Wednesday, October 22, 2008

RASUAH MEMANG BUDAYA UMNO - RAIS YATIM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh) - Jika rasuah politik terus berleluasa di dalam Umno, lebih baik diadakan sistem tender untuk menjadi ketua, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau bagaimanapun berharap pemilihan Umno pada Mac depan tidak dijadikan seperti tender terbuka dengan pembida tertinggi mendapat jawatan dalam parti melalui amalan politik wang.

"Politik wang atau korupsi politik tidak selesai sebab ia sudah menjadi budaya di dalam Umno sekian lama. Cuma tak ramai yang mahu mengaku perkara ini berjalan. Lebih baik kita mengaku dan rakyat menghukum kita bersama-sama supaya orang ramai dapat melihat parti politik ini bersih dari amalan rasuah ataupun tumbuk rusuk dan penggunaan wang secara berleluasa.

"Saya kira mereka yang menyumbang (politik wang), kalau begini lebih baik Umno itu adakan sistem tender, siapa yang lebih tinggi dia jadi ketua. Kalau begitu umno ambil duitnya, siapa yang banyak duit buat bidaan, kan jadi bahan ketawa, tetapi hal macam ni kena dibincang," Bernama memetik beliau berkata.

Rais yang juga Menteri Luar berkata sehingga kini amalan politik wang masih belum dapat dibanteras kerana ia telah berakar umbi, sekaligus menjadi budaya dalam parti.

Umno, katanya, tidak mempunyai kebolehan yang cukup untuk memantau dengan rapi amalan politik wang, justeru adalah lebih wajar sekiranya ia diserapkan di bawah bidang kuasa undang-undang negara.

"Yang terbaik mungkin kita boleh lihat sahabat-sahabat kita dari MCA dan Gerakan. Mereka tidak ada syarat yang ketat tetapi secara dasarnya, mereka bebas dari semua amalan ini.

"Saya mungkin silap tetapi saya percaya ketelusan ialah guru yang baik dan kita perlu mengajar diri kita menerusi pengalaman yang lepas, apatah lagi pengalaman yang lepas itu tidak berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Menurut beliau, antara kekangan utama dalam membanteras rasuah politik di dalam Umno ialah ketiadaan bukti kerana pihak yang terlibat cukup licik dan licin memainkan peranan mereka.

"Masalahnya ialah bukti. Bukti orang memberi cukup sukar sebab pihak-pihak ini memainkan peranan licik dan licin. Dalam masa tempoh orang tidur, masa tempoh orang tak sedar tidak dapat diambil gambar, tidak dapat diambil tindakan sebab buktinya tidak ada tapi dalam undang-undang baru Akta Pencegahan Rasuah, saya dapati hal ini dapat diatasi sekiranya laporan daripada pihak-pihak berkenaan ada," katanya.

Rais juga berkata, cadangan supaya sistem kuota dikaji semula atau dihapuskan masing-masing mempunyai kebaikan dan keburukan tertentu.

"Kalau tak hapuskan pun, mungkin bilangan yang terhad dikenakan tapi pada pandangan lain pula, kalau langsung tak ada syarat, ia mungkin disertai oleh beribu calon," katanya.

Sebelum ini, Rais mendedahkan beliau diminta memberikan wang untuk mendapatkan undi bagi pencalonan jawatan naib presiden yang menjadi sasarannya dalam pemilihan Umno, Mac tahun depan.

Beliau, yang juga menteri luar, berkata "majoriti" ahli parti itu lebih berminat mengejar wang ketika kempen berlangsung sekarang daripada memilihan pemimpin yang benar-benar layak, Malaysiakini memetik laporan agensi berita AFP.

"Kami didekati dengan berselindung sebalik bantuan dan sumbangan. (Tetapi) saya tidak bersedia (berbuat demikian), jadi anda lihat undi (pencalonan) saya tidak begitu banyak.

"Jika ada ingin turut serta (dalam perebutan jawatan), anda mesti mengiyakannya," beliau dipetik sebagai berkata kepada wartawan.

Dr Rais hanya memperolehi lima pencalonan daripada bahagian-bahagian yang bermesyuarat setakat ini, sejak 9 Oktober.

Beliau memerlukan 15 lagi sokongan untuk layak pertandingan.

No comments: