Sunday, March 22, 2009

Unity Government: Apakah Tok Guru Nik Aziz Dikelirukan?


Dari blog Sdr Mohd Sayuthi Omar - msomelayu.blogspot.com

MUNGKIN saya silap, tetapi saya tidak percaya kalau Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak faham atau begitu lemah untuk membezakan di antara kerajaan campuran dengan unity government – kerajaan perdamaian/perpaduan.


Ia bunyi sama tetapi sebenarnya berbeza. Sebagai seorang ulama dan bertaraf mursyidul, Nik Aziz tentu sekali arif mengenai isi dan pengertian istilah ini. Mursyid ialah orang yang arif dalam ilmu keagamaan, bijaksana, fatanah dan mampu berijtihad sendiri.


Tok Guru juga tahu bahawa ada perbezaan atau faraknya antara kerajaan campuran dengan unity government. Kerajaan campuran (dalam konteks ini Pas dengan Umno) kedua parti itu bergabung membentuk kerajaan dengan tujuan untuk berkuasa atau mendapatkan kuasa. Itulah fahaman secara mudah mengenai kerajaan campuran walaupun natijahnya lebih besar dan bermanfaat dari itu.


Manakala unity government seperti mana dilontar dan cuba difahamkan Presiden Pas Abdul Hadi Awang – untuk mendapat feed back bagi mengagaskan kerajaan perpaduan yang tidak ada pembangkang.


Maksud perwujudkannya untuk menenangkan keadaan bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang sama-sama memberi fokus kepada menyelesaikan masalah semasa rakyat yang terdesak seperti ekonomi, keselamatan, sosial dan lain-lain. Unity government bukan bermaksud untuk mendapatkan kuasa atau berkuasa atau gila kepada kuasa, namun sama-sama berusaha mencari kebaikan bersama.


Ertinya kerajaan perdamaian ini, (dalam konteks ini UBN) disokong oleh pembangkang. Pembangkang itu bukan bermaksud Pas saja tetapi termasuk juga PKR, DAP dan bebas. Tanpa pembangkang bergabung secara langsung dengan mereka. Lebih mudah lagi pembangkang tidak akan membangkang seperti hari ini melainkan akan membangkang jika kerajaan UBN tergelecah dari dasar-dasar yang tidak boleh dipersetujui Pas mengikut ideologi parti-parti pembangkang. Kalau Pas tentulah yang tergelecah daripada Quran, Hadis dan Ijmak Ulama itu. Maknanya sekiranya kerajaan itu menentang hukum Allah ia tetap akan ditentang.


Abdul Hadi tentu ada asas dan hujahnya untuk melontar idea demikian. Beliau tidak saja-saja syok sendiri tetapi menyelongkari sejarah silam dan berpegang kepada mana-mana sirah. Apakah beliau melontar formula itu selepas melihat kepada semangat perjanjian Hudaibiyah yang pernah ditanda tangani antara orang Islam dan orang kafir Makkah?


Umum sedia maklum perjanjian Hudaibiyah yang dilaksanakan di bawah pokok di Hudaibiyah itu memberi keuntungan bersama antara orang Islam dan bukan Islam. Dengan termeterainya perjanjian itu menyebabkan orang Islam dibenarkan memasuki Makkah tanpa membawa senjata kecuali yang bersarung.


Dengan termenterainya perjanjian itu orang-orang Islam dapat semula berjumpa dengan sanak saudara mereka di Makkah yang terpisah sebelum itu.


Perjanjian itu juga membuka ruang kepada kedua pihak untuk merancang dan membangun perpaduan dan kemajuan untuk kepentingan bersama atas semangat insan sejagat. Dalam erti kata lain perjanjian itu menguntungkan kedua pihak walaupun bukan atas sifat selama-lamanya hanya 10 tahun saja.


