Monday, March 23, 2009

Ahmad Said (Ketua Pengarah SPRM) Kata Rasuah Bukan Jenayah !!!

Ada dua berita dalam akhbar hari ini yang buat saya pening. Yang buat saya pening kerana orang yang sama memberi kenyataan mengenai satu isu yang sama tetapi memberi pengertian yang berbeza. Kenyataan pula dibuat dalam satu hari yang sama dan di tempat yang sama.

Mungkin juga saya tak faham sebab saya tidak mahir dengan undang-undang. Maklumlah saya buka pengamal undang-undang.

Berita I: SPRM Hanya Siasat Kes Jenayah

KUANTAN 20 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan menyiasat kes beberapa pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti itu baru-baru ini kerana ia bukan melibatkan jenayah.

"Saudara kena faham, kita mengalu-alukan sesiapa hendak buat laporan tetapi saudara mesti bezakan, kes pelanggaran etika dan pelanggaran disiplin bukan kes jenayah.

"Kami tidak akan menyiasat kes bukan jenayah, kita akan pergi (siasat) kes-kes jenayah, terutamanya rasuah," kata Ketua Pengarah SPRM kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai Program Gerak Mesra Pencegahan Rasuah Bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Lapang Sasar Kompleks Sukan Pahang di sini.

Berita II- Speaker DUN Perak Akan DiSiasat

KUANTAN 20 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapat elemen salah guna kuasa oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dalam tindakannya melarang dan menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco menghadiri sidang DUN pada 18 Februari lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, justeru pihaknya akan memanggil beberapa orang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak termasuk daripada Barisan Nasional (BN) yang hadir pada persidangan DUN berkenaan bagi menyempurnakan siasatan kes itu.

“Bila saya cakap nanti orang marah, tetapi bagi kita ada elemen salah guna kuasa, jadi SPRM menjalankan siasatan."

Ini Perkara Yang Saya Tak Faham:

Yang saya tidak faham ialah apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM menyatakan tidak akan menyiasat kes beberapa pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti itu baru-baru ini kerana ia bukan melibatkan jenayah. Oh, jadi beri wang untuk mendapatkan sesuatu bukan jenayah? Jika beri wang bukan jenayah, mengapa banyak tangkapan oleh SPRM sebelum ini berkaitan dengan memberi dan menerima wang? Atau mengikut takrif SPRM, pemberian dan penerimaan wang yang membabitkan UMNO bukan jenayah, tetapi jika melibatkan pihak bukan-UMNO adalah jenayah? Sejak bila pula menghulurkan wang untuk tujuan mendapatkan sesuatu tidak dikategorikan sebagai jenayah rasuah, sejak Ahmad Said menerajui SPRMkah?

Dan yang menjadikan saya lebih tidak faham ialah kes Speaker DUN Perak yang mengikut Ketua Suruhanjaya SPRM itu boleh disiasat. Kata Ahmad Said, hanya kes jenayah yang SPRM siasat, jadi tindakan Sivakumar menggantung Menteri Besar Perak itu kes jenayahlah?

Pelik, sungguh pelik Akta SPRM ini: hulur dan terima wang bukan jenayah, tetapi menggantung Menteri Besar adalah jenayah. Sebelum ini saya ingat hanya bunuh, rogol, rompak, samun, rasuah (beri dan terima wang) dan perkara-perkara lain yang melibatkan kekerasan saja ditakrifkan sebagai jenayah, tetapi menggantung ahli DUN pun jenayah juga. Tetapi sekali lagi yang peliknya, beri wang kepada orang dengan niat mendapatkan sesuatu seperti yang dilakukan oleh pemimpin UMNO itu bukan pula jenayah!

Oleh: pendikar gunung kriang - pendikargunung.blogspot.com

No comments: