Thursday, October 9, 2008

Zakat Secara Online ( Internet Banking)

Soalan; Ustaz, saya ingin bertanya mengenai hukum seseorang muslim yang membayar zakat pendapatan secara online (Internet banking)? Semoga ustaz dapat menjawab soalan saya dan semoga Allah melimpahkan rahmatnya kpd ustaz..

Jawapan;

Ada dua syarat yang disepakati ulamak yang wajib dipenuhi oleh pembayar zakat agar zakat yang dikeluarkannya sah;

Pertama; Berniat di dalam hati ketika mengeluarkan zakat bahawa harta/wang yang dikeluarkan itu adalah zakat.

Kedua; Memberi milik harta/wang zakat itu kepada orang yang berhak menerimanya secara lansung atau melalui wakil yang dipercayai dapat menyampaikan harta itu kepada orang yang berhak menerimanya. Maksud memberi milik ialah ia memisahkan harta itu dari pemilikannya dan menyerahkan harta itu untuk dimiliki oleh orang-orang yang berhak menerima zakat mengikut yang ditetapkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 60.

Melihat kepada syarat-syarat di atas, tidak menjadi halangan untuk membayar zakat secara online (Internet banking) dengan syarat hendaklah dipastikan akaun penerima adalah milik orang yang layak menerima zakat atau milik wakil yang dipercayai dapat menyalurkan zakat kepada orang yang berhak menerimanya. Selain itu, hendaklah diniatkan zakat ketika pemindahan dilakukan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 1, hlm. 363.

No comments: