Wednesday, September 9, 2009

Sangat Sedikit Yang Memahami


Salam Islah,

Memperbaiki diri adalah asas kebaikan yang tiada tolak bandingnya. Rasulullah SAW ketika ditanya tentang siapakah orang yang bijak, maka Baginda menegaskan bahawa mereka adalah orang yang senantiasa memuhasabah diri serta menahannya dari menjadi pengikut kejahatan nafsu.

Imam Ibn ‘Athoillah di dalam Hikamnya telah menyebutkan bahawasanya cinta dunia adalah sebab manusia itu tidak sampai kepada maqam salihin yang mengabdikan dirinya hanya untuk Allah SWT. Kekeliruan terhadap hakikat kehidupan dunia juga adalah sebab mengapa tidak berlakunya peningkatan di dalam soal ketaatan dan ibadah.

Para sahabah radhiyallahu ‘anhum adalah qudwah unggul buat kita semua. Rasulullah SAW memeberi jaminan bahawa sesiapa sahaja di kalangan sahabat Baginda yang dijadikan qudwah pasti kita akan mendapat petunjuk. Lihatlah bagaimana para sahabah yang keluar ke medan Badar di bulan Ramadhan, walaupun menyedari bilangan mereka sedikit, persenjataan mereka tidak cukup serta keluar dalam keadaan lemah dan letih kerana menjalani ibadah puasa buat kali pertama, namu kerana mata hari yang cerah dan jernih serta tidak terikat dengan belenggu nafsu menjadikan mereka yakin dengan kemenangan dan pertolongan Allah. Lalu Allah membuktikan penjagaanNya serta pemeliharaanNya kepada hamba-hambaNya yang muttaqin.

BIJAK AMBIL PELUANG

Pakar-pakar motivasi mengatakan bahawa orang yang bijak adalah orang yang pandai mencari dan mengambil peluang. Mengintai segala peluang yang ada serta segera memanfaatkannya untuk Berjaya dalam hidup adalah sesuatu yang sangat digalakkan. Ramai yang telah berjaya dan menjadi kaya raya dengan kaedah ini. Yang paling bijak adalah Yahudi seluruh dunia. Dicelah-celah kelemahan umat Islam serta hancurnya kesatuan ummah ini, mereka segera mengambil peluang untuk memperkukuhkan negara haram mereka. Amerika pula mengambil peluang dari peristiwa letupan WTC untuk memerangi Islam atas nama ‘Perang Terhadap Keganasan’.

Saya kira, tidak ada kebodohan yang paling menyedihkan selain dari tidak mengambil peluang dengan kurniaan Ramadhan dari Allah yang Amat Pengasih dan Penyayang. Bak kata Ustaz Hasrizal Jamil, pasaraya sedang mengadakan jualan beli 1 barang dapat free 10 barang, kita duduk di rumah buat tak tahu, pekakkan telinga serta butakan mata, tiada perasaan dan ‘mati pucuk iman’.

INGAT MATI ~ SUMBER MOTIVASI IBADAH DAN PERJUANGAN

Imam Qurthubi menyebut dalam Tazkirahnya bahawa Ad Daqqaq rahimahullah telah menyebutkan 3 faedah mengingati mati. Pertama ; lekas bertaubat. Kedua; qana’ah dalam kehidupan dunia. Ketiga; bersemangat dalam ibadah.

Imam Qurthubi juga mengingatkan bahawa melupai mati itu adalah musibah yang terlebih besar dari kematian itu sendiri. Manusia melupakan mati dengan tidak mengingati mati walau sedikitpun, tidak pernah memikirkan kematian serta tidak beramal untuk berhadapan dengan saat kematiannya.

Jika kita selalu ingat mati dan merenung kematian yang kita bakal hadapi, nescaya ia akan menjadi motivasi terbaik dalam melakukan ‘pecutan’ dalam ibadah serta perjuangan. Mujahadah dalam ibadah akan menjadi bekalan paling penting ketika mati. Segala ujian, fitnah, mehnah, caci maki serta celaan manusia di sepanjang liku-liku perjalanan jihad serta perjuangan turut akan menjadi bekalan selepas mati. Semakin besar ujian dalam perjuangan , semakin besar janji pahalanya di sisi Allah SWT.

