Friday, September 12, 2008

Manisnya Ukhuwwah

Salam ISLAH,



Semalam (11/9/2008), saya telah dijemput menyampaikan tazkirah Ramadhan di surau Ad Diniyah, Bandar Baru Selayang. Sdr Zulkifli Wahijan (sahabat yang saya kenali di Petronas KLCC) menyambut ketibaan saya dengan senyuman yang cukup ramah sambil berbisik ; “Dah dua tahun ustaz tak datang surau kami”. Saya hanya tersenyum.



Sememangnya kali terakhir saya menjejakkan kaki ke surau Ad Diniyah ini dua tahun dahulu. Entah apa yang menyebabkan saya tak dapat kunjung ziarah ke sini selama dua tahun saya pun kurang pasti. Ketentuan Allah jua atas segalanya. Banyak yang berlaku dalam hidup kita yang kita tidak pernah sangka. Lain yang kita hajati, lain pula yang kita dapat. Lain yang kita minta pada Allah, Allah berikan yang lebih baik dari apa yang kita minta.



Apa yang saya tidak sangka ialah, pertemuan saya dengan seorang ibu tua bernama Umi (saya tak ingat nama penuhnya) sebaik selesai solat terawih di Surau Ad Diniyah. Wanita yang senantiasa tersenyum manis dengan muka cerah, putih dan bersih dan senantiasa mengalirkan air mata bila bercakap soal amal ibadah dan akhirat. Umi bersama saya menunaikan umrah satu ketika dahulu. Ketika itu, saya memimpin 189 jamaah umrah bersama beberapa sahabat. Itulah umrah yang sangat mematangkan saya dan menjadikan saya kenal mana satu kawan dan mana satu lawan.



Umi senantiasa menjadikan saya tabah sepanjang menguruskan jamaah umrah yang ramai dan bermasalah tersebut (saya tidak mahu lagi mengingati peristiwa hitam tersebut yang telah menyebabkan saya kerugian hampr RM 60 ribu). Ibu Umi selalu ingatkan saya pada taqdir Allah dan menyuruh saya bersabar. Dalam pertemuan semalam, saya dan dia sangat terharu dengan pertemuan tersebut. Dia yang tinggal di Taman Harmoni Gombak datang berbuka di rumah anaknya di Bandar Baru Selayang. Allah taqdirkan kami bertemu setelah 2 tahun dahulu saya pernah bertandang ke rumah beliau untuk berbuka puasa bersama Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Sdr Wan Haswari Wan Ahmad. Kehendak Allah jua yang menemukan kami semula. Bercambah semula benih ukhuwwah filLah yang sangat manis. Moga kekal keharumannya hingga hari qiyamat. Kami mengakhiri pertemuan dengan saling doa-mendoakan dunia dan akhirat masing-masing. SubhanalLah ! Manisnya silaturrahmi dan ukhuwwah kerana Allah.



Al Ustaz Fathi Yakan pernah menulis sebuah buku kecil yang membicarakan tentang ukhuwwah. Buku kecil tersebut sangat memberi bekas di jiwa saya. Walaupun saiz dan fizikal buku tersebut adalah kecil namun kandungannya sangat besar dan agung sekali. Mereka yang dapat mengecap nikmat ukhuwwah kerana Allah, sudah pasti tidak akan dapat melupainya hingga akhir hayat.



Saya baru sahaja dihubungi oleh sahabat lama, Ustaz Ahmad Akhyari ad Damanhuri yang kebetulan bersama Cikgu Sukarno dan Ustaz Halizal Alias bertandang ke Kuala Lumpur untuk misi dakwah mereka. Minda dan jiwa saya kembali segar dengan ingatan terhadap kenangan dalam ukhuwwah yang kami bina selama ini. Saya takkan dapat melupakan mereka yang telah ‘melahirkan’ saya sebagai perserta arena dakwah dan jihad. Saya bersama mereka suatu ketika dahulu bersama PPIK, Dar As Sofwah, Kem Bina Sahsiah dan pelbagai lagi acara istimewa yang telah mematangkan saya dan perjuangan.



Benarlah kata Ustaz Fathi Yakan bahawa ukhuwwah itu adalah kurnia agung dari Allah. Hembusan dari langit ke dalam jiwa-jiwa mukmin di dunia ini.



Allah akan berfirman di Mahsyar kelak :



“Di manakah mereka yang berkasih saying di dunia dahulu kerana keagunganKu. Akan ke teduhi mereka dengan teduhan arasyKu di hari tiada perlindungan dan teduhan melainkan naungan rahmat dan arsyKu”

No comments: