" …. Dan bagi tiap-tiap ummat, kami berikan kepada mereka syariat (panduan) dan minhaj (metod bagi mentathbik syariat)… " surah Al Maidah ayat 48.
Setelah kita membincangkan perkara yang berhubung kait dengan lemahnya kefahaman sebagai persoalan penting di dalam dakwah Islamiyah, maka pada perbincangan kali ini kita akan membincangkan persoalan lain yang berhubung dengan kefahaman iaitu : kefahaman yang tidak ashalah(original).
Di dalam melaksanakan dakwah, kefahaman yang jelas menjadi sangat penting sebab ianya merupakan asas bagi pergerakan agar dapat melangkah dengan jelas. Manakala Umar ibn Khatthab ditanya mengenai makna taqwa, beliau menjawab : "berhati-hati sepertimana seseorang naik ke suatu tempat yang tinggi yang penuh dengan duri (rintangan)".
Sikap berhati-hati dapat diwujudkan apabila ia memiliki kefahaman mengenai jalan yang akan di laluinya mengandungi banyak rintangan. Kefahaman mengenai medan, cara-cara serta metod dan pendekatan yang jelas akan memberikan jaminan bahawa ia akan sampai ke penghujung jalan dengan selamat. Sebaliknya, sikap ceroboh yang diasaskan oleh tidak jelasnya jalan, metod dan pendekatan dakwah akan melahirkan malapetaka serta hasil yang tidak sesuai dengan jerih payah yang diusahakan.
2. Kefahaman yang tidak Ashalah
Rasul SAW di ajarkan oleh Allah melalui ayat yang pertama turun kepada beliau seperti firman Nya :
"Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. …… Dia yang mengajarkan menggunakan pena, yang mengajarkan manusia apa-apa yang dia (manusia) tidak memiliki ilmunya" surah al Alaq ayat 1 - 5.
Ayat di atas menyebutkan hubungan antara membaca dengan ke-Tuhan-an (tauhid), memberi gambaran adanya perintah untuk membaca yang ianya dapat mencapai kefahaman tauhid yang benar. Di dalam surah Ali Imran ayat 191, Allah menggambarkan persepaduan antara dzikir dengan fikir yang dapat menunjukkan pengenalan kepada Tuhan secara tepat, firman Allah : "(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan berbaring serta berfikir mengenai peciptaan langit dan bumi (oleh Allah), Ya Tuhan kami tidaklah Engkau ciptakan (semua ini) dengan sia-sia…"
Persepaduan dzikir dan fikir yang sesuai (proportional) akan menghantarkan seseorang kepada pengenalan Tuhan dan alam semesta dengan tepat dan kemudian ia dapat memanfaatkan alam dan seisinya dengan baik. Kefahaman yang ashalah akan mampu menunjuki kepada jalan yang benar.
Rasul SAW adalah seorang nabi yang tergolong dalam golongan ulul azmi, ia mendapat wahyu dan tuntunan terus daripada Allah melalui malaikat Jibril as, namun Allah melengkapkan Al Quran dengan kisah-kisah para nabi dan rasul Allah terdahulu sebagai panduan di dalam berdakwah. Hikmah dari perkara sedemikian iaitu, Rasul SAW mendapat gambaran tentang asas-asas manhaj, cara, metod dan pendekatan para nabi dan rasul terdahulu di dalam berdakwah bagi menyelesaikan persoalan ummat. Sifat talaqi seperti inilah yang dikekalkan oleh para Ulama dan duah yang ikhlas agar tidak terpesong walau sejengkal. Kesediaan mereka untuk di buai atau dibimbing selangkah demi selangkah kerana sedar bahawa selain ilmu berdakwah, pengalaman serta pengetahuan mengenai persoalan dakwah dapat menambahkan penguasaan duah terhadap dakwah dan masyarakat secara optima. Allah berfirman :"Bertanyalah kamu sekelian kepada orang yang lebih tahu (ahlu dzikri) jikalau kamu tidak memiliki pengetahuan" surah An Nahl ayat 43.
Di dalam membina dakwah aspek-aspek ashalah yang perlu di talaqi secara terus iaitu:
1. Aspek Aqidah Islamiyah. aspek ini akan memberikan kefahaman mengenai aqidah secara benar. Kefahaman terhadap aqidah yang benar akan memberikan kesan kepada lahirnya keperibadian yang kukuh, mantap dan mempunyai semangat ber islam, berdakwah yang terus bergelora, memiliki iman yang istiqamah dan bersedia menyambut cabaran walau apapun risiko yang akan dihadapi. Namun di dalam realitinya, ramai para duah serta masyarakat tidak mengambil berat mengenai perkara seumpama ini. Mereka lebih menumpukan perhatian kepada perkara fardhu 'ain sebelum memperkukuhkan iman. Kita lihat para duah "jejadian" yang tidak mengerti apa sebenarnya aqidah ahlu sunnah wal jamaah, prinsipnya serta persoalan-persoalannya, mereka jahil mengenai prinsip aqidah syiah dan penyelewengan-penyelewengannya. Diantara mereka ramai yang bersemangat hendak berdakwah tetapi jahil mengenai aqidah islamiyah.
2. Aspek Fikrah Islamiyah. Islam sebagai sebuah dien yang menyeluruh dan universal bukan hanya mengandungi prinsip-prinsip dan panduan ibadat sahaja, tetapi ia juga merupakan ideologi yang perlu diyakini agar ia tidak terlepas. Sesiapa yang menjadikan islam sebagai ideologi, ia akan bangga menjadi muslim dalam erti yang sebenarnya. Namun malangnya ramai muslim yang murtad hanya kerana seketul dunia. Mereka mudah di suapi dengan dunia. Demikian juga para duah, mereka terutamanya yang sudah bergelimang dunia, menjadikan dakwah sebagai kerja sambilan. Mereka lebih mengutamakan status sebagai duah atau ahli kumpulan harakah tertentu walaupun tidak mencukupi dari segi syarat-syarat. Keperibadian mereka tidak menunjukkan diri sebagai duah yang bekerja bersungguh-sungguh bagi menjayakan islam. Ramai tidak memahami mana perkara prinsip dan mana wasilah. Mereka kebingungan serta mempunyai tasawur dakwah yang bercelaru.
3. Aspek Tarbiyah Islamiyah. Tarbiyah dengan manhajnya telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui contoh kehidupan Rasul SAW di dalam mendidik para sahabat dan sahabiyah. Berbagai-bagai pendekatan, cara dan wasilah telah beliau lakukan bagi melahirkan generasi pewaris yang berkualiti. Malangnya, ramai para pendakwah mengabaikan perkara seumpama ini dengan tidak mementingkan tarbiyah yang ashalah melalui pendekatan talaqi. Ramai para duah yang ikhlas, tetapi kerana merasa bijak pandai ianya tidak mengambil berat dengan tarbiyah daripada para ulama yang thiqat (terpercaya), apatah lagi kalau sekiranya duah tersebut adalah seorang profesor, doktor dan sebagainya. Dalam beberapa kes, para duah merasa tidak memerlukan nasihat dan tunjuk ajar dari orang lain kerana merasa "para ulama hanya tahu mengenai kawasan wilayah tertentu sahaja, kita sahajalah yang paling tahu mengenai kawasan wilayah kita. Kita sudah dewasa dan tidak memerlukan lagi bimbingan orang-orang tua, tidak perlu di bawah ketiak orang tua" dan lain sebagainya. Ungkapan sedemikian selain ia disebabkan oleh ego dan sombong, pada akhirnya mereka dan generasi pewarisnya tidak dapat menyerap pengetahuan daripada para ulama secara talaqi sehingga secara tidak disedari ianya akan menyeleweng dari jalan yang ashalah.
4. Aspek Akhlaq Islami. Akhalq yang mulia akan menjadi daya tarik bagi dakwah kerana duah dengan akhlaq sedemikian akan memiliki keperibadian yang menarik dan simpatik, halus budi bahasanya, lembut perangainya serta menarik tutur katanya. Di dalam realitinya, ramai duah yang berperangai kasar dengan beralasan "ini sifat semula jadi saya". Mereka berbudi bahasa yang buruk dengan perangai yang menjengkelkan, berhati kaku membatu, seolah-olah ia yang paling baik dan paling benar. Sikap seperti ini yang menjadikan dakwah menjadi terbantut kerana ramai masyarakat yang lari dari dakwah, dan pada akhirnya masyarakat mencari penyelesaian lain dengan berbuat maksiyat.
5. Aspek Dakwah Islamiyah. Jalan dakwah yang panjang dan penuh dengan rintangan sudah pastinya mempunyai panduan dan pendekatan yang lengkap agar jalan yang susah menjadi mudah dan efektif untuk di wujudkan. Mengambil i'tibar dari sirah Rasul SAW merupakan pelajaran mengenai cara berdakwah Rasul SAW dalam segala situasi, keadaan dan posisi. Keadaan beliau sebagai pimpinan, sebagai ayah, sebagai sahabat, sebagai guru dan sebagainya telah beliau contohkan dengan begitu indah dengan pendekatan dan manhaj yang jelas. Sesiapa sahaja duah yang mampu mengambil pelajaran dari saripati kehidupan beliau di dalam berdakwah ia akan berjaya melaksanakan amanat dakwahnya dengan baik dan efektif. Sebaliknya ramai yang tidak mengambil dari mata air yang murni ini sehingga menyeleweng, baik ia menyeleweng dari sudut prinsip, manhaj, tanzim atau wasilah yang digunapakainya. Bagi para pimpinan dakwah pula, kerana cuai terhadap sirah Rasul SAW, ramai yang menganggap bahawa gerakan dakwah adalah seperti organisasi moden yang tak berbeza dengan pertubuhan kebajikan atau kelab pelajar. Mereka memimpin gerakan dakwah dengan pendekatan syarikat bisnes atau seumpamanya. Di dalam gerakan dakwah tidak ditumbuhkan suasana ukhuwah, tarbiyah yang kemas serta hubungan hati, tetapi ia sekedar sebagai wadah bagi membina hubungan pimpinan dan anak buah. Pada akhirnya mereka mempolitikkan ketaatan ahli bagi mencapai matlamatnya dan perkara seumpama ini merupakan penyelewengan yang berbahaya bagi kemajuan dan masa depan Islam.
Dakwah yang tidak ashalah akan menjadikan dakwah menjadi kacau dan jumud, hidup segan mati tak mau. Pada akhirnya walau dakwah sudah berlaku berpuluh-puluh tahun, tetapi Allah tidak menurunkan keberkatan kepadanya sehingga para duah bukan semakin bertambah jumlahnya malahan ia semakin berkurang, futur bahkan memusuhi dakwah. Wallahu a'lam. Bersambung…
Ditulis berdasarkan pengalaman dakwah, mudah-mudahan ia menjadi I'tibar bagi orang-orang yang sentiasa mengeluarkan peluh, potensi dan tenaganya bagi menjayakan dakwah. |
No comments:
Post a Comment