Sangat sedikit yang bersyukur. Sangat sedikit yang memahami. Sayang seribu kali sayang !

Tuesday, September 8, 2009

Allah Memerhati & Menghitung


Salam ukhuwwah fillah buat saudara-saudara seaqidahku sekalian,

Ramadhan mendidik kita menjadi hamba Allah yang hakiki. Antara rasa hati seorang hamba ialah pemerhatian dan intipan Allah SWT ke atas setiap gerak gerinya. Dalam kata lain, ia senantiasa merasai kebersamaan Allah di dalam setiap detik kehidupan. Tidak ada sesaat pun yang terlepas dari pandangan Allah SWT. Ia adalah ibarat seperti kita yang senantiasa di pantau oleh polis atau SB. Walaupun kita tidak buat sebarang kesalahan, namun kita pasti tertanya-tanya dan gedebar perut bila SB selalu telefon kita, kereta polis pagi petang ada di hadapan rumah kita dan selalu mengekori kita. Kita dengan sendirinya akan menjaga tingkah laku dan memerhatikan dengan sungguh-sungguh segala tindakan kita agar tidak melanggar undang-undang. Saudaraku, pemerhatian Allah jauh lebih halus dan lebih detail dari pemerhatian Polis atau SB.

Polis atau SB akan tidur sedang Allah tidak pernah tidur dan suci dari semua sifat makhluk. Polis akan berhenti rehat untuk makan minum dan sebagainya sedang Allah tidak makan, tidak minum dan tidak perlukan rehat macam kita. Pemerhatian Allah tiada batasan sedangkan pemerhatian Polis ada batas dan hadnya. Allah SWT mengetahui segala keadaan kita bahkan mengetahui apa yang kita bisikkan di hati sekalipun.

Justeru berwaspadalah dengan segala tindakan dan pertuturan bahkan gerak hati sepanjang kehidupan berbaki di dunia ini, kerana semuanya dalam pemerhatian Allah SWT.

Satu lagi, di samping merasai pemerhatian Allah kita juga harus merasakan setiap yang diperhatikan Allah SWT tidak juga akan terlepas dari perhitungan. Tidak ada yang kecil mahupun yang besar melainkan semuanya dalam hitungan Allah SWT sebagaimana yang telah Allah peringatkan di dalam surah az Zalzalah bahawa yang baik mahupun yang jahat walau sebesar atom sekalipun, pasti akan diperlihatkan dan dibalas di akhirat kelak.

Meyakini perhitungan Allah SWT ini adalah merupakan penawar jiwa bagi setiap Mukmin. Yakinlah mereka bahawa ketaatan dan kemaksiatan akan dib alas. Imam al Ghazali ‘alaihi rahmatullah menyebutkan di dalam Minhajul ‘Abidin bahawa apabila seorang hamba ingin melakukan dosa maka hendaklah ia segera mengingati akibat dari dosa tersebut iaitu neraka Allah, maka segera ia tertahan dari bermaksiat kepada Allah SWT.

Buat para da’ie dan pejuang agama serta penggerak amal islami, yakinlah bahawa segala kesusahan dan kepayahan demi perjuangan menegakkan syari’atullah dalam diri dan negara pasti diperhatikan dan dihitung dengan seadil-adilnya oleh Allah SWT yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Di dalam kitab-kita sahih Hadis Rasulullah SAW, direkodkan bahawa debu-debu yang melekat di betis para mujahid akan menyebabkan betis tersebut tidak akan dimamah api neraka Allah SWT.

Yakinilah jua bahawa pengkhianatan pemerintah thaghut yang zalim serta munafiqin pengikut mereka sepanjang zaman pasti di dalam pemerhatian Allah serta perhitunganNya dan akan dibalas di akhirat kelak dengan seadil-adilnya di hadapan mahkamah Allah SWT.

Akhirnya, Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa HATI adalah tempat jatuhnya pandangan Allah SWT. Perbaikilah hati dengan mujahadah yang bersungguh-sungguh. Hiasilah ia dengan ikhlas dan taqwa. Isilah ia dengan ilmu dan makrifah. Nescaya ia akan jernih, bening, tenang serta bahagia menantikan janji-jani Rabnya tertunai di akhirat kelak.

Friday, September 4, 2009

Hidupkan Kefardhuan Jihad Di Tengah Ramadhan


Assalamu’alaikum warahmatullah,

Adalah menjadi harapan dan setinggi-tinggi cita-cita seorang Mukmin itu agar amalnya diterima oleh Allah SWT. Rasa takut amalan tidak diterima Allah SWT menyebabkan berlakunya muhasabah terhadap setiap amalan dan berlaku juga peningkatan serta penambahbaikan terhadap ibadah dan ama soleh. Dalam masa yang sama, harapan agar Allah SWT menerima segala amal tidak pernah kunjung padam bahkan semakin bertambah sangka baik kita dengan Allah bahawa ia pasti akan membalas segala kebaikan yang kita lakukan dengan syarat terpeliharanya keikhlasan serta dilakukan sebagaimana yang dikehendaki syara’.

Ramadhan adalan bulan pembersihan. Ia membersih hati dan jiwa, membersihkan tubuh dari penyakit, membersihkan hati dari penguasaan nafsu syahwat dan yang paling utama, Ramadhan membersihkan kita dari dosa.

Ramadhan adalah bulan maghfirah. Setiap kebaikan yang dilakukan di bulan ini dijanjikan keampunan dan kelepasan dari api neraka. Tidak ada waktu dan saat seumpama Ramadhan yang dapat menandingi kehebatannya dari sudut janji gandaan pahala serta keampunan dari Allah SWT.

Al Imam al Bukhari rahimahullah telah meriwayatkan sabdaan Nabi SAW ;

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keyakinan (terhadap janji Allah SWT) maka diampunkan dosa-dosa yang dilakukannya”

Imam Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya telah meriwayatkan hadis yang di sampaikan oleh Saiyyiduna Salman al Farisi bahawa Nabi SAW bersabda;

“Barangsia yang memberikan jamuan berbuka kepada orang yang berpuasa padanya( di dalam bulan Ramadhan) maka diampunkan dosa-dosanya serta dibebaskan batang lehernya dari neraka”

Bahkan lebih banyak lagi hadis yang menegaskan hal yang sama. Maka sabitlah keampunan Allah bagi mereka yang berpuasa serta bersungguh-sungguh beribadah di dalam bulan penuh berkah ini.

Para Sahabah yang mendapat tarbiyah lansung dari Rasulullah SAW adalah generasi yang sangat menjiwai perkara ini. Jika perkara-perkara sunat yang dilakukan di bulan Ramadhan dijanjikan keampunan oleh Allah SWT, maka sudah tentu perkara-perkara wajib akan mendapat habuan yang lebih besar dan hebat dari Allah. Kerana itulah mereka keluar ke medan jihad di bulan Ramadhan walaupun dalam keadaan penat, lapar, dahaga serta penuh dengan kekurangan serta jumlah bilangan yang sedikit.

Namun kerana ingin meraih redha dan maghfirah dari Allah yang Rahman dan Rahim, mereka melangkah ke medan jihad memerangi musuh Allah SWT seperti yang berlaku di medan Badr al Kubra. Ia berlaku ketika kefardhuan puasa kali pertama diperintahkan oleh Allah SWT pada tahun ke 2 Hijrah. Dengan jumlah yang sedikit berbanding musuh yang tiga kali ganda lebih ramai serta lengkap bersenjata, mereka mendepani musuh dengan tawakkal yang tinggi serta bercita-cita agar dipilih sebagai syahid.

