Salam ISLAH,
Perkara yang paling ditakuti oleh orang yang banyak beribadah dan beramal soleh ialah rosaknya amalan yang dilakukan. Penat lelah bangun malam, berqiyamullail, bersedekah, membela anak yatim dan miskin akhirnya menjadi sia-sia. Amalannya menjadi seperti debu yang ditiup angin. Di tolak oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW :
“ Sesungguhnya Allah SWT itu baik dan Allah tidak akan menerima melainkan yang baik dari hambaNya”
Al Imam Al Habib As Saiyyid Muhammad ibn ‘Alawi al Maliki al Hasani telah menulis sebuah buku yang berjudul “Kasyf al Ghummah bi Istina’ al Ma’ruf wa Rahmah al Ummah” yang di dalamnya, mahaguru yang mulia ini telah membicarakan tentang luasnya peluang melaksanakan amal kebaikan dan besarnya kedudukan amal ma’ruf di sisi Allah. Pada mukaddimah tulisannya, al Habib Muhammad telah memberikan 4 panduan penting bagaimana memelihara amal dan memagarinya agar tidak menjadi sia-sia :
Pertama : Menutup dan menyembunyikannya daripada disebarkan kepada pengetahuan orang ramai. Berkata para ulama’ umat ini ; “Apabila kamu melakukan kebaikan, hendaklah kebaikan itu kamu sembunyikan dari manusia, tetapi apabila dilakukan kebaikan kepada kamu, maka hendaklah kamu sebarkannya”. Tidak begitu penting sampai kepada manusia amal soleh yang kita lakukan kerana manusia tidak mampu memberikan apa-apa balasan terhadap amal kita. Sebaliknya, lakukan amalan kerana Allah SWT semata-mata kerana Allah sahaja yang mampu membalas kebaikan dan amal soleh yang kita lakukan.
Kedua : Memandang kebaikan dan amal yang kita lakukan itu dengan pandangan yang kecil supaya dapat mengelak dari sifat takabbur, ujub, riya’ dan sum’ah. Dalam panduan as Sunnah, kita dapati bahawa Rasulullah SAW menyuruh kita melihat orang lain lebih baik dan banyak amalan dalam urusan ibadah dan akhirat berbanding kita. Lalu timbul semangat ingin berlumba dalam melakukan kebaikan. Dan jangan lupa membandingkan amalan kita dengan amalan salaf as saleh umat ini terutamanya dari kalangan generasi para sahabah. Mereka membelanjakan harta dalam keadaan mereka kekurangan harta. Mereka berkorban demi Islam di saat mereka sangat memerlukan pertolongan dan bantuan. Dengan sebab itulah Rasulullah SAW bersabda :
“ Demi Allah, jika kamu membelanjakan pada jalan Allah emas sebanyak gunung UHUD sekalipun, tidak akan sama dengan segenggam gandum yang dibelanjankan oleh sahabatKu”
Ketiga : Jangan sekali-kali mengungkit dan menyebut kebaikan yang kita lakukan di hadapan manusia akan kebaikan yang kita lakukan dan berasa ujub dengan apa yang dilakukan, kerana ia akan menggugurkan kesyukuran kepada Allah dan menghapuskan ganjaran yang diperolehi. Firman Allah SWT :
“Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang Yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” Surah Al Baqarah : 264
Keempat : Tidak sedikit pun merasa hina dengan kebaikan yang telah dilakukan sekalipun sedikit kerana sedikit atau banyak kebaikan yang dilakukan adalah dengan taufiq dan pertolongan Allah jua. Mereka yang melakukan kebaikan adalah kerana mereka telah dipilih oleh Allah SWT untuk dihiasi peribadi mereka dengan amal soleh.
No comments:
Post a Comment