Marilah kita manafaatkan artikel yang terlalu istimewa ini - paksi.net
"Kalau sekiranya jalan yang kamu lalui itu dekat dan perjalanan yang kamu tempuhi mendatangkan banyak keuntungan, niscaya mereka berbondong-bondong mengikutimu, tetapi (jalan dakwah) itu penuh dengan kesusahan…" Surah At Taubah ayat 42.
Jalan dakwah adalah jalan yang panjang dan penuh dengan halangan, rintangan serta ujian. Ianya adalah jalan yang hanya dapat dilalui oleh orang-orang yang dipilih oleh Allah sahaja.
Jalan dakwah hanya mampu dilalui oleh mereka yang mempunyai kekuatan lebih daripada sekedar manusia biasa, kerana ianya membawa amanah Allah yang Maha perkasa. Oleh itu para ulama memberikan karakteristik dan ianya merupakan tabiat jalan dakwah iaitu :
1. Jalan yang panjang. 2. Penuh dengan rintangan. 3. Mempunyai beban yang berat. 4. Hanya sedikit sahaja yang mampu memikulnya.
Kerana tabiatnya yang sedemikian, maka jalan dakwah mempunyai banyak permasalahan, yang ianya menjadi batu ujian bagi sesiapa sahaja yang memikulnya. Diantara permasalahan yang wujud di medan dakwah adalah :
1. Lemahnya Kefahaman.
Islam adalah dien yang syumul, universal. Kerana itu sesiapa sahaja aktivis dakwah mestilah mempunyai persedian yang mencukupi terutamanya dari segi ilmu dan kefahaman tentang Islam. Bagi menjamin islam sebagai agama yang menyeluruh dan universal Allah telah melengkapkan islam dengan syariat dan manhaj, seperti firman Allah SWT :
"… Dan bagi tiap-tiap ummat, kami berikan kepada mereka syariat (panduan) dan minhaj (metod bagi mentathbik syariat)… " surah Al Maidah ayat 48.
Oleh itu setiap aktivis dakwah dituntut bukan hanya mempunyai kefahaman syariat sahaja, tetapi juga perlu untuk memiliki kefahaman manhaj. Kefahaman yang mencukupi tentang syariat dan manhaj dakwah akan memberikan kesan kepada tindakan dan sikap para duat yang sesuai dan munasabah di dalam memperbaiki ummat. Sabda Rasul SAW :
"Jelaskan kepada manusia (Islam ini) sesuai dengan peringkat intelektualiti mereka".
Kefahaman terhadap manhaj yang jelas akan menjadikan duat atau pimpinan dakwah mampu mengatur, mengurus, mengendalikan dan mengawal dakwah sesuai tuntutan syariat serta keadaan realiti masyarakat. Mereka mampu meletakkan halatuju, marhalah, kedudukan serta masa depan dakwahnya. Mereka bijak di dalam memanfaatkan potensi ahli-ahli atau mad'u bagi kepentingan dakwahnya. Mereka tidak mudah diombang-ambingkan keadaan semasa dengan mengikut trend yang terjadi, tetapi ianya sentiasa berpegang kepada tuntutan syariat dan manhaj.
Malangnya, di dalam realiti kehidupan dakwah hari ini, aspek kefahaman bukan menjadi perkara yang utama. Sering di dapati para duat tidak memiliki kefahaman yang mencukupi sebagai bekalan dakwah mereka. Sebahagian besar mereka, mempunyai kefahaman syariat yang mencukupi tetapi ia tidak mempunyai kefahaman manhaj yang mencukupi. Banyak diantara duat yang kebingungan manakala ia mendapat soalan : hendak kemana kita? di mana kita pada masa ini dalam percaturan politik dunia? macamana cara membina bangunan dakwah ini agar ianya seperti yang pernah dibangun oleh Rasul SAW?
Soalan-soalan di atas amatlah sukar untuk dijawab sebab, kebanyakan duat berdakwah menggunakan pendekatan ceramah-ceramah terutamanya dengan topik asas-asas fardhu ain. Para duat mampu memukau mad'u dengan hujah-hujah yang begitu hebat, tetapi kebanyakan mereka idak tahu halatuju dakwahnya. Mereka pergi dari satu surau ke satu surau yang lain, dari satu majlis ke majlis ilmu yang lain. Setiap perubahan yang berlaku terhadap mad'unya tidak mereka hiraukan. Para duat menjadikan mad'u sebagai murid layaknya murid sekolah, dan ikatan antara guru dengan murid terhad dalam masalah ilmu.
Bagi para pimpinan dakwah pula, ramai yang menganggap bahawa gerakan dakwah adalah organisasi moden yang tak berbeza dengan pertubuhan kebajikan atau kelab pelajar. Mereka memimpin gerakan dakwah dengan pendekatan syarikat bisnes atau seumpamanya. Di dalam gerakan dakwah tidak ditumbuhkan suasana ukhuwah, tarbiyah serta hubungan hati, tetapi ia sekedar hubungan pimpinan dan anak buah. Pimpinan tidak mampu memberikan panduan, arahan (taujih), bimbingan (irsyadat) atau bahan tarbiyah yang dapat membina hubungan iman, taqwa dan ukhuwah diantara semua ahlinya. Hubungan yang sedia ada adalah hubungan yang kering, tak ada unsur taaruf, tafahum serta takaful.
