Monday, March 16, 2009

Salam Maulid Ar Rasul Buat Para Pejuang

Salam Islah & Salam Maulid ar Rasul SAW kepada sahabat sekalian,



Tidak ada syak wasangka lagi bahawa kedatangan bulan Rabi'ul Awwal adalah pembawa cahaya dalam hati dan kehidupan kita sebagai pejuang agama. Di bulan ini secara khususnya kita memperingati dan mengenang Mujahid Agung yang mewarisi perjuangan suci ini kepada kita iaitu Saiyyiduna Muhammad Ibn Abdillah.



Bilamana mengenang Rasulullah SAW dan perjuangan serta dakwah Baginda, maka hati-hati kita kembali bertaut atas jalan dakwah dan bersatu untuk menjulang syariat dan menegakkan ajaran Baginda SAW di dalam kehidupan kita seluruhnya. Betapa segan dan malunya kita dengan Baginda SAW kerana perjuangan yang telah Baginda lagang terus menerus dari dahulu hingga hari kiamat menerangi alam ini dengan rahmat Islam yang dikecapi oleh sekalian makhluk sesuai dengan perutusan utama Baginda SAW adalah 'rahmatan lil 'alamien' - rahmat kepada sekalian alam.



Dakwah adalah keperluan. Kita berdakwah kerana kita perlukan dakwah. Pertamanya ; jika kita meninggalkan dakwah dengan sendirinya akan tersebar luas kemungkaran dan kemaksiatan di atas muka bumi. Maka dengan itu terundanglah bala dan kemurkaan Allah SWT. Maka jika Allah SWt menurunkan balaNya, ia akan melata kepada seluruh jenis manusia termasuk orang-orang baik dan saleh sekalipun turut akan terkena tempiasnya. Dengan kerana itu Rasulullah SAW telah meluaskan dakwah Baginda SAW kepada sekalian manusia tanpa mengira jenis, bangsa, latar belakang dan warna kulit. Sementelah kasih sayang Baginda adalah buat sekalian manusia. Baginda mahu 'semua' manusia selamat dengan menyedari dalam masa yang sama bahawa adalah hidayah itu milik mutlak Allah SWT.



Keduanya; bahawa Allah SWT menjanjikan pahala yang besar kepada mereka yang berdakwah dan mengusahakan dakwah kepada manusia. Allah SWt menjelaskan di dalam Al Quran bahawa sebaik-baik perkataan manusia adalah perkataan mereka yang berdakwah mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW ; "Bahawa Allah SWT memberi hidayah kepada satu orang dengan sebab usaha dakwahmu adalah terlebih baik dari dunia dan seisinya".



Ketiganya ; Islam hidup, segar, subur, mulia dengan kerana dakwah kita semua. Walaupun Allah SWT sangat berkuasa memenangkan Islam serta membela ketuanannya hanya dengan 'kun fayakuun', akan tetapi allah SWT mahu menguji kita semua dengan memerintahkan kita membela agamaNya. Siapa yang mempunyai hati yang peduli, maka sudah barangpasti ia mahukan kemuliaan dengan berdakwah menegakkan kemuliaan ISLAM.



Kedatangan bulan Maulid sepatutnya memberikan kesegaran kembali kepada nafas dakwah kita. Bilamana Rasulullah SAW mendatangi Madinah, maka bermulalah saat cahaya Islam bersinar ke seluruh alam. Namun hakikatnya Allah SWT telah menyinari alam ini sewaktu Baginda SAW dilahirkan oleh ibunya Aminah bahkan sebelum dari itu lagi di dalam ilmu Allah SWT.



Perhatikan dan renungilah ketabahan dan kesungguhan Baginda SAW dalam berdakwah mengajak manusia supaya kembali kepada Allah SWT. Tanpa mengenal jemu dan putus asa. Semua itu adalah demi rahmat Allah kepada sekalian alam. Dengan ketabahan dan pengorbanan Baginda jualah kita menerima Islam dan Iman. ayuh kita bersyukur atas nikmat ini. Tapi bagaimana ya ??.



No comments: