Salam Islah,
Sepanjang bulan Rabi’ul Awwal tahun ini saya tidak banyak menerima jemputan pengisian program Maulid ar Rasul. Walau bagaimanapun, lelah juga menunaikan hajat sahabat-sahabat yang menganjurkan program tersebut. Habis kering idea diperah untuk menyampaikan mesej tasawwur yang jelas terhadap tuntutan yang sebenar mengenai Maulid ar Rasul SAW.
Saya amat malas hendak membicarakan hukum sambutan maulid dengan kekhilafan yang ada di dalamnya. Walaupun ada sahabat-sahabat yang tidak bersetuju dengan asas ‘berbaik sangka’ yang saya kemukakan dalam ‘membenarkan’ sambutan ini, tetapi saya tetap mahu ia diteruskan dan saya pasti akan terus memberikan kerjasama terbaik untuk sama-sama menjayakannya.
Dunia Fiqh Islami yang amat luas jangan sekali-kali kita sempitkan. Ia ibarat sebuah taman bunga yang luas dengan pelbagai jenis bunga dengan kepelbagaian baud an haruman memenuhi taman tersebut. Terpulang kepada kita untuk memetik bunga mana yang kita kehendaki.
Perkara yang paling saya risaukan ialah dalam keghairahan meraikan Rabi’ul Awwal dengan sambutan kelahiran Rahmatan Lil ‘Alamie SAW, kita melupakan tuntutan haqiqi daripadanya.
Adalah menjadi tuntutan utama kepada kita umat Saiyyiduna Muhammad SAW selain daripada menunjukkan rasa kasih dengan mengadakan sambutan maulid Baginda SAW iaitu dengan ‘memperteguhkan keimanan’ kepada Baginda SAW serta melaksanakan ajaran Baginda SAW di dalam setiap cabang kehidupan kita.
Firman Allah SWT :
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa Yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?” al Maidah : 104
Dan Firman Allah SWT :
“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” An Nisaa’ : 115
Dr Hamka rahimahulLah telah menjelaskan di dalam tafsirnya mengenai ayat 115 surah An Nisaa’ bahawa ayat ini menjelaskan kepada kita mengenai salah satu dari sifat orang munafiq iaitu menentang ajaran Rasulullah SAW walaupun telah nyata kebenarannya. Sedang kejahatan munafiqun itu jauh lebih bahaya kerana mereka menyerupai mukmin bahkan lebih hebat dalam sambutan maulidnya!. Dr Hamka juga menjelaskan bahawa mereka akan dipalingkan Allah dari kebenaran lalu mengikuti kesesatan dan penghujung kehidupan mereka adalah kehancuran dan kebinasaan. Beliau juga menasihati sekalian muslim agar menyelidiki seluruh petunjuk Rasulullah SAW dengan matahati yang jernih serta mizan keilmuan yang yang sahih agar tampak pada kita kewajipan untuk menuruti ajaran Rasulullah SAW.
Semoga kita semua tergolong dari kalangan orang-orang yang mencintai Rasulullah SAW dengan membuktikan kecintaan tersebut bukan sahaja dengan merayakan maulid Baginda, akan tetapi mengikut setiap inci ajaran Baginda serta ‘memperjuangkannya’ di dalam kehidupan kita, keluarga, masyarakat dan Negara.
Tidaklah aku kehendaki melainkan melakukan ISLAH semampu diriku, Wa Maa Taufiiqii Illa BilLaah….
Dicatatkan pada 21/3/2009 ( Sabtu) ,
02:07 pagi, Taman Permata Hulu Kelang.
1 comment:
Salam...
Jam 2 pagi pun Ustaz menulis lagi...
Semoga berkat tulisan Ustaz...
Apepun..banyak manfaatnya pada semua... Semoga Ustaz terus di kurniakan tubuh badan yang sihat dan rezeki yang berkat..... Amin.
Post a Comment