Monday, October 13, 2008

Siapa Bakal Mufti Perlis...


Salam ISLAH,


Dalam sembang-sembang saya dengan masyarakat kampung di Perlis, saya dapati masih ramai yang belum tahu bahawa Mufti Perlis sudah meletak jawatan ( dalam akhbar The Star) ataupun bersara awal (bahasa yang Dr MAZA guna) daripada kontrak sebenar beliau yang sepatutnya tamat tahun hadapan. Ramai yang suka dia berhenti daripada yang suka beliau meneruskan tugas sebagai Mufti Perlis. Orang Perlis sangat terbuka dalam banyak hal. Orang Perlis terdedah dengan fiqh 4 mazhab disebabkan Perlis tidak berpegang dengan mana-mana mazhab fiqh. Orang Perlis memang pandai hadith sebab mereka diajar supaya menggunakan dan beramal dengan hadith sahih dalam apa jua perkara. Dalam melantik mufti pun, orang Perlis sangat terbuka. Tidak semstinya orang Perlis jadi mufti, orang luar pun tidak mengapa asalkan mereka tidak cenderung kepada mana-mana mazhab fiqh dan sanggup pertahankan fahaman Sunnah Perlis. Dr Asri sendiri orang Pulau Pinang, bukan orang Perlis. Begitulah keterbukaan Perlis.


Bukannya tidak ada orang Perlis yang layak untuk menjawat jawatan mufti. Perlis ada Dr Harun Din, Dr Abdul Aziz Hanafi ( Dekan Kuliyah Syariah Kolej Universiti Insaniah sekarang), Ustaz Ahmad Ali (pakar Usul Fiqh), Dr Mohd Arshad Taib (bekas Prof Madya UiTM) dan banyak lagi. Ustaz Ahmad Adnan Fadhil, pengendali blog ilmudanulamak.blogspot juga layak untuk menjadi Mufti Perlis kerana masih muda dan berilmu pula. Pendek kata, banyak orang Perlis yang layak menjadi mufti.


Bagi saya, siapa pun yang bakal duduk di kerusi mufti yang baru dikosongkan itu tidaklah penting. Yang pentingnya mesti kaya dengan ilmu dan pengalaman. Mesti ‘mesra’ khilafiyah dan tegas dengan prinsip-prinsip syara’. Biar lembut seperti al Marhum Dato’ Hj Ishak Baharom pun tidak mengapa asalkan tegas menegakkan hukum Allah SWT walau hilang jawatan sekalipun. Mufti mesti istiqamah dengan prinsip aqidah dan syariat Islam selain kaya dengan ilmu.


Pengalaman juga sangat penting. Jangan hanya pentingkan mencipta rekod untuk melantik mufti termuda, tercerdik, tersohor dan sebagainya. Yang sangat penting ialah mufti yang tidak hanya terperuk di dalam bilik pejabat dan langsung tidak pernah terjuan ke jantung hati masyarakat untuk melihat sendiri keadaan masyarakat dan kemampuan intelektual masyarakat untuk mengukur kemampuan mereka menerima fatwa dan ilmu yang mufti cuba berikan kepada umat. Jangan sampai mufti hanya syok sendiri dengan fatwa mereka tanpa menyedari bahawa masyarakat semakin dihimpit kekeliruan dan bertambah parah barah perpecahan yang berlaku.


Orang muda memang bersemangat. Orang tua memang nampak slow dan lambat bertindak kekadangnya. Namun semangat tanpa panduan hikmah akan menjurus kepada kemusnahan. Berani memang bagus tetapi jangan berani membabi buta sehingga jadi bodoh. Orang tua memang slow tetapi cermat. Setiap langkah ada perkiraannya. Lambat dan cermat bukannya takut, cuma setiap langkah ada pertimbangan dan ukurannya. Mudah ceritanya, kena himpunkan antara ‘hikmatusyuyukh’ dan ‘hamasah asy syabab’ (hikmah orang tua dan semangat orang muda).


Orang muda yang berilmu tinggi tidak semestinya kaya dengan pengalaman. Kalau boleh, nak lantik mufti ni mestilah di usia pertengahan. Biar banyak sikit pengalaman yang dilaluinya. Biar banyak orang yang ditemuinya. Biar banyak masalah umat yang telah diharunginya. Biar dia tahu, antara teori ilmu dan praktikalnya. Insya Allah orang Perlis akan lebih hebat dan mantap ilmu dan imannya selepas ini.


Desas desus mengatakan Tuanku Raja Perlis mahukan Dato’ Abu Hassan Din balik menjadi Mufti Perlis. Tidak kira siapa sahaja, Mufti mesti pertahankan Aqidah dan Syariat Islam. Jangan jadi pengampu pemerintah dan benarkan semua tindakan salah pemerintah. Menegur pemimpin bukan bererti mendurhakai mereka, sebaliknya sebagai tanda kasih dan sayangkan pemerintahlah, kesilapan mesti ditegur. Jangan sampai seperi pendeta dan rahib nasrani yang menghalalkan apa yang telah diharamkan Allah SWT. Menajdi kewajipan Mufti betulkan aqidah umat. Menjadi tanggungjawab mereka untuk letak Islam dihadapan mereka. Kepentingan Islam mesti menjadi keutamaan walau hilang pangkat, jawatan dan nyawa sekalipun. Contohilah ulamak silam, salaf as soleh umat ini. Yang sanggup dipenjara, didera dan dipotong leher demi memelihara kesucian Islam dan kemuliaan agama Allah SWT.



1 comment:

perfectwater75 said...

As-Salam!
Salam Perkenalan,

Harapan saya sesiapapun yang menjadi mufti perlis selepas ini mestilah seorang yang mantap dan berani mempertahankan Islam.

Khabar Ustaz Abu Hassan akan menjadi Mufti sudah kedengaran lebih dari 5 bulan sebelum ini. Jadi janganlah ada unsur politik mengatasi institusi kemuftian Perlis yang dilihat menjadi sumber rujukan banyak pihak dewasa ini.

Tiada siapa yang dapat menafikan sumbangan Dr.Asri sebagai Mufti, tak semestinya orang Perlis yang menjadi mufti, bagi saya tiada sebarang nas dalam Al-Quran yang menyatakan perlu orang negeri atau daerah sendiri memegang amanah mufti. Tulisan ustaz menunjukkan seolah-olah wujud unsur tidak gemar adanya orang dari negeri lain yang menjadi mufti di negeri Perlis ini. Apakah ada tersebut syarat ini dalam mana-mana kitab tersohor? Saya tidak menafikan kesarjanaan tokoh dan ilmuwan yang ustaz berikan tetapi sekurang-kurangnya saya rasa tak perlu disebut soal kenegerian ini untuk mengukuhkan hujah ustaz...

Syukran!