti dijadual pada mulanya.


Kain rentang tersebut berbunyi: 'Hormati peralihan kuasa, elak perpecahan lagi', dan 'Pak Lah, teruskan perjuangan'. Mereka turut melaungkan 'Hidup Pak Lah' dan 'Pak Lah presiden, Najib timbalan'.



Sumber ; malaysiakini
"

Usrah Tarbawi Darul Islah - 6/10/2008


BismilLah, wal hamdulilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina RasulilLah, wa ba’du:


Salam ISLAH ;


Sebagaimana biasa, setiap Isnin saya memimpin Usrah Tarbawi Darul Islah. Saban minggu, inilah kebiasaan saya dan sahabat-sahabat Darul Islah terkecuali keadaan dan tuntutan yang sanagt mendesak dan perlu diberikan keutamaan. Saya sangat mengambil berat soal pentarbiyahan kerana penyelewengan yang berlaku dalam perjuangan Islam masakini ialah kerana meletakkan siyasah di hadapan tarbiyyah. Lebih kronik di saat ini adalah bilamana kepentingan siyasah diletakkan di hadapan kepentingan tuntutan aqidah.


Pertamanya, saya katakan kepada anak-anak buah di hadapan saya bahawa kerja buat politik yang tujuannya bukan untuk mendaulatkan Islam adalah sia-sia dan jauh dari keredhaan Allah SWT. Matlamat, objektif, pengorbanan , masa, tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan dalam menjayakan cita-cita politik tidak akan mendapat nilaian pahala di sisi Allah jika sekiranya tidak bertujuan untuk meninggikan kalimah Allah SWT.


Abu Musa al Asy’ari menceritakan bahawa ; seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW lalu bertanya kepada Baginda SAW : “Orang yang berjihad kerana harta rampasan perang, orang yang berjihad kerana kerana mahukan kemasyhuran dan orang yang berjihad kerana riya’, maka siapakan yang dikira berperang pada jalan Allah SWT?”. Sabda Rasulullah SAW : “ Barangsiapa yang berjihad supaya kalimah Allah (agama Islam) itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah SWT”. – hadith muttafaqun ‘alaih.


Demikianlah penegasan Rasulullah SAW dalam memberikan panduan dan pedoman agar mereka yang sedang melagang perjuangan tidak akan tergelincir dari jalan yang lurus yang diredhai Allah. Menjadi kewajipan kita untuk memastikan Islam terpelihara dan terjulang kemuliaanya dengan setiap kerja buat politik yang kita lakukan.


Kedua, saya nyatakan bahawa betapa tingginya kedudukan adab dan akhlak dalam Islam. Dalam Al Quran Allah SWT telah mengarahkan setiap umat beriman supaya menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan tauladan dalam setiap inci kehidupan mereka. Firman Allah SWT :


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” surah al Ahzab : 21


Ayat Al Quran di atas menyebutkan syarat menjadi manusia yang mengharapkan redha Allah, yang beriman dengan hari akhirat dan yang senantiasa mengingati Allah di saat senang atau susah ialah dengan menjadikan Rasulullah sebagai ikutan dan tauladan dan setiap gerak geri, tindakan, perbuatan, keputusan dan percakapan.


Allah SWT juga memuji Rasulullah di dalam Al Quran pada ayat dalam surah Al Qalam bahawa Rasulullah SAW adalah pemilik akhlak dan adab yang agung. Demikian tempiasnya pujian Allah SWT kepada pemilik akhlak mulia dan yang mengikuti akhlak agung Rasulullah SAW.


Di dalam hadith yang masyhur, Rasulullah telah menyatakan bahawa Baginda diutuskan sebagai ‘penyempurna’ kepada kemuliaan akhlak. Umum mengetahui dan sejarah juga mencatatkan bahawa Quraish sangat terkenal sebagai ashraful ‘arab (arab yang paling mulia). Mereka terkenal dengan kemuliaan, kemurahan , amat menjaga maruah dan pelbagai sifat baik yang lain. Namun, Rasulullah SAW telah diutuskan kepada di kalangan mereka dan kepada manusia sekaliannya untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak mereka. Ini adalah kerana kemuliaan akhlak dan adab yang tidak diasaskan kepada keimanan dan tauhid langsung tiada nilaian di sisi Allah SWT. Sebagaimana kita yang tidak pernah kacau orang, tak pernah umpat orang, tidak pernah tipu orang tetapi tidak menunaikan solat dan tidak berpuasa atau tidak menutup aurat, maka segala kebaikan yang lain menjadi hancur binasa tiada nilai di sisi Allah. Ini adalah kerana asas setiap sesuatu adalah iman. Hidup kita mesti bermula dengan iman dan berakhir dengan iman. Mesti ikut tuhan, jangan ikut perasaan.


Bertuahnya kita menjadi pendokong perjuangan Islam. Allah mudahkan kita duduk di bawah kepimpinan ulama’ mukhlisin yang senantiasa tanpa jemu mengajak kita kepada Allah, menyeru kita supaya senantiasa mentaati perintah Allah dan menjaga hubungan dengan Allah SWT.


Bagaimana pula dengan mereka yang cuba membelakangi ulama’?. Kemudian berlagak pandai melebihi ulama’. Meragui kemampuan dan kewibawaan ulama’. Menuduh pula ulama’ bersembunyi di sebalik serban dan jubah untuk mengeluarkan fatwa keliru dan sesat untuk mengkhianati perjuangan. Lebih dahsyat lagi ada yang cuba membayangkan melalui tulisan dalam blognya bahawa ulama’ lah yang terhegeh-hegeh mahu mengheret jamaah Islam ini kepada kebinasaan dan kesesatan lalu menjadi pengkhianat kepada perjuangan…..bersambung insya Allah.



Saturday, October 4, 2008

Kita Pun Mesti Ikut Al Quran!

BismilLah, walhamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina wa Imamina Muhammad Ibn Abdillah, wa ‘ala alihi wa ashaabihi waman tabi’ahum ila yaumiddiien, wa ba’du ;

Salam ISLAH dan Salam Eid Fitri kepada sahabat sekalian,

Saya baru sahaja memulakan agenda ziarah ukhuwwah di Eid Fitri di Perlis setelah hilang kepenatan bermusafir jauh dari Melaka-Kuala Lumpur dan akhirnya tiba di Perlis petang semalam. Syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan keselamatan dan kemudahan di dalam perjalanan saya. Kepulangan saya disambut senyum riang isteri tercinta dan saya merehatkan diri sepenuhnya untuk melegakan demam yang saya alami sejak minggu akhir Ramadhan dan alhamdulillah, pagi tadi saya bangun dengan kesegaran tubuh kurniaan Ilahi.

Tengahari tadi saya berkesempatan untuk bersama YB Ustaz Hj Hashim Jasin di majlis rumah terbuka Aidil Fitri anjuran bersama beliau dan Dato’ Dr Harun Din di Sanglang. Saya duduk disebelah Dr Harun Din semasa menjamah jamuan nasi daging dan sup tulang yang dihidangkan kepada tetamu. Saya sempat bisikkan ke telinga Timbalan Mursyid Am tentang tulisan YB Khalid Samad dalam blognya yang memberi komen tentang penggunaan ayat 61 dan 62 surah Al Anfal oleh Majlis Syura dan TGHH dalam meneruskan usaha muqabalah. Dr Harun mengangguk sambil menyebut ; “Ana telah terima sms tentang itu”. Mudah-mudahan Majlis Syura Ulama akan membersihkan saki-baki pimpinan PAS yang masih merasakan diri mereka lebih pandai dari ulama dalam memandu perjuangan Islam.

MARI BETULKAN AQIDAH

Mari kita sama-sama membetulkan aqidah dan keimanan kita terhadap seluruh tuntutan ajaran Islam dengan kedatangan Syawal kali ini. Oleh kerana kita selalu tunding jari kepada UMNO dalam masalah rosak aqidah, maka terkadang kita dalam PAS ni merasakan bahawa kita semua adalah ma’sum daripada kerosakan aqidah. Berjuang Islampun ada tuntutan aqidahnya. Ini semua adalah kerana perjuangan PAS ada kaitan dengan Al Quran dan Al Hadis. Maka sudah barang tentulah ianya tidak boleh sama sekali lari dari tuntutan-tuntutan aqidah.

Penggabungan diri dengan PAS juga adalah penggabungan aqidah, intima’ al aqidah. Bukan sahaja penggabungan siyasah semata-mata. Jangan sampai kerana nak raikan maslahah siyasah maka tuntutan aqidah diabaikan.

Sewaktu datangnya wakil Quraisyh menawarkan perdamaian bahkan kerjasama dan pertolongan untuk dakwah Rasul dan perjuangan mendaulatkan Islam, Rasulullah telah menolak tawaran tersebut walaupun tawaran itu dari sudut logiknya mempunyai maslahah dan kepentingan terhadap perkembangan Islam dan masa depan dakwah yang terang benderang. Hanya satu syarat ; sembah Allah tahun ini, tahun depan sembah Laata dan ‘Uzza. Imbuhannya ; hasil mahsul perdagangan selama setahun Makkah akan dibahagi dua. Kedamaian dan keamanan untuk dakwah Islam juga terjamin. Bolehlah dalam masa setahun, usaha dakwah Islam dikembangkan dengan sebebas-bebasnya. Tapi Rasul yang agung telah menolak disamping turunnya dokongan Allah dengan terwahyunya Surah Al Kafirun :

“Katakanlah: "Hai orang-orang kafir,Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang Aku sembah. Dan Aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang Aku sembah.Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku."

Surah Al Kaafirun : 1-6
ALLAH YANG SANGAT MENGETAHUI

Maha Suci Allah yang telah menurunkan Al Quran sebagai panduan. Benarlah Al Quran itu sesuai sepanjang zaman, di setiap tempat dan ketika. Cuba perhatikan sebab turunnya ayat dan kandungan ayat serta praktikalnya dengan apa yang sedang kita khilafkan di saat ini. Rujuklah dengan ulama’ dan tafsir yang mu’tabar, anda akan mendapati huraiannya sama sahaja. Seruan Allah agar meletakkan Tauhid dan tuntutan Aqidah melebihi segalanya. Kepentingan Aqidah wajib dipelihara melebihi maslahah siyasah dan politik semasa. Saya juga tidak mahu dituduh sebagai pemutar belit ayat Allah. Dan saya juga tidak mahu rosak aqidah dan menjadi kafir dek kerana pandai-pandai menafsirkan ayat Allah SWT dan mentakwilkan ayat Allah dengan tiada ilmu!

Aidul Fiti bermakna kembali kepada fitrah. Fitrah kita adalah agama. Kita takkan dapat memisahkan diri dari agama. Sebagaimana lagu dan irama, tidak akan boleh terpisah. Demi memelihara fitrah aqidah Islamiyah yang sahih, apa jua kerugian dan halangan mesti didepani dengan baik. Membujur lalu melintang patah. Ini ruh dan jiwa surah Al Kafirun. Dalam khutbah hari raya baru-baru ini, kita hentam UMNO yang sambut Aidul Fitri tapi aqidah tidak betul sebab tolak Quran. Mari kita ajak diri kita pula terima Al Quran sepenuhnya. Jika tidak, samalah kita macam UMNO yang tolak Quran.

Ya Allah, beri petunjuk pada kami dengan hidayah Al Quran, tolong angkat darjat kami dengan kemuliaan Al Quran, tolong ampun dosa-dosa kami yang banyak dengan tilawatil Quran, syafaatkan kami di akhirat dengan berkat Al Quran, Ya Zal Fadhli Wal Ehsan.


Thursday, October 2, 2008

Kembali Kepada Fithrah

BismilLah, wassolatu wassalamu ‘a;a Saiyyidina RasulilLah, wa ‘ala alihi wa ashaabihi wa man nasarahu waman walaahu, amma ba’du :

Salam ISLAH ;

Kita memuji Allah SWT dengan pujian yang paling layak untuk Pencipta Sekalian Alam kerana dengan kekuatan dan taufiq hidayah Allah SWT jua kita dapat menyelesaikan ibadah puasa dan melakukan banyak amal soleh di Bulan Ramadhan yang baru sahaja meninggalkan kita. Pesan para ulama’ muslihin, hendaklah kita merasakan bahawa amalan soleh yang dapat kita laksanakan sepanjang hidup kita itu adalah kerana kurnia dari Allah jua, bukannya kerana kekuatan kita semata. Tanpa taufiq Allah SWT, sekali ruku’ pun kita takkan dapat lakukan, sepatah subhanalLah pun takkan dapat kita ucapkan. Dengan merasakan amal yang kita lakukan itu adalah kurnia Allah, maka dengan sendirinya dapat mengelakkan kita merasa ‘ujub dengan diri sendiri.

ALLAH SEBAGAI MATLAMAT

Sempena menjelmanya Eidul Fitri tahun ini, marilah kita mengukuhkan istiqamah kita untuk memburu TAQWA sepanjang hayat kita hingga kita kembali bertemu Allah SWT. Setelah sebulan bekerja keras melalui setiap langkah membersihkan jiwa dan tazkiyah an nafs di sepanjang Ramadhan maka inilah masanya kita raikan kemenangan kita dan kembali kepada fitrah asal kejadian dan penciptaan kita sebagai makhluk Allah yang paling utama. Kembali kepada fitrah bermakna mengambalikan hidup sebagai hamba kepada Allah dalam kehidupan dan mengembalikan rasa ‘bertuhan’ dalam kehidupan kita. Marilah kita jadikan Allah sebagai matlamat kehidupan kita terutamanya maksud dan objektif perjuangan kita di dalam jamaah Islam yang sedang kita dokongi saat ini. Jangan kita lari dan menyeleweng dari matlamat ini. Inilah yang menjadi sebab utama kepada ketegasan prinsip perjuangan Islam sepanjang zaman. Sejak daripada Rasulullah SAW menolak tawaran Quraish dan sejak turunnya Surah Al Kafirun kepada Baginda SAW.

Inilah juga yang menjadi sebab ketegasan Tuan Guru Presiden PAS dalam kenyataan rasminya bahawa PAS sama sekali tidak akan menyertai Kerajaan Baru yang akan ditubuhkan oleh DS Anwar Ibrahim jika sekiranya tiada jaminan terhadap kekuasaan dan ketuanan Islam.

Datuk Seri Anwar telah memberikan jaminan bahawa Kerajaan PR yang akan ditubuhkan adalah kerajaan yang majoritinya Islam. Saya sangat berharap janji tersebut akan dikotakan bukan sekadar untuk dikatakan. Saya berdoa untuk itu. Saya juga berharap takkan ada sahabat-sahabat yang akan mencadangkan saya ‘dipecat’ dari PAS kerana kenyataan saya ini. Jangan kerana ‘terlalu kasih’ kepada Anwar sehingga sanggup sembelih pimpinan sendiri.

Saya ucapkan syabas kepada penegasan Tuan Guru Presiden yang saya rasa diulang beberapa kali mutakhir ini bahawa PAS berkehendakkan Kerajaan Ketuanan Islam. Kata TGHH, PAS mahu kerajaan baru dikuasai Islam. PAS akan tarik diri terang-terang jika kerajaan baru tiada majority Islam. Inilah perjuangan PAS, tidak pernah tertarik dengan tawaran kuasa dan pangkat melainkan untuk mencari keredhaan Allah SWT. Redha Allah adalah ‘nombor satu’ dalam PAS. Menjatuhkan BN adalah untuk mengapai redha Ilahi, namun tiada sebarang erti jika Islam sama seperti zaman BN dalam kerajaan baru PR. Biarlah buruk sangka ini menjadi ‘sempadan’.

Tuan Guru Presiden juga menegaskan bahawa kerajaan yang akan ditubuhkan itu adalah kerajaan yang kukuh dan bukannnya kerajaan yang lemah. Ia mesti diwakili oleh wakil rakyat yang konsisten (istiqamah) dan bukannya yang penakut atau pak turut. Bagaimana perubahan boleh dilakukan jika wakil rakyat kerajaan baru tidak konsisten dan penakut. Perubahan itu hanya akan berlaku sementara sahaja.

Dalam ertikata yang lain, kita mahukan kerajaan yang beriman dan bertaqwa serta wakil rakyat yang mempunyai iman dan prinsip perjuangan yang jitu. Inilah wajah kerajaan yang PAS mahukan. Memelihara prinsip keadilan adalah merupakan sikap dan sifat pimpinan kerajaan yang istiqamah dan berani. Berkata benar walaupun pahit adalah perhiasan mereka. Semua ini mesti datang dari latar belakang yang ‘jelas’ dan telah teruji. Adalah mustahil ‘nangka’ akan berbuahkan ‘durian’.

Moga dengan kedatangan Eidul Fitri tahun ini. Kita akan mengembalikan asas dan perjalanan jamaah kita ini. Perbezaan pendapat bukanlah sesuatu yang salah dalam jamaah kita. Bahkan khilaf bukannya perbalahan. Khilaf membawa rahmah. Khilaf berlaku di antara yang ‘benar’ dan yang ‘paling benar’, bukannya antara yang ‘betul’ dan yang ‘salah’. Mungkin di saat ini, keputusan Majlis Syura dan pendirian Presiden mestilah ditaati kerana Syura adalah paling benar jika ianya berdiri di atas landasan wahyu Ilahi. Fahamilah.