“Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang manufik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.” Surah An Nisaa' : 140
Seperti yang telah saya jelaskan dalam tulisan yang lalu, bahawa Al Quran adalah sekukuh-kukuh hujjah atas kaum munafiq dalam menjelaskan siapa mereka yang sebenarnya. Ayat di atas dengan terang telah mempertegaskan bahawa :
Pertama : Menjadi sifat hakiki orang kafir dan munafiq itu adalah memperolok dan mengejek ayat-ayat Allah SWT.
Kedua : Allah SWT melarang orang-orang mukmin daripada bersama-sama dalam pergaulan mereka dengan golongan kafir dan munafiq ini lalu menyertai mereka dalam memperolok ayat-ayat Allah SWT sehingga mereka berhenti dari perbuatan tersebut.
Ketiga : Bahawa sama sahaja sifat munafiq itu dengan mukmin yang terlibat dengan perbuatan memperolok ayat-ayat Allah SWT lalu mereka diberikan nama yang baru iaitu golongan munafiq walau mereka mengaku Islam dan beriman sekalipun kerana mereka telah mengingkari prinsip Islam dengan mempermain dan memperolok ayat-ayat Allah SWT.
Harus diketahui bahawa Al Quran mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dan mulia di dalam Islam sesuai dengan statusnya sebagai kalam Allah dan wahyu yang turun dari langit kepada Baginda Rasulullah SAW. Wajib diyakini tanpa syak dan ragu bahawa ia adalah kitab yang paling sempurna yang tidak mengandungi kecacatan dan kekurangan walau sedikitpun. Barangsiapa yang ragu terhadap Al Quran, maka telah terkeluar ia dari aqidah yang sahih dan terkeluar ia dari golongan yang benar dan selamat iaitu ahlus sunnah wa jamaah.
Kenapa boleh berlaku tindakan dan wujudnya sikap mempermain dan memperolok ayat-ayat Allah ini?. Maka jawabnya adalah, tindakan seperti ini timbul dari hati yang sakit dan hati yang kotor yang dimiliki oleh golongan munafiq. Para sahabah radhiyallahu ‘anhum adalah generasi terbaik dari kalangan umat ini yang mana merekala tauladan umat dalam berinteraksi dengan Al Quran Al Karim.
Tidak ada satu ayat pun dari Al Quran yang turun kepada mereka melainkan segera diamalkan dan dilaksanakan. Keimanan mereka yang teguh serta kebersihan hati nurani menyebabkan mereka sanggup terkorban demi melaksanakan perintah Allah yang terdapat di dalam Al Quran. Ketika turunnya ayat pengharaman arak, para sahabah segera menuang bekas-bekas arak dan memecahkan tempayan-tempayan arak yang ada di dalam simpanan mereka. Ketika turunnya ayat hijab, wanita-wanita sahabah segera mencari kain untuk menutup aurat mereka dan tidak ada di kalangan mereka yang ingkar.
Al Quran juga diturunkan untuk mendidik diri dan menundukkan nafsu. Sedang munafiq, mereka lebih rela menjadi hamba nafsu dari menjadi hamba yang setia kepada Allah SWT yang menciptakan mereka. Dengan kerana itulah mereka mengejek dan mempermainkan ayat-ayat Allah serta mempertikai kemampuan dan kehebatan Al Quran dek kerana kesemua ayat-ayat Al Quran itu sememangnya berlawanan dengan kehendak nafsu.
Dalam gerakan Islam dan perjuangannya jua dikhuatiri virus ini menyelinap masuk tanpa sedar di kalangan anggota jamaah. Bedah siasat harus dilakukan dengan jujur dan ikhlas, telus dan penuh dengan wibawa sebagai sebuah gerakan yang memperjuangkan ISLAM!. Jangan hanya pandai menuturkan, kita tak serupa UMNO, tapi hakikatnya kita lebih kurang dengan UMNO. Cakap berdegang-degang nak buat Islam, nak laksana syariat, nak tegakkan hukum Quran, tugas kita melaksanakan adapun kesannya terpulang kepada Allah. Namun bila diberikan peluang oleh Allah untuk mentadbir sebahagian kecil buminya sebagai ujian dari Allah, kita segera menukar alunan percakapan kita atas nama maslahah, mafsadah, maqasid dan banyak lagi istilah yang kita pernah belajar. Ingat! Belajar untuk diamal dan dilaksana, bukanny untuk dijadikan hujjah untuk membenarkan perbuatan kita yang salah. Inilah bunyi cakap munafiq dalam jamaah.
Oleh yang demikian, didiklah diri dan nafsu agat tunduk kepada perintah Allah. Di sinilah tempat duduknya peranan tarbiyyah. Bukan senang untuk menjadi hamba Allah yang tunduk patuh pada titah perintah Allah. Tidaklah perkataan yang paling layak buat kita sebagai ‘hamba’ dan ‘kuli’ Allah apabila mendengar ayat-ayat Allah SWT melainkan wajib bagi kita ‘dengar dan taat’. Hanya hati berpenyakit seperti munafiq sahajalah yang akan mempermain, mempertikai dan memperolok ayat-ayat Allah. Samalah jua dengan orang yang bergaul dengan mereka. Atas nama apa sekalipun, kecuali untuk berdakwah dan melakukan islah kepada mereka.
1 comment:
Assalamu'alaikum ustaz...
terimakasih untuk peringatan ini ustaz...
cumanya ada istilah yang saya tak berapa faham seperti maqasid,mafsadah,maslahah...
boleh ke nak mintak ustaz sertakan sekali maksudnya bagi istilah2 macamni untuk akan datang...
saya tengah usaha mencari ilmu bagi mengislahkan diri ini....
Post a Comment