Sunday, October 26, 2008

Sifat Utama Seorang Muslim

Diriwayatkan daripada Saiyyiduna Abdullah ibn Amr radhiyallahu ‘anhuma, katanya : Seseorang telah bertanya Rasulillah SAW : “ Apakah sifat yang paling baik dalam Islam?”. Rasulullah SAW telah bersabda : “Memberikan makanan serta menyebarkan salam samada kepada orang yang engkau kenali atau tidak kenal” – riwayat Imam al Bukhariy dan Imam Muslim.


Hadis di atas saya petik dari sebuah buku berjodol “100 Mutiara Hadis” karangan Mohd Sofwan Amrullah terbitan Pustaka Ilmi. Tujuan saya menulis dan cuba menghuraikan serba sedikit dari ilmu kurniaan Allah SWT kepada saya yang sangat sedikit ilmu ini adalah kerana untuk menjadikan ianya sebagai tazkirah buat saya terlebih dahulu. Di samping rasa ingin mengasah minda dan bakat menulis dengan harapan tulisan saya ini akan ditimbang dengan darah para syuhadak di akhirat kelak.


Rasulullah SAW pernah menyebut di dalam sebuah hadis yang sahih bahawa Islam itu akan luntur dari jiwa umatnya seperti pakaian yang luntus dan lusuh warnanya akibat lama dipakai. Menjadi kewajipan sekalian umat Islam menjalankan tugas memelihara agama dan menjaganya dengan dakwah dan apa jua cara yang dibenarkan. Meluaskan dakwah kepada non Muslim juga perlu, dalam masa yang sama, memperkuatkan dan memperteguhkan Muslimin dengan pegangan aqidah dan amalan Islam yang sohih juga perlu dilaksanakan. Kedua-duanya perlu dijalankan serentak.


Seluruh pendokong kerja dakwah di kalangan umat ini harus lengkap melengkapi dan sempurna menyempurnakan antara satu sama lain. Bila kita menyempurnakan lompang yang berlaku dalam jamaah, maka bersyukurlah Allah memilih kita untuk kemuliaan itu. Bukannya mengambil satu pendekatan memperlekehkan atau menghentam individu atau jamaah yang tidak melaksanakan apa yang kita buat.


MEMBERIKAN MAKANAN


Dalam hadis di atas, Rasulullah SAW telah menerangkan sifat Mukmin yang baik. Kader dakwah dan pendokong jamaah Islam harus memiliki sifat yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW tadi. Imam al Banna telah menggariskan satu panduan penting kepada para kader dakwah dan setiap individu Muslim agar melaksanakan tugas membentuk peribadi dan syakhsiah Muslim sebagai anak tangga pertama untuk mencapai agenda tertubuhnya kembali khilafah dan daulah payungan wahyu Ilahi.


Antara sifat mukmin sejati yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis di atas ialah memberi makan samada kepada fakir miskin, musafir, tetamu, sahabat, keluarga, kerabat, Muslim mahupun kafir.


Inilah bukti kejernihan jiwa seorang mukmin itu serta keperihatinannya terhadap permasalahan dan kesusahan yang menimpa manusia yang berada di sekelilingnya. Ia tidak mementingkan perutnya sahaja, bahkan senantiasa memikirkan hal mereka yang tidak bernasib baik sepertinya.


Menjadi kesukaan Rasulullah SAW untuk makan beramai-ramai di dalam setalam hidangan makanan. Berkongsi makanan adalah sunnah Baginda SAW yang sangat istimewa dan agung. Kitab seumpama ‘Syamail Muhammadiyyah’ karangan al Imam al ‘Allamah at Timiziy rahimahulLah telah menggambarkan dengan begitu baik sekali akan sifat dan kesukaan Rasulullah yang kita sedang perkatakan ini.


Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW senantiasa melayani ahlus suffah ( sahabat yang miskin yang tinggal di masjid Rasulullah SAW) dengan menikmati makan malam bersama mereka dan mendoakan mereka.


MENYEBARKAN SALAM


Kalimah salam adalah kalimah persaudaraan dan pertalian aqidah yang tersimpul kejap. Di dalam hadis di atas, Rasulullah SAW telah menyuruh kita mengucapkan salam kepada orang yang kita kenal atau kita tidak kenal. Dengan sendirinya, hasil dari perbuatan mulia ini, terjalinkan ikatan perkenalan dan seterusnya menumbuhkan bibit-bibit kasih saying yang berkekalan sehingga ke akhirat atas nama Islam dan kebenaran.


Di dalam doa selepas solat tarawih yang kita aminkan Ramadhan yang lalu, antara permintaan imam adalah ; “Jadikan kami sekalian sama-sama berjalan di bawah panji-panji Nabi kami Muhammad SAW.”. Bermula dengan ikatan ukhuwwah filLah dan berakhir dengan bersama-sama seiring Rasulullah di akhirat.


Bermanis wajah juga disyaratkan untuk kita lakukan sesama mukmin dan tidak terkecuali juga untuk yang bukan Muslim, zimmiy khususnya. Rasulullah telah menyamakan bermanis muka bila bertemu sesama Mukmin itu dengan mendapat pahala seperti bersedekah harta pada jalan Allah SWT. Manakala bermanis wajah kepada non muslim itu adalah jalan untuk mendekati mereka dan memberikan wajah baik kepada imej Islam yang agung.


Selamat beramal……



No comments: