Wednesday, October 29, 2008

Bermakrifah Dengan Fikiran

BismilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah wa ‘ala alihi wa ashaabihi ila yaumiddin, wa ba’du ;


Salam ISLAH,


Al ‘Allamah Saiyyid Sabiq rahmatullah ‘alaihi telah menyebutkan di dalam tulisan beliau ‘Al ‘Aqaidul Islamiyah’ :


“Agama Islam mengkehendaki agar akal itu bergerak dan melepaskan kekangannya, segera bangun dari tidur nyenyaknya, kemudian mengajak untuk mengadakan perenungan dan pemikiran. Pekerjaan yang sedemikian itu termasuk inti peribadatan kepada Tuhan. Firman Allah SWT :


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadaNya.” Surah Yunus : 101


Firman Allah SWT lagi :


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)". sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) Yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di Akhirat).” Surah Saba’ : 46


Barangsiapa yang mengingkari kenikmatan akal dan tidak suka menggunakannya untuk sesuatu yang semestinya dikerjakan oleh akal itu, bahkan melalaikan ayat-ayat dan bukti-bukti tentang ada dan kuasanya Allah SWT, maka orang yang semacam itulah yang patit sekali mendapat cemuhan dan hinaan. Malahan Allah SWT sendiri telah mencela sekali orang semacam itu dengan firmanNya :


“Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” Surah Yusuf : 105


Dan Allah SWT berfirman lagi :


“Dan (Itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).” Surah Yasin : 46


Ulasan :


Allah SWT memerintahkan kita agar menggunakan akal untuk mencapai makrifah kepada Allah SWT. Diturunkan Al Quran sebagai panduan kepada akal untuk sampai kepada mengenal Allah SWT dengan sebenarnya. Bahkan merenung dan berfikir untuk menambahkan keimanan serta membangunkan akal dan membebaskan akal dari belenggu kejahilan kepada cahaya makrifah adalah merupakan tuntutan agama yang paling utama dan intipati sebenar kepada ubudiyah kepada Allah SWT.

Islam sangat memusuhi kejahilan, maka Islam memerintahkan umatnya menuntut ilmu bahkan umat yang paling utama dalam Islam adalah umat yang berilmu dan beramal. Sepatutnya, apa jua yang berada di sekeliling kita daripada ciptaan Allah SWT menjadikan kita bertambah yakin dengan kekuasaan dan keesaan Allah SWT. Rugi dan malanglah bagi mereka yang yang tidak mahu berfikir lalu mengambil peringatan.


Tidak ada kuasa yang boleh mengubah arah terbit dan arah terbenamnya matahari sejak ia diciptakan Allah. Hanya Allah yang mengetahui kemana perginya matahari ketika datangnya malam dan kemana perginya bula ketika datangnya siang. Tiada kekuasaan di bumi walau sehebat mana sekalipun kekuasaannya yang mampu untuk menahan peredaran bumi dan menahan turunnya hujan serta menurunkan hujan ketika kemarau melainkan semuanya itu hanya mampu dilakukan oleh Allah SWT. Perhatikanlah, nescaya pada pemerhatianmu itu adanya kekuasaan Allah yang Esa.


Akibat daripada dibelenggu kejahilanlah umat hari ini berpecah tidak bersatu. Dengan perpecahan mereka menjadi lemah lalu dikuasai perancangan jahat musuh. Umat Islam hari ini berpecah di dalam perkara yang sepatutnya mereka bersatu menghadapinya. Mereka berpecah di dalam urusan aqidah umat dan mereka membesarkan urusan khilafiyah yang menjadikan mereka bermusuhan.


Dengan akal fikiran jualah, sepatutnya para penguasa dan pemerintah harus insaf dan sedar. Sedar bahawa kekuasaan mereka adalah pinjaman dari Allah yang sebenarnya Maha Berkuasa dan Pemerintah sebenar langit dan bumi. Mereka seharusnya merasa kerdil di hadapan Allah dan tunduk kepada segala tuntutan dan peraturan Allah SWT. Sebaliknya bongkak dan sombong telah mengambil alih tempat tawadhuk dan tadharruk. Semuanya kerana akal yang telah diizinkan untuk diperhambakan oleh nafsu.


Ayuh ISLAH !



No comments: