Friday, July 25, 2008

Antara Tarbiyah & Politik

Bismillah,wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala saiyyidil mursalin Nabiyyina Muhammadin, wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’ien, wa ba’du :

Salam ISLAH,

"Di sana ada lagi satu penyelewengan yang boleh menjauhkan kita dari jalan yang sihat iaitu kita memandang ringan terhadap proses tarbiah, pembentukan dan perlunya beriltizam dengan ajaran Islam dalam membentuk dasar dan asas yang teguh. Lantas kita seolah-olah melatah lalu menggunakan cara dan uslub politik menurut sikap dan telatah parti-parti politik. Kita akan mudah terpedaya dengan kuantiti anggota yang kita ambil yang dianggap menguntungkan tanpa mewujudkan iltizam tarbiah. Ini adalah satu jalan dan cara yang sangat merbahaya yang tidak dipercayai akibatnya. Ini mungkin menyediakan anasir yang kukuh yang mampu memikul hasil kemenangan, kekukuhan dan kekuasaan untuk Islam.


Sebenarnya kita tidak kekurangan kuantiti, tetapi kita kekurangan kualiti. Kita kekurangan bentuk dan contoh Islan yang kuat imannya yang membulatkan dirinya untuk dakwah, rela berkorban pada jalan dakwah dan jihad fi-sabilillah dan yang sentiasa istiqamah hinggalah bertemu Tuhannya. Oleh kerana itu marilah kita beriltizam dengan tarbiah dan janganlah kita redha menukarkannya dengan cara yang lain."

Demikianlah bunyinya teks usrah tarbawi Darul Islah yang saya pimpin setiap Isnin saban minggu.Ia adalah terjemahan tulisan ash Sheikh al Mujahid Musthofa Masyhur (mantan Murshid 'Am Ikhwan al Muslimin). Setelah hilang kemalasan saya sari dua ini akibat letih benar otak saya ni dengan isu muzakarah UMNO-PAS, maka malam inilah baru ada kekuatan untuk menulis kembali isi usrah Isnin yang lepas.

Saya katakan kepada pemuda-pemuda di hadapan saya bahawa antara penyelewengan terbesar di dalam sebuah gerakan Islam bilamana diletakkan politik di hadapan tarbiyyah. Hilang agenda tarbiyyah dalam gerak kerja parti dan jamaah. Tidak sepatutnya gerak kerja parti dipisahkan dari tarbiyyah. Hatta bila berpolitik sekalipun, ia adalah satu proses tarbiyyah kepada kita. Dalam isu muzakarah, nampak sangat Allah mahu mentarbiyyah dan menguji kita.

Dalam gerakan Islam, proses pemeliharaan Allah terhadap perjuangan menegakkan agama pasti berlaku. Dalam masa yang sama, proses penapisan juga berlaku. Allah SWT pasti akan membersihkan perjuangan ini dari jiwa-jiwa yang tidak ikhlas. Mereka yang mempunyai matlamat duniawi dan agenda peribadi dalam perjuangan tidak layak duduk dalam perjuangan Islam. Bila Tuan Guru Presiden mengambil keputusan bertemu Pak Lah, ada orang kata Tuan Guru Presiden dan sebahagian pimpinan PAS sudah tertarik dan terpedaya dengan tawaran duniawi Pak Lah. Sebenarnya kita akan melihat siapa yang sebenarnya yang tertarik dengan tawaran duniawi tersebut dan akan dinyahkan oleh Allah SWT dari perjuangan suci ini.

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya” Surah Al Hijr : 9

Kefahaman terhadap nas di atas ialah Al Quran akan dipelihara Allah selama-lamanya. Termasuk dalam maksud pemeliharaan Allah SWT terhadap Al Quran ialah Allah akan memelihara orang-orang yang berjuang menegakkan Al Quran sebagai hukum dan mengangkat kemuliaan Al Quran ditempatnya. Termasuklah jua kumpulan manusia atau jamaah yang berjuang menegakkan hukum Al Quran, mereka akan dipelihara oleh Allah SWT dari segala kejahatan dan unsur-unsur yang tidak baik.

Antara kaedah Allah memelihara perjuangan Islam adalah Allah turunkan ujian, Allah jadikan halangan serta kepayahan menghiasi dan menjadi latar belakang kepada perjuangan suci ini. Dengan sendirinya, ,mereka yang ikhlas dalam perjuangan akan terus istiqamah dengan rahmat Allah SWT dan mereka yang punya niat yang jahat dan kotor tidak akan punya daya ketahanan dan akhirnya akan memilih jalan lain yang jauh lebih senang berbanding jalan perjuangan ini. Maka berlakulah tapisan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang beriman.

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu.” Surah Muhammad : 31

Kalau tarbiyyah tidak dijadikan asas dalam perjuangan, mana mungkin akan terbitnya daya tahan dalam berhadapan dengan ujian Allah SWT. Jangan saudara bayangkan bahawa hanya dikatakan ujian itu ialah bila dipenjarakan, disiksa, dipulau dan sebagainya. Itu semua tidak kita nafikan. Namun terkadang kita lupa bahawa ujian Allah itu boleh berlaku dalam perkara yang kita tidak sangka. Ujian emosi dan perasaan juga boleh berlaku. Rasa mahu berkuasa, mahu cepat jadi menteri, gila pengaruh , mahu menonjolkan diri untuk cepat naik dan perlbagai lagi.

Dalam usrah kita bincangkan teladan hebat Saiyyiduna Khalid Al Walid yang meneruskan perjuangan hingga selesai walau menerima surat pelucutan jawatan dari khalifah. Betapa beliau mengenepikan perasaan dan emosi demi memastikan kejayaan jihad. Namun bila ujian yang sama menimpa kita, belum tentu kita dapat mengambil langkah seperti SaifulLah al Maslul Khalid al Walid rdh.

Di sinilah letaknya kepentingan tarbiyyah yang menjadi tunjang kepada setiap kerja buat gerakan Islam. Menjadikan anggotanya sentiasa segar dan teguh pendirian dalam setiap ehwal dan keadaan. Memburu kemuliaan kemenangan dan syahid di medan juang.




Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kangar 33


Saf Kepimpinan PAS Kawasan Kangar 2007-2009



Bersama Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Pak Lang Hairy Hashim bin Hashim.



Bersama Ketua Urusan Ulama' Al Fadhil Ustaz Salleh Adam.


Perwakilan Dewan Muslimat. Anda adalah serikandi ummah.

Perwakilan PAS Cawangan-Cawangan. Khusyuk mengikuti aturcara majlis.


Ayahanda Hj Rahmat Mohd Noor sedang menerima cenderahati tanda ingatan dari PAS Kawasan Kangar. Beliau adalah Penasihat & Mantan YDP. Ayahanda, doakan kami anak-anakmu ini kekal istiqamah dengan perjuangan ini.


Perwakilan Dewan Pemuda sedang melafazkan ikrar dan baiah taat setia kepada perjuangan Islam yang suci. Hidup mulia atau mati syahid!




Thursday, July 24, 2008

Wala' & Ketaatan Asas Kekuatan Dan Kemenangan Islam

A. Dalil Wajib Memberikan Wala’ & Ketaatan Kepada Allah, Rasul Dan Kepimpinan :

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” Surah An Nisa’ : 59

2.Sabda Rasulullah SAW :

“ Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan mendengar dan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama Allah dalam semua keadaan tidak boleh dijejaskan oleh celaan orang yang mencela, dan sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku daripada apa yang kamu pertahankan daripadanya akan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu dan bagi kamu syurga” riwayat Imam Ahmad

3.Ucapan Saiyyidina Abu Bakar rdh :

“Taatlah kepada aku selama mana aku taat kepada Allah pada memerintah kamu, sekiranya aku berbuat maksiat (melanggar perintah Allah) maka tidak wajib kamu mentaati aku”

KESIMPULAN :

Memberikan wala’ dan taat kepada kepimpinan parti dan jamaah adalah WAJIB SYAR’IE.

B. Pengertian Wala’ :



Wala’ bererti : penjaga, pemimpin, pelindung dan penyerahan.


Wala’ terkandung di dalamnya tiga unsur :1) Kasih sayang2) Tolong menolong3) Persefahaman


Konsep Wala’ yang diamalkan di dalam organisasi Islam bermaksud kesetiaan seorang Muslim kepada saudara seagamanya samada sebagai seorang ketua, pimpinan, imam atau kawan.
Secara umumnya pengertian wala’ dan taat dalam ruang lingkup Harakah Islamiyyah ialah kepatuhan dan ketaatan kepada pimpian dalam saf perjuangan Islam.

C. Pengertian Taat :

Kata Imam Hassan Al Banna rhm :

“ Apa yang aku maksudkan dengan ketaatan ialah ; mematuhi perintah dan segera melaksanakannya sama ada pada masa susah mahupun senang, dalam perkara disukai atau dibenci.”

D. Kepentingan Wala’ & Ketaatan Kepada Kepimpinan Jamaah Islam :

1. Wala’ dan taat membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa kepada perpecahan.

2. Wala’ dan taat membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti yang tidak boleh dijejaskan dengan oleh pandangan individu yang berbeza.

3. Wala’ dan taat dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai dalam parti,kerana ada orang yang terlalu laju, ada yang lambat dan sederhana.

E. Beberapa Permasalahan Sekitar Wala’ & Taat :

Permasalahan memberi wala’ ini sering berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah:

1. Tidak meletakkan wala’ yang mutlak kepada Allah.
2. Tidak memahami konsep berjemaah
3. Tidak menghayati waqi’ semasa
4. Tidak mempunyai pendidikan Islam
5. Tidak ada unsur tawadhu’ ketika berjemaah6. Tidak ada perasaan cintakan kepimpinan.

F. Penyelesaian :

1. Memberikan kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan.
2. Senantiasa meletakkan keutamaan Islam dan jamaah lebih daripada kepentingan diri sendiri.
3. Senantiasa menjadikan Al Quran, As Sunnah, Dan Sirah Rasul sebagai panduan dalam perjuangan.
Rujukan :

1.Al Quran & Al Hadith.
2.Penjelasan Sekitar Risalah At Ta’alim ; Muhammad Abdullah Al Khatib
3.‘Amal Jama’i ; Pengertian & Tuntutan; Ustaz Yahya Othman
4.dppwp.wordpress.com

Disediakan oleh :

Ustaz Haji Yussaine bin Yahya
Pengerusi Lajnah Tarbiyyah & Kepimpinan Badan Perhubungan PAS Perlis.


Selesai


BismilLah,wassolatu wassalamu ‘ala saiyyidina Rasulillah,wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man nasarahu wa walahu, amma ba’du;

Salam ISLAH,

Saya kira hiruk pikuk yang berlaku dengan isu muzakarah telah mendapat kata putus untuk ditaati dan diberikan wala’ oleh semua anggota gerakan Islam seumpama PAS. Bila Majlis Syura Ulama’ telah membuat ketetapan bahawa pertemuan UMNO-PAS handaklah diteruskan maka tiada boleh ada lagi suara-suara di belakang yang berbunyi. Jika masih berbunyi juga pun maka itu sudah tentu datangnya dari bukan ahli PAS dari ahli yang tidak pernah mengikuti tarbiyah PAS dan kemungkinan juga dari Pimpinan yang naik tanpa melalui proses pentarbiyah (hanya kerana suka tonjolkan diri atau pandai bersyarah).

Majlis Syura Ulama’ yang bersidang di Kota Bharu pada 23 Julai 2008 telah bersetuju dengan pertemuan atau muqabalah PAS dengan UMNO atas beberapa kepentingan tertentu yang ada di antaranya sudah tentulah boleh didedahkan kepada ahli dan ada yang perlu dirahsiakan. Tentu juga ada di kalangan pihak-pihak yang cuba nak jadi hero akan mendesak supaya apa yang tak patut diceritakan itu didedahkan segera kepada umum atas dasar ketelusan. Bagi saya, inilah sikap munafiqun sepanjang zaman, menyuburkan keraguan dan membangkitkan rasa tidak percaya kepada pimpinan serta mencetuskan perbalahan di kalangan ummah. Kita diajar oleh Al Quran dan Al Hadith supaya memberikan thiqah kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada apa jua keputusan kepimpinan. Di sinilah asas kesatuan dan kekuatan serta perpaduan di kalangan umat ini. Setelah mereka disatukan dengan tauhid, mereka diperkukuhkan pula dengan pimpinan yang mengajak kepada bersatu di bawah naungan wahyu Allah dan petunjuk nabawi. Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya (agama Tauhid) Ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, Maka sembahlah Aku.” Surah Al Anbiya’ : 92

Ketaatan dan memberikan wala kepada pimpinan adalah asas kesatuan. Dengan keduanyalah dapat disatukan pelbagai pandangan dan kecenderungan di bawah panji ketaatan yang tinggi serta membuahkah kesatuan tindakan. Dengan wala’ ketaatan juga dapat diseimbangkan kepelbagaian dalam tindakan, yang laju,sederhana dan perlahan dalam gerak kerja dapat disatukan serta ‘dikawal’ dengan ketaatan. Saya sebutkan dalam posting terdahulu bahawa, kita selalu diuji dengan keputusan pimpinan. Namun sekarang, tibalah waktunya kita memberikan wala’ sepenuhnya tanpa banyak bicara lagi. Mungkin ada yang berkata, kenapa Syura lambat sangat bertindak?. Kenapa sebelum ini ada percanggahan antara kenyataan Mursyid Am dan Presiden.?. Jawapannya adalah kerana isu ini telah dibocorkan dan disebarkan kepada umum dengan mendahului tindakan pimpinan. Atau dengan kata lain, pengkhianatan yang berlaku dalam PAS yang menyebabkab berlakunya kebocoran perkara yang tak patut bocor. Di sinilah letaknya kepentingan tarbiyyah dalam PAS. Sayangnya semua ini terabai. Belum pernah saya dengar berlakunya program tamrin atau apa jua bentuk program tarbawi di kalangan pimpinan ‘atas’ dalam PAS. Mungkin usrah juga telah lama ditinggalkan. Kalau adapun , apa yang dinamakan usrah tepi jalan atau usrah sambil-sambilan yang langsung tidak ada keseriusan. Maafkan saya dalam hal ini. Kita kekurangan anggota yang suka berterus terang, maka saya gagahkan diri saya untuk berterus terang. Inilah hakikatnya, apa yang nak di kata. Kalau markaz tarbiyyah PAS Pusat pun terabai agak lama atas alasan baik pulih, maka kalau karkaz tarbiyyah di peringkat cawangan beku pun , apa yang nak kita kata lagi?.

Dalam hal beberapa pimpinan yang telah mendahului dengan bertemu Pak Lah, ini soal beberapa kuasa veto pimpinan atas yang kita kena akui. Kalau besar taik kuku pun takdak kuasa veto dalam membuat keputusan, pimpinan apa namanya tu. Berilah kepercayaan kemudian berlapang dadalah. Waktu al Marhum Ustaz Fadhil segera bertemu Dato’ Seri Anwar sewaktu di awal pemecatan Anwar dahulu pun Ustaz Fadhil dihentam kerana telah mendahului parti. Namun beliau minta supaya parti kena beri kepercayaan kepada dia dan sudah tentu katanya dia ada sedikit kuasa untuk buat keputusan yang diyakini menguntungkan parti di waktu itu. Banyak sungguh suara hentaman pada waktu itu, namun akhirnya?. Kesemuanya pakat akui manafaatnya pertemuan dan ziarah awal tersebut kepada survival politik PAS. Tak gitu?

Saya sangat bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa kita kena bersedia untuk menerima kelemahan pimpinan kita. Dengan itu, apa jua yang berlaku kita akan tetap terus kekal istiqamah. Lainlah jika sekiranya, berlaku pengkhianatan dalam perkara dasar. Manusia selain Nabi tidak ma’sum. Tetapi jika pimpinan memimpin dengan wahyu dan nasihat syura ulama’ maka yakinlah dengan kebenaran mereka dan berlapang dadalah.

Dan yang pasti menyentuh jiwa dan membetulkan semua perkataan jahat mana-mana pihak sekalipun termasuk kenyataan sebahagian pimpinan PAS sendiri ialah apa yang diperjelaskan oleh Tuan Guru al Mursyidul 'Am PAS mengenai muqabalah/pertemuan PAS-UMNO. Kata TGNA :

"Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS. "Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"

Selesai!

Tuesday, July 22, 2008

Tarbawi ; Membangun Kekuatan Ruhiyyah


Kisah ini dialami seorang aktivis muslim. Di akhir masa kuliahnya, ia sangat aktif di beberapa kajian. Selain itu, ia selalu mendapat panggilan sebagai nara sumber (penceramah utama) di berbagai seminar. Di tengah kesibukannya, namanya masih terdaftar pada posisi strategik di organisasi mahasiswa. Terkadang ia menyedari mutu kesungguhan ibadahnya mulai tak seimbang dengan kesibukan kegiatannya. Malah kenikmatan spiritualnya makin hambar kerana sering terganggu dengan fikiran sibuk yang selalu mengejarnya.


Namun kerana keruntuhan ruhiyyah yang terus merudum, ia mulai terjatuh di pinggiran landasan perjuangan yang pernah dibangun bersama teman-temannya. Kini idealismenya pupus ditelan kesibukannya.Kisah seperti ini sudah menjadi satu fenomena. Namun kita tidak berkemampuan untuk mengeksploitasi fakta-fakta yang ada. Yang menjadi sorotan adalah kenapa masalah ini semakin menggejala. Kenapa dengan maksud bergiat utk memperbaiki umat, malah militansi (kesungguhan) ibadah tergadaikan? Bila hal ini terus berlanjut, tentunya keindahan Islam tak akan tampak kerana aktivisnya hanya bergantung kepada kata-kata ansich. Tak ubahnya seperti pedagang nasi yang baju dan tangannya penuh dengan rona-rona kotor dan bau. Siapa yang mahu beli ? Paling tidak, ada beberapa faktor yang harus dipertajam ketika aktiviti sudah mulai memburu para aktivis dakwah. Pertama, ladang dakwah adalah arena mencari redha Allah swt. Bila ini menjadi sebuah kata kunci, kita akan mampu terus membuka ladang baru dengan kunci ini. Sebaliknya, bila kunci patah atau hilang dari benak kita, berhati-hatilah, petaka pasti akan terjadi.


Ladang itu akan berubah menjadi ladang pembantaian ruhiyyah kita. Sebagaimana nasihat Rasul SWT bahwa dunia itu ladangnya hari akhirat. Maka upaya para aktivis dalam mengelola ladangnya adalah dengan mematuk setiap jengkal tanah dan menanamnya dengan bibit (benih) unggul berlabelkan ‘Allah oriented’. Jangan beri kesempatan hama-hama perosak itu mendapat bahagian hidupnya di ladang kita.


Kita ingat benar dengan perasaan Hanzhalah ra yang merasa munafik kerana ketika menggarap ladangnya ia terkadang lupa dengan pesan-pesan Rasul SAW yang selalu mengingatkan kepada syurga dan neraka. Hal ini diadukan kepada sahabatnya Abu Bakar ra, yang ternyata menemukan kes yang serupa. Akhirnya beliau berdua mengadu kepada Rasul SAW yang dijawab dengan, “…akan tetapi sa’ah wa sa’ah.” Maksudnya, bagilah waktumu agar ada saat untuk ini dan ada saat untuk itu. Alangkah baiknya bila perasaan Hanzhalah ra ini bisa mengalir pada setiap aktivis melalui getaran-getaran jiwanya ketika ia mulai menggarap ladangnya.Kedua, selalu bercermin kepada orang-orang soleh pendahulu kita. Kerana mereka adalah orang-orang sibuk yang waktu tidurnya tergadaikan untuk membina umat.


Sebut saja cerita yang disampaikan Ibnul Qasim, salah satu ulama fikih di Mesir yang wafat tahun 191 H, “Aku pernah mendatangi Imam Malik sebelum waktu fajar. Kutanyakan kepadanya tentang dua masalah, tiga masalah, empat masalah, dan saya benar-benar melihatnya dalam suasana lapang. Kemudian aku mendatanginya hampir setiap waktu sahur. Terkadang kerana lelah, mataku terkatup dan aku tertidur. Ketika Imam Malik keluar dari masjid, aku tidak mengetahuinya. Kemudian aku dibangunkan oleh pembantunya sambil mengatakan, “Gurumu tidak tertidur seperti kamu. Padahal saat ini usianya telah mencapai empat puluh sembilan tahun. Setahuku ia nyaris tidak pernah shalat shubuh kecuali dengan wudhuk yang dipakai dalam shalat isya. ” (Tartibul Madarik,3/250)


Ada lagi cerita salah seorang salafus soleh yang mengatakan, “Aku pernah bangun pada waktu sahur untuk mempelajari Alqur’an pada Ibnu Akhram, seorang ulama Damaskus. Tapi ternyata kehadiranku telah didahului oleh sekitar tiga puluh orang. Dan aku belum memperoleh giliran sampai datang waktu ashar.” (Nuzhatul Fudhola, 2/1145).Akhirnya, membaca dan menelaah hidup para salafussoleh itu perlu, kerana mampu membangkitkan semangat baru dalam diri kita. Juga, membaca peri kehidupan mereka itu sama halnya dengan berziarah dan berhadapan dengan mereka, sehingga kita pun dapat barakah dari Allah kerananya. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Imam Ibnul Jauzi rahimahulah, ” Aku berlindung kepada Allah dari peri hidup orang-orang yang tidak punya cita-cita tinggi hingga bisa diteladani orang lain, yang tidak mempunyai sikap wara’ yang bisa ditiru oleh orang yang ingin berzuhud demi Allah. Hendaklah kalian mencermati perilaku suatu kaum, mendalami sifat dan kisah tentang mereka. Kerana memperbanyak meneliti kitab-kitab mereka adalah sama dengan melihat mereka. Bila engkau mengatakan telah mendalami dua puluh ribu jilid buku, bererti engkau telah melihat mereka melalui kajianmu terhadap tingkat semangat mereka, kepandaian mereka, ibadah mereka, keistimewaan ilmu mereka yang tak pernah diketahui orang yang tidak pernah membacanya.”( Qimatuzzaman indal Ulama :31 ).


Ketiga, ketika beraktiviti, kita memerlukan tenaga yang merupakan satu kepentingan untuk menjamin keberlangsungan acara tersebut. Tenaga itu merangkumi spiritual dan fizikal. Sedangkan tenaga spiritual adalah sebagai parameternya. Bila spiritual itu meningkat, secara automatik-nya tenaga fizikal akan terus mengimbanginya sampai ke puncak yang sewajarnya. Kalau istilah Syeikh Ahmad Rasyid, “.. sampai lutut-lutut itu bergetar.” Atau peribahasa lain mengatakan “Kanzi.. ‘ajzi” (Sampai yang di gudangku itu habis di situlah kelemahanku). Untuk mendapatkan daya hidup itu, setidak-tidaknya harus ada sebuah tradisi spiritual khas yang dijadikan kesenangan dan kegembiraan jiwa. Sehingga jiwa ini penuh dengan daya hidup. Kemampuan fizik dalam melakukan sesuatu perbuatan juga akan turut sama meningkat.


Contoh yang sering kita dengar ialah kisah Imam Ibnu Taimiyyah. Ketika beliau berjihad melawan Tartar, kemampuan fizik beliau sangat tinggi melebihi rata-rata, sementara para mujahidin yang lainnya mulai melemah kehabisan tenaga. Melihat hal itu mereka bertanya kepada Imam,”Apakah rahsianya..?”. Beliau menjawab, “Ini adalah buah ma’tsurat yang selalu saya baca di pagi hari setelah sholat shubuh sampai terbitnya matahari. Saya selalu menemukan kekuatan yang sangat dahsyat setiap melakukan wirid itu. Tapi jika saya tidak melakukannya, saya akan merasa seperti lumpuh pada hari itu.” Demikianlah tenaga dahsyat itu didapatinya dari sebuah wirid yang sudah menjadi tradisi spiritual khas pada setiap pagi dan petang.Justeru, setiap aktivis mampu menjaga beberapa tradisi spiritual khas, sesuai dengan kegembiraan hatinya dalam menikmati tradisi itu.Akhirnya, kita berharap semoga kita yang mungkin termasuk membawa bendera dakwah ini bisa menjaga militansi (kesungguhan) ibadah kita seperti para pendahulu kita yang tetap bersungguh-sungguh dalam bergerak.

Sumber : Paksi.net




Monday, July 21, 2008

Selesaikan Dengan Ketaatan

Salam ISLAH,

Saya tak nampak ada jalan lain untuk mencapai kemenangan melainkan dengan mentaati arahan dan keputusan pimpinan. Lantaran saya menerima banyak sms, panggilan telefon, email dan bermacam-macam lagi persoalan dan tekanan (kalau boleh dikatakan begitu) maka saya rasa inilah kesimpulannya atas isu muzakarah UMNO-PAS ini. Inilah sikap dan perangai kita bila diuji Allah SWT dengan keputusan pimpinan kita. Dulu kita diuji dengan keputusan Tuan Guru Nik Abd Aziz menjemput MAWI ke Kelantan. Kalau tak silap ingat saya, ada juga yang sebut nak keluar dari PAS kerana TGNA pun dah nampak gelong dan menuju kepada terserong. MAWI datang dari Akademi Fantasia yang bersalut noda. Mana boleh terima orang macam ini dan bawa ke Kelantan. Inilah suara-suara ‘pendokong kebenaran’ di waktu itu. Tapi akhirnya suara ini hilang dan pupus begitu sahaja bila TGNA mmebuat penjelasan bahawa jemputan kepada MAWI adalah atas dasar dakwah kepadanya. Mungkin ada orang akan cakap MAWI dengan UMNO tidak sama. MAWI tidak ada kuasa dan UMNO berkuasa. Bagi saya sama sahaja, UMNO ada pengikut dan MAWI pun ada pengikut. Berapa puluh ribu pengikut MAWI yang berjaya didakwahkan pada malam persembahannya di Kelantan. UMNO lagi banyak pengikutnya. Ada kenyataan yang say abaca bahawa sampai kiamat pun UMNO takkan ikut PAS. Ini cakap orang jahil Islam dan penuh buruk sangka terhadap Allah SWT. Pintu hidayah milik Allah. Bukan milik PAS bukan juga milik UMNO. Bukan milik TGNA bukan juga milik Presiden PAS. Ia milik mutlak Allah SWT. Kalau Umar diberi hidayah oleh Allah SWT masakan UMNO tidak boleh dipimpin Allah kepada kebaikan walau ada yang menganggap bahawa UMNO adalah setaraf dengan Kerajaan Makkah zaman Nabi sekalipun.

Pagi tadi saya bercakap dengan seorang yang hampir dan dekat dengan TG Presiden. Saya katakan pada dia bahawa mesti ada pandangan yang bersifat sederhana dalam soal muzakarah. Kerana kalau cekang sangat pun tiada guna. Longgar sangat pula membawa bahaya. Saya pinjam kata-kata Kekanda Nik Abduh ; di dalamnya ada madu dan di dalamnya ada racun. Cuma pandai-pandailah kita ni, nilai lah baik-baik mana yang lebih banyak dan mana yang sedikit. Takkan sampai tiada manafaat langsung? Ini mustahil. Cuba baca baik-baik ayat pengharaman arak. Allah menyebut bahawa oleh kerana mudharatnya lebih banyak dari manfaat maka Aku haramkan arak kata Allah. Di sinilah letaknya ketaatan dan thiqah pada pimpinan sebagai penyelesaian.

Bukan main fasih kita bercakap kisah UHUD dalam usrah, tamrin dan lain-lain lagi. Bila bercakap kita katakan bahawa kita berusrah sejak tahun 60an lagi. Masa inilah nak gunakan ilmu tersebut. Kalau suami isteri bergaduh kerana semata-mata suami mahu mengajak tinggal dengan ibunya yang uzur dan isteri tidak bersetuju, maka penyelesaiannya ialah taat pada suami. Bukannya bercanggah dengan syarak pun permintaan suami itu. Kalau si isteri rasa susah dan keberatan dengan kehendak syarak supaya taat pada suami dalam apa jua keadaan selagi tidak khilaf dengan yang haq maka tak payah lah berlaki. Kata guru saya, kalau suami suruh masakkan udang lemak maka jangan dimasak udang masak cabai. Itupun berdosa si isteri kerana perintah suami tak bercanggah dengan syarak.

Taat pada pimpinan dan thiqah percaya pada mereka adalah asas kemenangan perjuangan ini. Namun tidak bermakna pimpinan tidak boleh ditegur. Berilah pandangan dan pendapat namun ada batas dan akhlaknya. Saya yakin bahawa Allah tangguhkan kemenangan kepada PAS kerana masih ‘ramai’ yang tidak thiqah dan tidak taat kepada arahan pimpinan. Saya tahu ada yang cuba khianati pimpinan PAS bahkan ada yang dah khianat pun. Keputusan macam lain, buat macam lain. Pimpinan tak cakap dia kata pimpinan cakap. Pimpinan tak bercanggah dia kata nampak macam bercanggah. Tak usah jadi syaitan dalam jamaah ini. Keluarlah.

Pesan Orang Lama

SALAM ISLAH,

Memang susah dan payah bila terlibat dengan kerja-kerja perjuangan Islam. Sememangnya syurga itu mahal harga yang ditawarkan oleh Allah SWT. Bercakap lebih mudah daripada pelaksanaan. Memberikan cadangan memang jauh lebih mudah berbanding menterjemahkan cadangan tersebut.

Semalam,saya bersama dengan Ybhg Ustaz Hj Abu Kassim bin Abdullah, Pengerusi Tetap PAS Pusat dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kangar ke 33. Kagum saya dengan karisma dan istiqamah beliau dengan perjuangan menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi. Beliau orang lama dalam PAS, kata beliau “ Saya sudah 46 tahun berjuang bersama PAS”. Inilah yang membuatkan generasi muda PAS macam saya terasa kerdil dan kecil bilamana berhadapan dengan generasi awal dalam PAS yang masih segar dengan perjuangan PAS hingga kini. Benarlah apa yang disebut oleh para murabbi ummah bahawa untuk menjadi insan yang bersama-sama dengan perjuangan Islam dan jihad menegakkan agama Allah di atas muka bumi, sememangnya hanya kerana dipilih oleh Allah. Para pejuang agama adalah manusia pilihan Allah SWT.

Manusia pilihan Allah SWT juga, tidak akan dapat berjalan di atas jalan yang diredhai oleh Allah SWT melainkan jalan yang dipilihnya adalah dihiasi dengan onak dan duri. Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya Allah SWT apabila mencintai seorang hambaNya, maka nescaya diuji hamba itu dengan ujian yang tiada penawarnya (melainkan sabar dan redha). Apabila ia sabar maka ia menjadi hamba pilihan Allah dan jika ia redha, maka ia diangkat darjatnya oleh Allah SWT” – Jauharul Mauhub Wa Munabbihaatul Qulub bagi Sheikh Ali Abdul Rahman Al Kelantani

PEMIMPIN YANG HEBAT

Dalam ucapan perasmian Ustaz Abu Kassim menyatakan bahawa beruntungnya PAS kerana mempunyai pemimpin yang hebat silih berganti datang dan pergi yang dihantar oleh Allah SWT untuk mengemudi perjuangan PAS. Semangat pengorbanan dan perjuangan yang tinggi serta keikhlasan dalam perjuangan terpancar dalam setiap gerak geri para pemimpin PAS. Beliau menceritakan kekaguman beliau kepada al Marhum Ustaz Abu Bakar Hamzah yang ketika dipecat dari PAS oleh Dato Asri Muda telah melafazkan satu ucapan yang menggambarkan kekentalan aqidah dan keyakinan perjuangannya. Ketika Ustaz Abu Bakar Hamzah dikerumuni oleh wartawan setelah dipecat dari PAS, 2 soalan dikemukakan kepada beliau. Pertama, beliau ditanya adakah beliau akan menubuhkan parti baru dan yang keduanya adakah beliau akan masuk UMNO. Ustaz Abu Bakar menjawab, “mana mungkin saya menubuhkan parti baru apatah lagi untuk masuk UMNO sedangkan perjuangan saya dengan PASlah yang telah mematangkan saya, mendewasakan saya dan meyakinkan saya kepada kebolehan dan kemampuan Islam”.

BERJUANG SATU KEMULIAAN

Ustaz Abu Kassim memperingatkan generasi muda PAS supaya yakinlah dengan perjuangan Islam bersama PAS. PAS akan terus berjuang menegakkan hukum Allah di atas muka bumi dan berkorban apa sahaja demi kepentingan Islam. Yakinlah kata beliau bahawa orang yang bekerja mendaulatkan agama tidak akan susah dan miskin. Samada dia mendapat kemuliaan atau anak-anak zuriat keturunannya akan mendapat keberkatan dari Allah SWT.

PERCAYA DAN YAKIN DENGAN KEPUTUSAN PIMPINAN

Antara pesan beliau yang sangat menyentuh hati saya ialah; agar seluruh pendokong PAS terus yakin dan memberikan kepercayaan kepada kepimpinan PAS (Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang) yang sedang memimpin PAS di saat ini. Sokong dan dokonglah sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan PAS. Dalam soal muzakarah dengan UMNO beliau yakin percaya bahawa pimpinan pasti akan membuat keputusan yang terbaik, penuh hati-hati dan dalam rangka memelihara kepentingan Islam dan dasar perjuangan PAS.

Bersyukurlah jika sekiranya Allah mengekalkan nikmat Islam dan iman dalam hati dan jiwa kita. Itulah harta yang paling bernilai yang saya miliki kata Ustaz Abu Kassim. Ramai dari pejuang-pejuang awal PAS dahulu yang akhirnya masuk UMNO dan mati dalam UMNO. Bahkan kata beliau, ada 2 orang tok guru besar di Kedah, ada ribuan murid, ada pondok besar tapi akhirnya keluar PAS masuk UMNO dan mati dalam UMNO. Beliau mengakhiri pesanan dan taujihatnya kepada kami sidang muktamirin dengan madah pujangga HAMKA supaya kita tetap menjadi seperti rumput. Terus tumbuh menghijau walau dalam apa jua keadaan. Jangan sekali-kali termenung memikirkan nasib masa hadapan kerana orang budiman tidak akan kecewa dalam perjuangan. Istiqamahlah!.

Saturday, July 19, 2008

Antara REBAH Inul & Aqidah yang PUNAH


SALAM ISLAH,

Muka surat hadapan KOSMO hari ini memaparkan dengan jelas air mata INUL DARATISTA, Ratu Gelek Indonesia yang dilaporkan sangat kecewa dengan pembatalan konsertnya di Johor Bahru semalam.

“Apa salah saya sehingga saya tidak diterima di Johor Bahru”.katanya.

Saya tumpang sedih dengan apa yang berlaku. Bukannya simpati kepada apa yang menimpa INUL tetapi sedih dengan suasana Malaysia hari ini yang cukup mabuk dengan hiburan dan keseronokan. Inul dilaporkan menangis hingga hampir rebah dan pengsan bila diberitahu bahawa konsertnya dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan. Khabarnya, tiada satu jabatan pun yang menyokong konsert tersebut diadakan. Saya ucapkan tahniah kepada rakyat Johor.

Dalam masa yang sama saya melihat media yang melaporkan cerita Inul ini cuba untuk membela Inul. Ayat dan bahasa yang dimainkan adalah untuk cuba menarik simpati masyarakat kepada Inul. Inilah yang dikatakan betapa besarnya peranan media dalam menguasai dan mencorak masyarakat. Jika isu ini diulas dengan betul dan ikhlas serta mengikut nilai serta norma budaya masyarakat yang penuh kesopanan dan tatasusila maka sudah barang tentu masyarakat akan menyedari bahawa apa yang dibantah oleh rakyat Johor tentang konsert Inul adalah wajar dan bertepatan dengan nilai budaya bangsa apatah lagi bertepatan dengan syariat Allah SWT.

Tiada agama di atas muka bumi ini yang membenarkan wanita dipergunakan sewenang-wenangnya. Apatah lagi berada di hadapan khalayak seperti bertelanjang dan mengghairahkan. Islam adalah agama yang mengangkat kemuliaan dan martabat wanita. Apabila Islam datang, wanita diangkat darjatnya bila ia beriman dan taat kepada Allah. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, jika beramal soleh mereka sama di sisi Allah SWT. Firma Allah SWT :

“Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik[839] dan Sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” Surah An Nahl : 97

[839] Ditekankan dalam ayat Ini bahwa laki-laki dan perempuan dalam Islam mendapat pahala yang sama dan bahwa amal saleh harus disertai iman.

Inul jelas membiarkan dirinya dipergunakan dan ‘ramai pihak’ yang mempergunakan Inul. Untuk apa hiburan ‘gerudi’ dibawa ke Malaysia? Dan lebih menyedihkan ialah 25,000 tiket berjaya dijual. Bermakna 25,000 rakyat Malaysia yang telah songsang arah hidupnya. Cuba fikirkan kalau 30% daripada jumlah itu adalah Muslim (sedangkan ia mungkin 80% atau boleh jadi 99%!). Besarnya tanggungjawab dakwah dalam hal ini dan besar lagi tanggungjawab pemerintah.

Islam tidak pernah mengharamkan hiburan. Cuma ianya mestilah di dalam kawalan syariat. Baca dan kajilah Islam dengan adil nescaya anda akan ketemui kebenaran jua akhirnya. Jiwa dan hati yang bagaimana agaknya yang mahu menerima hiburan melampau dan songsang?.

Tahniah kepada rakyat Johor sekali lagi. Khabarnya konsert Inul akan berubah ke Stadium Putra Kompleks Sukan Bukit Jalil pada 27 Julai nanti. Kompleks Sukan Bukit Jalil itu terletak di negeri mana ya?

Ambillah Pengajaran & Iktibar


BismilLah,walhamdulilLah,wassolatu wassalamu ‘ala Sayyidina RasulilLah,wa ‘ala alihi wa ashabihi waman tabi’ahum biihsanin ila yaumiddin, wa ba’du ;

SALAM ISLAH,

Kedatangan bulan Rejab yang mulia adalah hadiah dari Allah SWT untuk para hambaNya yang saleh. Datangnya Rejab menandakan bahawa Ramadhan al Mubarak telah hampir dan dekat. Masa untuk kita mulakan beberapa latihan kecil sebelum kita melangkah masuk ke dalam ‘madrasah’ Allah yang agung iaitu Ramadhan yang bertujuan melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah SWT. Dengan kehadiran Rejab juga kita diperingatkan dengan peristiwa besar yang berlaku ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Firman Allah SWT :

“ Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya[847] agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.” Surah Al Isra’ : 1

[847] Maksudnya: Al Masjidil Aqsha dan daerah-daerah sekitarnya dapat berkat dari Allah dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya.

PENGAJARAN & IKTIBAR :

Pertama : Terdapat satu alam yang tidak dapat dicapai dengan deria dan pancaindera manusia. Di sinilah letaknya ujian terhadap keimanan. Samada mahu percaya atau tidak kepada apa yang dikhabarkan oleh Rasululullah SAW. Bukan semua ajaran Islam itu bersifat dapat dilihat dan dicapai dengan penglihatan dan akal. Terdapat banyak perkara dalam Islam yang memerlukan iman serta yakin percaya terhadap apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan apa yang dikhabarkan oleh Baginda SAW.

Kedua : Kelemahan ilmu manusia berbanding keluasan ilmu Allah SWT. Dalam kita menyangkan bahawa ilmu manusia sangat hebat hingga mampu melakukan banyak perkara, mampu mencapai banyak perkara, rupanya ilmu manusia sangat sedikit jika mahu dibandingkan dengan keluasan ilmu Allah SWT. Rahsia ala mini tidak pernah habis dikaji oleh manusia sedangkan manusia kadang-kadang kehabisan akal untuk terus menyelami rahsia ciptaan dan kejadian Allah SWT yang agung dan hebat. Benarlah apa yang Allah SWT tegkan bahawa apa yang diberikan pada manusia dari ilmu itu hanya sedikit.Silalah rujuk episode terakhir dari Surah Al Kahfi untuk mengetahui perbandingan ini.

Ketiga : Wujudnya pembalasan yang adil. Rasulullah SAW diperlihatkan syurga dan neraka oleh Allah SWT dalam perjalanan Isra’ & Mi’raj. Baginda melihat keseronokan dan kenikmatan yang diperolehi oleh mukmin yang taat di dalam syurga dan melihat penyiksaan dan penderitaan kafir dan ahli maksiat di dalam neraka. Dengan ini kita dididik supaya senantiasa berhati-hati dalam tindakan dan perbuatan supaya dibalas dengan syurga kerana taqwa kita pada Allah dan terselamat dari neraka Allah kerana sikap hati-hati tersebut.

Keempat : Kebenaran orang-orang yang mempertahankan aqidah. Alangkah hebatnya golongan ini!. Perjuangan dan pengorbanan mereka tidak sia-sia bahkan mendapat pengiktirafan agung dari Allah SWT. Rasulullah telah menghirup keharuman ruh keluarga Yaasir yang mati kerana mempertahankan aqidah. Inilah berita baik bagi pendokong perjuangan aqidah sepanjang zaman. Berita gembira bagi pejuang agama sepanjang zaman bahawa apa yang mereka lakukan dan mereka perjuangkan tidak sia-sia!.

Friday, July 18, 2008

4 Sikap Terhadap Syariat


BismilLah,walhamdulillah,wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah, wa ‘ala alihi wa ashabihi waman tabi’ahum ila yaumiddin, wa ba’du :

SALAM ISLAH & SALAM PERJUANGAN,

Kejayaan Islam dalam mentarbiyah dan mendidik manusia tidak dapat dinafikan lagi. Telah terbukti sepanjang sejarah dunia kehebatan dan kekuatan Islam dalam membawa perubahan dan merubah alam ini supaya tunduk kepada Allah SWT. Contoh kejayaan Islam ialah apa yang dapat kita perhatikan kepada peribadi Saiyyiduna Umar al Khattab radhiyallahu ‘anhu. Semasa beliau menjadi khalifah yang ke 2 selepas Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu kita dapat lihat tiga contoh keperibadian yang terhasil dari didikan Islam terhadap manusia. Pertama ; kesederhanaan Umar dalam pemerintahannya. Bukan senang untuk bersederhana terutamanya ketika menjadi seorang pemimpin dan menjawat jawatan tertinggi negara. Tambahan pula ketika itu, kerajaan Islam semakin luas dan harta kekayaan negara melimpah ruah. Kedua ; keteladanan yang ditunjukkan oleh Umar dalam kehidupan yang tidak lain dan tidak bukan adalah kerana dididik dengan tauladan yang dilihat dan dipelajari dari Rasulillah SAW. Di waktu malam dia akan keluar melihat keadaan rakyat. Ketika inilah dia bertemu dengan anak gadis penjual susu yang jujur dan bertaqwa kepada Allah lalu dikahwinkan dengan anaknya ‘Ashim yang melahirkan cicitnya Umar Ibn Abdil Aziz. Ketiganya; sifat al ithar (melebihkan orang lain dari diri sendiri) yang terpancar dari peribadi Umar ketika dia berucap “ Jika sekiranya rakyat kelaparan maka akulah orang pertama yang akan merasai kelaparan tersebut. Jika sekiranya rakyat kekenyangan maka akulah orang terakhir yang akan merasai kekenyangan tersebut”. Ini terbukti ketika berlaku kekurangan makanan pada tahun yang disebut sebagai ‘ayyam ar ramadah’ sekitar tahun 13-14 hijrah. Umar menolak daging,minyak sapid an pelbagai makanan lazat yang lain sehingga dipastikan rakyat dapat menikmatinya bersama. Ketika dicedokkan bahagian yang paling enak dari daging unta yang disembelih pada tahun tersebut dia uga memerintahkan agar segera diagihkan kepada rakyat sambil menyebut “Bagaimana aku boleh mengetahui keadaan rakyat sedangkan tidak tertimpa ke atasku apa yang mengenai mereka”.

SIKAP TERHADAP SYARIAT ALLAH SWT

Al Quran menyebutkan serta menegaskan beberapa perkara yang WAJIB dijadikan sikap setiap Muslim ketika berhadapan dengan syariat dan hukum atau perintah Allah SWT :

Pertama : Tidak keberatan atau tidak rasa berat hati ketika melaksanakan perintah Allah SWT. Sikap merasa berat ketika diminta patuh kepada syariat Allah SWT adalah merupakan perhiasan orang munafiq. Itulah ciri-ciri utama sikap dan kehidupan orang yang tidak jujur dalam keimanan seperti mereka. Firman Allah SWT :

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” An Nisa’: 65

Kedua : Tidak membantah hukum dan syariat Allah. Inilah sifat paling istimewa para sahabah (rahmat dan redha Allah untuk mereka sekaliannya) yang telah hidup subur dalam jiwa mereka. Mereka menuangkan gelas-gelas dan kantung-kantung arak dengan segera dan tanpa bantahan ketika turun perintah pengharamannya. Para wanita di kalangan sahabiyah segera mengambil kain menutup aurat mereka ketika turun perintah berhijab. Ketahuilah bahawa tidak akan membantah hukum dan syariat Allah melainkan mereka yang telah rosak aqidah dan keyakinannya. Firma Allah SWT :

67. Bagi tiap-tiap umat Telah kami tetapkan syari'at tertentu yang mereka lakukan, Maka janganlah sekali-kali mereka membantah kamu dalam urusan (syari'at) Ini dan Serulah kepada (agama) Tuhanmu. Sesungguhnya kamu benar-benar berada pada jalan yang lurus.
68. Dan jika mereka membantah kamu, Maka Katakanlah: "Allah lebih mengetahui tentang apa yang kamu kerjakan".
Surah al Hajj : 67-68

Ketiga :Mengikuti & mentaati adalah buah dari rasa kasih dan cinta terhadap Allah SWT tuan punya dunia dan syariat yang diturunkan kepada manusia. Tidak ada pilihan bagi kita makhluk yang hidup dengan ihsan Allah SWT melainkan mentaati seluruh perintah Allah SWT. Gejala memilih-milih dalam ketaatan ini adalah satu sikap yang tidak disukai oleh Allah . Kerana sikap inilah Bani Israel dikutuk oleh Allah SWT. Sifat ikut dan taat inilah kunci keberuntungan seorang Mukmin . Firman Allah SWT :

“Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), Maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak Mengetahui.” Al Jaatsiyah : 18

Keempat : Menyebarkan dan menegakkan syariat adalah tugas utama umat Muhammad SAW. Pengorbanan yang tertinggi untuk maksud ini adalah merupakan keistimewaan umat ini. Inilah sifat keimanan yang agung sebagai tanda jujur dan ikhlas dalam ubudiyah kepada Allah SWT. Firman Allah SWT :

“Dia-lah yang mengutus rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.” As Shof : 9

KESIMPULAN :

Ketegasan sikap dan prinsip aqidah yang jelas adalah keistimewaan umat ini. Inilah yang membezakan seorang mukmin dengan munafiq yang paling dikhuatiri oleh Nabi SAW. Jika semua sikap ini terpupuk dengan baik dalam jiwa kita maka sudah barang tentu kita akan mencapai kehidupan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Kita akan kembali menjadi tuan di atas muka bumi ini. Dan generasi seperti inilah yang akan diwariskan bumi ini kepada mereka oleh Allah SWT. Inilah generasi kemenangan!.