Ini membuktikan bahawa, Ramadhan bukannya bulan untuk kita berehat dari jihad dan perjuangan. Beruntunglah mereka yang terus menghidupkan kefardhuan jihad ditengah umat walau di bulan Ramadhan sekalipun.

Thursday, September 3, 2009

Puasa Mukmin vs Puasa Munafiq


Salam Ramadhan yang penuh berkah,

Kita telah melangkah masuk ke bahagian kedua Bulan Ramadhan yakni kita berada di pertengahan Ramadhan. Semoga Allah SWT terus memimpin kita dan memberikan kita kekuatan untuk terus istiqamah dengan ibadah dan amal soleh walau sedikit sekalipun.

Sabda Rasulullah SAW ;

“Sebaik-baik amalan adalah amalan yang istiqamah (dilakukan tanpa henti) walau sedikit sekalipun”

Perhatikan ibadah kita pada bahagian yang pertama Ramadhan (10 hari pertama) untuk menjadi ukuran muhasabah kita bagi menggerakkan kekuatan ibadah dan amal dalam hari-hari berbaki dari bulan berkat ini agar kita tidak ketinggalan sedikitpun dari kebaikan yang telah dijanjikan di bulan mulia ini. Takutilah jika sekiranya kita tidak mendapat habuan dan kebaikan dari apa yang telah disediakan Allah daripada maghfirah dan kebebasan dari api neraka sepanjang bulan rahmah ini.

Sesungguhnya ada perbezaan antara puasa mukmin dan puasa munafiq.

Seorang mukmin pasti merasa sedih dan teramat berdukacita kerana hari-hari di dalam bulan Ramadhan ini semakin berkurangan. Akan beransur pergi meninggalkan kita bukan yang penuh barakah serta janji keampunan dari Allah. Bulan yang setiap amalan sunat diberi pahala amalan fardhu dan setiap amalan fardhu diberikan pahala seumpama melakukan 70 amalan fardhu di bulan-bulan yang selainnya. Akan pergilah bulan yang di setiap malam-malamnya dibebaskan 1 juta hamba-hamba berdosa daripada neraka yang mereka itu pada asalnya telah wajib atas mereka itu masuk ke dalam neraka Allah. Para sahabah menangisi pemergian Ramadhan dan merekalah sebaik-baik generasi yang mesti menjadi qudwah sekalian umat Rasulullah SAW.

Seorang munafiq pula, dek kerana kekotoran hatinya amat terseksa dengan Ramadhan. Semakin berkurangan bilangan hari yang berbaki daripada Ramadhan, maka semakin ia bergembira serta bersukacita. Seorang munafiq lebih memberikan perhatian bagaimana mahu menyambut hari raya berbanding meningkatkan amal ibadah serta merebut pahala di bulan Ramadhan. Mereka tidak pernah mempedulikan kualiti puasa serta ibadah sebaliknya terlalu asyik dengan baju baru, langsir baru, kuih raya, tukar perabut dan pelbagai kelalaian serta kealpaan lagi. Al Quran tidak dibaca apatah lagi tadabbur. Solat fardhu tidak dipelihara. Harta tidak diinfaqkan pada jalan sepatutnya. Malam dibiarkan berlalu tanpa istighfar dan doa. Alangkah malangnya mereka ini serta malang jualah pengikut-pengikut mereka. Semoga Allah melindungi kita serta memimpin kita kepada kebaikan dunia dan akhirat.

Perteguhkan iman dan keyakinan demi meneruskan semaraknya semangat untuk bertungkus lumus beribadah serta melakukan ketaatan di bulan mulia ini. Moga kita dapat meraih kemenangan duniawi dan ukhrawi.

Wednesday, September 2, 2009

Menggapai Kemanisan Dalam Perjuangan


Salam perjuangan buat para pembaca yang dikasihi,

Ramadhan adalah bulan barakah yang penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Jiwa tenang dengan mengingati Allah SWT dan sememangnya di bulan mulia ini, amat mudah sekali mengajak hati mengingati Allah serta membasahi lidah dengan zikrullah kerana nafsu telah dilemahkan serta syaitan diikat kukuh oleh Allah SWT. Ya Allah, alangkah indahnya jika sepanjang tahun beginilah suasananya. Pastinya suasana ini adalah bukti terhadap keberkatan dan kemuliaan bulan ini.

Allah SWT menolong kita dalam beribadah dan berbuat taat serta membanyakkan zikrullah dengan melemahkan nafsu melalui lapar dahaga. Justeru sedikit sebanyak, kita boleh merasakan inilah dia suasana ketaatan yang sebenar serta sifat mukmin yang hakiki. Bila nafsu lemah, tubuh terasa ringan beribadah. Bayangkan ibadah dan zikrullah para sahabah radhiyallahu ‘anhum para pembaca sekalian!. Jika kita yang disebut sebagai generasi pengabai solat dan pengikut syahwat ini turut merasai manis dan lazatnya ibadah di bulan mulia ini, bayangkan pula taat dan ibadah sahabah radhiyallahu ‘anhum.

Para ulama’ salaf as salih menyebutkan bahawa ketenangan dan kelazatan dalam ibadah itu dapat dicapai dengan beberapa perkara :

Pertama ; dengan mengurangkan percakapan yang sia-sia dan tidak berfaedah.

Kedua ; dengan mengurangkan makan minum kerana lapar itu menghidupkan hati.

Ketiga ; dengan banyak berjaga malam untuk beribadah dan istighfar atas segala dosa dan noda.


Sahabat sekalian, kalau kita amati betul-betul petua ulama’ di atas, nescaya kita dapati bahawa ketiga-tiga perkara tersebut terhimpun semuanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tanpa kita sedar, rupanya Allah membantu kita dalam mencapai kemanisan ibadah dan taat melalui kurniaan Ramadhan yang penuh barakah.

Apa yang lebih penting bagi setiap mukmin, kelazatan ibadah dan taat itu biarlah melebar hingga kepada merasai manis dan lazat dalam jihad dan perjuangan. Kemanisan jihad ini telah dicapai dan dirasai oleh para Sahabah radhiyallahu ‘anhum sehingga mereka tidak pernah ragu apatah lagi ketinggalan dari menyertai setiap operasi jihad yang dilancarkan oleh Rasulullah SAW.

Kita mendengar riwayat yang sahih mengenai beberapa orang dari kalangan sahabat yang mulia begitu bersungguh-sungguh menggagahi diri untuk keluar ke medan jihad walaupun telah tua dan tidak berkemampuan. Saiyyiduna ‘Amr ibn Jamuh rdh umpamanya, walaupun berkaki tempang, tetap berkeras mahu keluar ke medan jihad walaupun dihalang oleh anak-anaknya dek kerana ketempangannya. Bila perkara ini diadukan kepada para Rasulullah SAW, ‘Amr ibn Jamuh berkata; “Aku mahu melangkah masuk ke dalam syurga Allah SWT dengan kakiku yang tempang ini”. Nah !, bukankah kesungguhan ini tidak akan dicapai melainkan dengan merasai lazat dan manisnya berjuang dan berjihad?.

Para ulama’ menyebutkan bahawasanya kemanisan serta kelazatan dan ibadah, taat dan jihad adalah kerana mata hati yang bersih dari dosa sehingga ternampak segala kebenaran janji Allah bagi yang menjadikan seluruh hidupnya ibadah dalam ketaatan serta bersungguh-sungguh dalam berjihad menegakkan agama Allah. Hasil dari keyakinan terhadap janji Allah itulah yang menyebabkan timbulnya kesanggupan untuk berkorban, bermujahadah, bersungguh-sungguh serta sanggup meninggalkan kesenangan dan kelazatan hidup dunia kerana beribadah dan berjihad.

Allahumma ya Rahman ya Rahim, kurniakan kami kelazatan taat dan ibadah. Limpahkan untuk kami rahmat dan kasihmu hingga kami mampu mengikuti jalan RasulMu dan jejak para sahabat Baginda dengan berkat Ramadhan ya Allah.