Thursday, October 23, 2008

Terapi Solat - Kajian Saintifik Pensyarah UM


Salam Islah,


Saya mengucapkan tahniah kepada 3 orang pensyarah Universiti Malaya yang telah melakukan kajian terhadap ibadah solat dan berkaya membuktikan bahawa solat mempunyai keistimewaan dan kehebatan yang tiada tandingannya dalam menjadi program terapi kesihatan yang berkesan.Kejayaan kajian tersebut telah disiarkan di dalam akhbar Berita Harian hari ini.


Kajian saintifik tiga pensyarah tersebut telah membuktikan bahawa solat bukan sahaja amalan kerohanian tetapi mampu menjadi terapi kesihatan fizikal dan mental serta mampu meningkatkan tahap kesihatan seseorang. Dalam temuramah dengan ketiga-tiga pengkaji tersebut, mereka juga membuktikan bahawa solat mampu merawat penyakit kritikal.


Saya merasa kagum dan bertambah yakin bahawa setiap ciptaan, arahan dan larangan Allah SWT mempunyai hikmah yang sangat besar kepada yang taat, percaya dan yakin. Setiap suruhan Allah pasti akan mendatangkan kebaikan dan larangan Allah jika dilanggar pasti aka nada bencana dan kebinasaan yang berlaku.


Realiti masyarakat hari ini, dari apa yang kita lihat dengan mata kepala dan kita rasai dengan perasaan dan jiwa, daripada jenayah, kehancuran generasi muda dan keruntuhan akhlak serta kebejatan aqidah adalah berpunca daripada pengabaian terhadap peraturan dan suruhan Allah SWT. Tiada lagi apa yang kita faham dan kita dambakan daripada ‘rahmatan lil ‘aalamin’ yang turun bersama Islam sebagai agama yang diredhai Allah ‘Azza wa Jalla.


Kalau kita mengkaji dengan lebih mendalam melalui petunjuk Al Quran dan As Sunnah, nescaya kita akan dapati bahawa tujuan pensyariatan solat itu jauh lebih penting dan mustahak daripada hanya bermanafaat untuk kesihatan manusia. Tiada erti tubuh yang sihat jika jiwa sakit dan merana dengan kebejatan aqidah dan iman yang songsang. Berapa ramai yang semakin kaya harta benda tetapi hidupnya makin sengsara.


Berapa ramai pula yang semakin dekat dengan kemuncak tahta kekuasaan, pangkat dan kedudukan tetapi miskin akhlaq dan gersang daripada kemuliaan peribadi dan syakhsiah.


Islam bukan sahaja menekankan persoalan kesihatan zahir bahkan ia juga menekankan pentingnya menjaga kesihatan hati dan batin. Islam menyuruh umatnya memastikan agar kesihatan tubuh badan mesti setanding dengan kesihatan hati dan kejernihan jiwa muttaqin. Jangan hanya sibuk menyolek wajah, tetapi hati nurani juga mesti disolek dan didandan indah.


Tujuan utama solat telah Allah tegaskan di dalam Al Quran. Pertama ; “Tunaikanlah solat untuk mengingatiKu” dan yang kedua ; “Sesungguhnya solat itu mencegah pelakunya daripada perbuatan keji dan mungkar”.


Mereka yang senantiasa mengingati Allah akan berjaga-jaga dan berhati-hati dalam segala hal. Mereka menjauhi maksiat dan menjauhi juga perkara yang boleh merosakkan tubuh kerana demikian itu perintah Allah jua. Maksiat dan mungkat adalah perosak sebenar di dunia dan akhirat. Emosi pelaku maksiat akan manjadi kacau bilau dan hilang ketenangan lalu berlalu pergilah ketenangan jiwa. Lebih merbahaya lagi, maksiat akan menjerumuskan pelakunya ke neraka Allah SWT. Tiada guna badan yang sihat jika akhirnya kembali ke neraka!.


Salah seorang pensyarah yang mengkaji tentang terapi solat ini adalah Encik Ng Siew Chok. Hebat ! Dia juga sepakat dengan Prof Dr Wan Abu Bakar dan Dr Fatimah tentang kehebatan rahsia solat. Demikianlah jika Islam dikaji dan dipelajari, pasti kebenaran Islam akan ditemui dan diterima. Kita bukan sahaja mahukan sokongan bukan Islam, kita mahu mereka menerima kebenaran Islam.


Sebab itu kita WAJIB menyatakan prinsip perjuangan Islam dan meletakkan Islam di hadapan serta senantiasa menyebut tentang Islam di hadapan mereka walaupun mereka membenci. Namun kita harapkan pertolongan Allah untuk memberi hidayah kepada mereka. Jaga Allah, pasti Allah akan memenangkan perjuangan ini. Jangan sibuk nak jaga hati manusia dengan membelakangi Allah, nanti kita ‘dibelakangkan’ Allah. Selamat berjuang….


1 comment:

kuizikel said...

tanya sket, tau tak klu nak beli online buku ni kat ne yer? cari2 tak jumper...tq