Banyak yang saya belajar dalam usrah bersama al Fadhil Ustaz Hj Hashim Jasin baru-baru ini ( Selasa – 21 / 4 / 2009 ). Beruntungnya kami di Perlis berada di bawah kepimpinan ulama’ yang sudah begitu dalam terlibat dengan gerak kerja perjuangan dan sangat kaya dengan ilmu dan pengalaman serta sangat ‘faqih’ dengan suasana semasa.
Pertamanya yang saya belajar pada malam tersebut bahawa untuk menyelesaikan semua masalah yang berlaku dan berbangkit di dalam jamaah yang kita dokong ini, wala’ kepada pimpinan serta memberikan ‘thiqah’ kepercayaan kepada mereka adalah kunci penyelesaian yang paling ampuh. Ustaz Hashim memberikan contoh dalam isu ‘unity government’ yang dilontarkan oleh Tuan Guru Presiden, sepatutnya kita memberikan sepenuh kepercayaan kepada beliau serta bersangka baik bahawa apa yang cuba disarankan oleh TGHH adalah merupakan lontaran politik untuk mengkucar-kacirkan UMNO di saat mereka sedang berhadapan dengan kemelut pemilihan dalam UMNO baru-baru ini. Ajak berdebat pun mereka tidak mahu, inikan pula untuk bersama mentadbir negara. UMNO pun tahu PAS tak mahu judi,arak dan yang paling UMNO tak berkenan adalah PAS bukan parti rasuah. TGHH tentu sangat yakin bahawa UMNO tidak akan sama sekali menerima cadangan ini. INilah adab Islami yang mesti kita terima hakikatnya. Saya pun sangat tidak berkenan dengan salah guna wala’ dalam kepimpinan PAS, akan tetapi jika penggunaan wala’ dan thiqah itu kena dan sesuai pada tempatnya, maka wajar dan sangat patutlah ia diamalkan.
Kedua, kita berada di zaman kemungkaran dan maksiat itu berlaku terlalu banyak di sekeliling kita. Untuk membasminya kita perlukan kesatuan dan perpaduan yang kukuh dalam jamaah. Tidak boleh banyak kepala dalam menentukan bagaimana untuk membasmi kemungkaran tersebut. Dalam PAS, kita telah menentukan dan telah berijtihad dengan kaedah dan uslub yang sesuai untuk berdepan dengan kemungkaran yang semakin hari semakin disuburkan oleh pemerintah negara sedang ulama’ kerajaan diam membisu. Dengan kerana itulah PAS memilih politik sebagai kaedah dan uslub untuk memacu dakwah yang berkesan dalam mencegah kemungkaran tersebut. Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah Berjaya mengurangkan maksiat dan kemungkaran di Kelantan. Kerajaan Kedah pula telah memulakan langkah untuk menutup tempat-tempat judi dan maksiat serta mengkaji kaedah untuk mengurangkan premis arak di Kedah. Dengar cerita, JOM HEBOH akan beraksi di Pangkor ( dalam jajahan takluk Mufti Perak Dato’ Seri Harusani Zakaria), dan saya sedang tidak sabar menantikan beliau.
Ketiga, kejayaan kita dalam dakwah dan harakah tidak diukur dengan berjayanya kita melaksanakan misi dan visi jamaah 100%. Jika kita dapat melaksanakan 10% sekalipun kita sudah dikira berjaya. Semuanya bertitik tolak dari kemahuan kita. Jangan berdiam diri dan melihat sahaja apa yang berlaku, sebaliknya bekerja dan berusahalah tanpa jemu dan putus asa. Yang mustahak, kita terus beristiqamah. Melangkahlah walaupun hanya satu langkah. Yang penting, langkah ke hadapan bukan ke belakang.
1 comment:
Jazakallah atas penerangan ustaz, saya sebagai rakyat Malaysia yang menyokong Jemaah Islam tidak mahu isu-isu sebegini disensasikan, Saya harap golongan ulama' dapat menjelaskan sejelasnya kepada Malaysia hikmah disebalik isu Unity Government.
Post a Comment