Dalam pengalaman di beberapa tempat, pimpinan dakwah bertindak seperti bos yang tidak boleh di celah kekurangannya. Sesetengah di antara mereka pandai bermain politik agar kekuasaan mereka tidak tergugat. Oleh itu sering terjadi proses pelaksanaan dakwah yang pelik dan ganjil boleh terjadi. Mereka mengaku bersistem, walaupun pada kenyataannya tak ada sistem. Dalam pandangan mereka : tak ada sistem itulah sistem. Mereka sengaja membina gerakan tanpa sistem agar mudah mempolitikkan ahli dakwah. Tarbiyah dijalankan dengan pendekatan manhaj yang ganjil dan ramai pimpinan yang tidak melaksanakan tarbiyah. Pimpinan merasa sudah lulus (graduate) dari tarbiyah, sehingga tidak perlu lagi untuk mendatangi program tarbiyah kerana merasa sibuk mengurus perjalanan organisasi yang lebih besar kesannya terhadap dakwah.
Kefahaman terhadap manhaj dakwah yang universal dan sempurna memberikan kesan lahirnya thiqah di kalangan ahli. Sebaliknya, kefahaman yang lemah akan melahirkan konflik dalaman di dalam gerakan dakwah itu sendiri.
Dakwah sedemikian akan menjadi tempat berkumpulnya orang-orang yang mempunyai kepentingan peribadi atau kumpulannya. Pada masa seperti itu, terjadi persaingan tidak sihat di dalam membina gerakan dakwahnya. Mereka saling jatuh menjatuhkan satu dengan lainnya.
Pimpinan sedemikian ia akan sibuk mengurus perkara-perkara remeh, sedangkan amanah dakwah yang begitu besar tidak mendapat perhatian yang mencukupi. Mereka mengendalikan dakwah tanpa sikap yang jelas dan kukuh, tetapi mengikut kehendak nafsu tanpa memperdulikan keadaan dalaman. Mereka tertipu dengan ramainya ahli yang tidak berkualiti sehingga mengukur kejayaan dakwah menggunakan kaedah-kaedah materialistik. Biasanya pimpinan sedemikian bukanlah jenis manusia yang ikhlas bagi menjalankan dakwah tetapi mereka mengambil kesempatan untuk menguasai serta mempolitikkan ketaatan ahli bagi mencapai target-target yang telah mereka tetapkan tanpa memperdulikan kesejahteraan mad'u atau ahli. Para mad'u atau ahli diperah tenaga dan potensinya bagi memenuhi keinginan-keinginan segelintir pimpinan di dalam gerakan dakwah.
Firman Allah : "Wahai nabi kobarkanlah semangat mukmin untuk berperang, jika kamu mempunyai 20 orang yang sabar, kamu akan mengalahkan 200 orang …. " surah Al Anfal ayat 65.
Ayat di atas memberikan gambaran mengenai perlunya membangun kuantiti (20 orang mengalahkan 200 orang) dan kualiti (sabar). Oleh itu, gerakan dakwah di tuntut untuk membina ahli-ahli (kader) yang meningkat dari segi pertumbuhan jumlah (kuantiti) mahupun kualitinya.
Al Quran telah memberikan pengajaran kepada kita melalui firman Allah SWT :
"Dan hendaklah ada (segolongan) ummat di antara kamu yang mengajak kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan mereka itulah yang berjaya." surah Ali Imran ayat 104.
Ayat di atas mengajarkan kepada kita mengenai manhaj dakwah yang berkenaan dengan pembinaan dalaman sehingga gerakan dakwah mempunyai pelapis atau pewaris kepimpinannya. Di sini pula pentingnya tarbiyah dijalankan dengan berkesan.
Pelaksanaan tarbiyah yang kemas serta mempunyai panduan manhaj yang jelas akan mampu melahirkan generasi yang berkebolehan serta mempunyai iman yang mantap. Generasi yang ditarbiyah seperti ini akan sentiasa menghidupkan hari-harinya dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT, beribadah serta berukhuwah diantara sesama mereka. Mereka mampu membina hubungan yang mesra dengan sahabat, para duat dan masyarakat dengan menggunakan kaedah-kaedah sunnah Rasul SAW sebagai manhaj di dalam bermuamalah dengan manusia baik muslim mahupun yang non muslim.
Kejelasan manhaj yang ianya didedahkan melalui tarbiyah akan mampu membimbing ahli di dalam membina potensi dan kemampuannya bagi berinteraksi dengan al Quran, as Sunnah dan masyarakat. Sebaliknya manakala para duat dan pimpinan dakwah tidak mempunyai kefahaman manhaj atau merasa tidak memerlukan tarbiyah, maka mereka akan mudah bertindak menyeleweng dari jalan dakwah yang sahih.
Kefahaman mengenai jalan dakwah merupakan satu kemestian di dalam berdakwah agar perjalanannya sentiasa ashalah (murni).
Bersambung……….
Ditulis berdasarkan pengalaman dakwah, mudah-mudahan ia menjadi I'tibar bagi orang-orang yang sentiasa mengeluarkan peluh, potensi dan tenaganya bagi menjayakan dakwah.
No comments:
Post a Comment