Mungkin atas semangat dan intipati perjanjian Hudaibiyah inilah maka Abdul Hadi mendapat ilham untuk melontarkan ideanya itu. Itu pun bukan untuk diterima tetapi untuk dibincang secara lumat terlebih dahulu. Tidak ada maksud beliau cuba menolak konsensus yang diambil pada muktamar di Ipoh pada tahun lalu berhubung pembentukan kerajaan bersama Umno.


Jelas maksud, falsafah dan hikmahnya terlalu mudah. Rasanya ahli peringkat bawahan yang meligamkan kitab sejarah Islam tahu akan segala ini. Tetapi kenapa Nik Aziz seakan begitu complicated untuk mengerti atau rumit cuba memahami formula Abdul Hadi itu?


Lebih malang lagi kata-kata yang dikutip daripada Nik Aziz oleh media massa berhubung perkara itu menunjukkan penentangan totalnya kepada pandangan Abdul Hadi itu. Sekali lagi saya merasakan bukan begitu sebenarnya sikap Tok Guruku itu tetapi melainkan kenyataannya digetus demikian rupa oleh media massa untuk menampakan berlaku perkidasan fikrah antara keduanya.


Nik Aziz juga tidak payah lagi mengulangi sikap dan pendiriannya yang serik dengan Umno. Perulangan menampakkan keegoannya sebagai ulamak. Sikap ini adalah sikap konsistennya sejak dulu. Orang Pas juga terima pendirian tidak mahu dipatuk ular bernama Umno dua kali. Rasanya orang Pas tidak begitu benak untuk memahami ini. Abdul Hadi Awang juga rasanya tidak begitu babil untuk bersedia dipatuk ular bernama Umno sekali lagi walaupun ada orang Pas yang nampaknya senang berjinak dengan ular lain yang pernah dua kali mematukPas.


Secara perbadi saya beryakinan penuh Tok Guru Nik Aziz bukan tidak memahami hasrat dan maksud Abdul Hadi itu. Beliau faham kerana mereka dari mazhab sama dan membaca sejarah sama! Tetapi kenapa berlaku pertentangan ini saya nampak kerana ada salah faham dalam memahami perkara ini, itu saja.


Kemungkinan Nik Aziz tidak membaca sendiri pandangan Abdul Hadi dan hanya mendengar kupasan daripada orang lain. Kalau ini berlaku ini silap Tok Guru Nik Aziz. Sepatutnya beliau panggil Abdul Hadi untuk mendapat penjelasan menyeluruh. Apakah menjadi satu dosa untuk beliau memanggil Abdul Hadi bagi meminta penjelasan dulu sebelum membuat kupasan umum?


Perkadasan ini timbul mungkin juga ia disengajakan ataupun Tok Guru memahaminya dari penjelasan yang silap. Saya tidak percaya kalau beliau mendapat taklimat sebenar mengenai unity government itu beliau akan komen dengan begitu keras sekali sampai membangkitkan yang beliau ada nakhoda Pas.


Saya rasanya beliau sengaja diberikan maklumat yang salah untuk membolehkan Tok Guru berkenaan membelasah presiden Pas. Ada tujuan dan gunanya kalau Mursyidul Am membelasah Presiden Pas. Apa yang hendak ditonjolkan dengan situasi itu presiden sudah tidak popular dan mempunyai pandangan selari dengan Mursyidul Am Pas. Inilah yang nampaknya dicari dan diharapkan atas kesengajaan itu!


Persoalan di sini, kalau Tok Guru tidak faham dan jelas mengenai unity government itu, dimanakan para penasihatnya? Apakah para penasihat politiknya khususnya setiausaha politik tidak menjelaskan duduk perkara sebenarnya? Ataupun setiausaha politik memang jahil mengenai hal ini ataupun memang sengaja memberi penjelasan yang salah atas sebab-sebab tertentu misalnya disudah dirasuk sang oportunis!


Elok kalau setiausaha politik Nik Aziz itu tampil memberi penjelasan sebenarnya tentang sejauh manakah kefahamannya mengenai unity goverment ini bagi mengelak timbul salah tanggap kepada kerja-kerjanya. Perlu. [wm.kl. 4:00 pm 21/03/09]



No comments: